Wednesday, October 21, 2009

Episod 18: Pejuang Terbuang

Kharisma Pictures. Lama dahulu...

Ini sejarah lama yang ingin aku kongsikan, dalam pada Usop Sontorian gemilang diangkat media kerana muncul sebagai animasi TV pertama, ianya pernah mengalami zaman gelap. Gelapnya berbunyi begini...


Lebih separuh animator berhasrat dan bertekad untuk tinggalkan produksi. Aku yang masih mentah untuk menyedari apa itu konspirasi dan irihati, turut dibawa arus penentangan itu. Sebuah institusi kecil yang berlindung dibalik susunan bata merah itu, tampak tenang pada setiap masa tetapi ianya menyimpan seribu satu rahsia, suka dan duka, riang dan sengsara. Produksi ini mendapat publisiti yang gegak gempita. Ia menjadikan kami tampak hebat namun sebenarnya kami kekurangan segala benda.


Segalanya bermula dengan satu perkara pelik. Beberapa orang yang tak pernah bermalam di Studio tiba-tiba menjadi rajin dan ikhlas untuk berada di Studio hingga ke pagi. En. Kamn menyedari keluarbiasaan ini namun hanya mendiam diri, memerhati dan aku tahu...dia mengkaji.


Aku yang bukan watak popular dalam produksi itu, menjadi antara orang yang akhir untuk tahu golak gejolak yang berlaku. Dalam fana yang terpinga, aku diangkut bersama-sama kumpulan animator lain, menaiki beberapa buah teksi dan menuju ke sebuah stesen TV. Sampai di sana, kami dikumpul duduk di sebuah kedai kopi.


Beberapa orang senior yang menjadi kepala meyakinkan kami, tawaran tinggi sedang menanti dan tapak masa depan gemilang sedang dijejaki. Aku berbisik kepada yang lain. Sungguhkah ini? Langkah yang betulkah ini? Namun, tiada siapa yang tahu dan aku dapat baca, masing-masing sedang dilanda ketidakeruan yang nyata. Semuanya mengambil langkah selesa. Membiar diri dibawa arus paya.


Sebentar kemudian muncul 'watak' utama yang diberitakan sebagai wira penyelamat kami. "Watak' ini menjanjikan segalanya ada kepada kami. Lokasi Studio baru yang mesra kunjung, slot tayangan di TV sedia kosong dan isian poket yang berkarung-karung. Kumpulan kami yang belum pernah menikmati manisnya menjadi animator, sangat-sangat teruja jadinya. Ditambah dengan angguk yakin dari kepala-kepala yang mengepalai kami, kesemua animator yang ada mengekal nganga. Sepanjang perjalanan pulang, cermin tingkap teksi yang kami naiki memberi refleksi yang lain sama sekali. Keluar dalam bayangan, kehidupan mewah yang serba-serbi dan didamping gadis manis dan sunti, membuatkan kami senyum melebihi gusi. Masing-masing bertekad, sama pulang untuk menulis surat mohon berhenti, sama sehajat sama sepakat.


Keesokannya, suasana di dalam studio agak fana luar biasa. Penghawa dingin seperti gentar untuk berbunyi lebih seperti biasa. Mesin fotostat yang selalunya akan menjadi muzik latar, langsung merajuk diri, mohon diselenggara. Aku masuk ke studio agak lewat, mengarang surat berhenti yang pertama kali memaksa mata jekang hingga ke pagi. Animator lain, ku dapati membuat kerja seperti hari semalam. Tarikan garis, lukis-melukis, memainkan suara dan mewarna, aktiviti biasa berjalan bersahaja. Senior yang semalam berwatak pembela, aku tengok seperti pembaca berita. Aku mengangkat kening memberi tanda dan lebih kepada bertanya, tapi dijawab dengan jelir lidah pelawak tamil yang jenaka.


Dentum pintu bilik En. Kamn mengejutkan aku. Seorang animator keluar. Riak muka juga sukar dibaca. Sedikitpun tidak mentafsir makna. Seorang lagi dipanggil dan dalam gigil ketara, masuk menyua kepala. "Apa berlaku ni?" soalku kepada seseorang. Tidak dibalas, pandang pun malas."Apa yang berlaku ni?" soalku kepada papan kekunci, untuk mengelak malu dituduh bercakap seorang diri. Sambil jari membunyikan kekunci lebih lagi, kununnya menjawab memberi interaksi.


Hari ini aku faham politik tempat kerja. Studio yang sedang bergolak diancam tenaga-tenaga yang ingin berhenti, diusahakan untuk tidak dibiarkan pergi. Jika ramai yang terlepas pergi, ia akan memberi kesan kepada periuk nasi. Dan sebolehnya kami dipagar besi dan duri, dilayan kerenah selayak bayi dan di'ampu ampi' " kau jangan pergi". Seseorang berkata, pihak pengurusan mengambil tindakan "Pecah dan Perintah". Patutlah lepas seorang, seorang akan masuk ke dalam, masuk muka manis...keluar muka apam. Masuk rambut rapi...keluar rambut tajam.


Akhirannya, 'dalang' yang mengepalai luahan jiwa para animator dapat dikesan. Mereka diambil tindakan keras. Tiada peluang kedua yang diberi belas. Mereka diminta keluar secara beralas. Aku sedih dengan malang yang menimpa mereka. Bukan senang menjadi pejuang, hanya yang kental, sanggup menjadi arang. Mereka meninggalkan bakat-bakat muda yang masih bara untuk berkarya.


Sesuatu yang aku sedari, pengurusan menjadi lebih hemah pada kala selepas peristiwa mendung berlaku. Mereka lebih mesra, lebih manja dan lebih mangga. Aku dapat melihat tanda-tanda perjuangan pihak yang terkorban dulu, kini terjana. Kami pula, dengan selamba mengutip laba. Sedang yang terkorban itu, apa cerita? Sejarah telah membuktikan, seseorang perjuang akan tercicir dari apa yang diperjuangkan. Namun hasil perjuangannya akan disifir oleh orang-orang yang kemudian, akan difikir oleh orang-orang yang berkenaan.

...........................................................................................................................................................................


Cyberjaya, hari pertama kerja...

Aku masuk ke pintu kaca itu lagi, kenangan lalu yang menemani ku sepanjang perjalanan tadi, aku lempar ke tepi buat seketika. Aku ingin fokus ke arah sini, aku berjalan perlahan-lahan mengurang bunyi. Studio ini seperti ada orang mati, senyap dan sepi. Ku lihat, ramai juga yang sedang duduk bekerja, mata berkedip dan pasti bernadi. Ah...budaya kerja di sini agaknya, tiada lagu bernyanyi, tiada batuk bertibi. Aku dihala ke sebuah kerusi. "Sini tempat awak, duduk dulu, nanti saya datang lagi" kata seorang pegawai penyambut tadi.


Akupun duduk bersandar. Mata berkeranjang memasang radar. Ada beberapa orang yang dah lama aku kenal seperti Diwan (kini Warih), x'Alid (kini OKLid), xstudentku Anep (kini pembaca setia Kosmo) dan PO-G (kini pembaca setia Malaysia Kini). Yang lain aku belum kenal. Disekelilingku, semua pekerja yang pertama kali kutatap wajah...dan aku langsung menjadi malu-malu Fatehah Abdul Fatah.




6 comments:

Noo said...

...aku sedih kerana tak cerdik pada waktu kejadian tu... aku sangat-sangat sedih kerana aku perlu belajar untuk hidup dalam dunia animasi dengan cara itu... dan aku paling sedih bila aku kadang-kadang terlupa yang perkara itu pernah berlaku dalam dunia animasi... terima kasih kerana mengingatkan kembali satu-satunya pelajaran dan pengajaran paling penting dalam animasi...

p(○_○)q

aMeir said...

Aku selalu mengingati kejadian itu. Memahami 'kentang yang mudah empuk' Mengenang para 'pejuang' tersebut, serta mencemuh 'pemuka talm bermuka dua' serta ayat "aku buat semua ini kerana sayangkan korang dan kompeni ni" serta pertama kali melihat luahan kemarahan saudara Anuar Sharif, kemudiannya janji-janji Global ( perkataan ini pertama kali aku dengar dan faham pada saat itu - jauh sebelum Mat Najib melaungkan GLOKAL ). Dan lagi, kewujudan sistem bayaran insentif hasil kerja. Tersinggung juga pada ingatan berkenaan limpahan Wang Ihsan setiap petang yang di urus selia oleh Sifu Ujang melalui beberapa watak Otai, yang kemudiannya mula menjadi perebutan antara kroni. Heh! Sejarah yang makin disingkap, makin banyak pula untuk dinukil. Harap kau dapat perbaiki bait-bait aku yang tak seindah jawi bahasamu.

Tunsiber said...

Teman-teman yang masih setia, aku haru dan menyimpan rasa tabik separas kepala. Masing-masing dah memunggung di lain peta. Harap tali yahudi kaca ini, menjadi penyambung bual bicara...

prebet said...

sesungguhnya aku bukanlah termasuk dlm golongan yg layak memberi komentar.

Tunsiber said...

Tuan Prebet, tapi komen mu untuk Vincent sentiasa menjadi jump start untuk aku di waktu lena...

gen2 said...

Setiap kejadian ada hikmahnya....
jangan kita jadi lalang atau talam dua muka..Dunia ini kecil saja..lambat laun bertemua jua...