Friday, February 04, 2011

Pinjam Suara Mu Satu

Sewaktu di produksi Kharisma yang berpengkalan di Plaza Pangkalan, aku sempat meminjamkan suara untuk produksi Usop Sontorian itu. Entah mengapa, mungkin sikap aku sendiri yang lebih kelihatan pendiam, maka watak yang diberi kepada ku pun watak seorang pendiam. Kalau anda pernah ingat kepada watak Veloo, iaitu watak kawan Usop yang berbangsa India dan berbahasa dengan telornya yang tersendiri...haa...aku le tuh. Apa tak ingat? Dah aku agak....Iye la...siapa la nak ingat kalau satu-satu episod, Velloo keluar dengan hanya sepatah kata? Hmmm......

Hari ini, untuk produksi Kancil, terbitan sebuah produksi di Kajang, aku juga dipaksa untuk menyumbang suara untuk watak animasi mereka. Kata mereka suara aku, tersendiri, leper-leper itik serati. Sambil  aku mencekak pinggang,tanpa di sedari, aku sudahpun diangkut ke bilik kedap rakaman mereka. Elok dah duduk di kerusi bar dan mikrofon terlaras  tepat ke anak tekak ku. Cuma aku sedikit musykil, mengapa watak Siput dan Kura-kura yang diberi kepada ku? Hmmmm....

Sebuah lagi produksi di Subang Jaya juga mempertaruhkan watak Mentadak, untuk produksinya yang berjudul Buzz. "Mentadak ni seorang Guru Silat," Kata Pak Med kepada ku semasa sesi casting. Aku angguk berulang-ulang......"Eh...dah macam Mentadak, kena sungguh!" Teriak Pak Med. Aku Hmmm lagi.......


Mujur juga, sewaktu dulu-dulu, pernah masuk ke rumah Teater kendalian arwah Nasir Ali. Ia sangat membantu. Juga terima kasih kepada Abang Rosli Rahman Adam, yang juga pernah melatih aku dalam Grup teaternya yang satu ketika dahulu. 


Rakaman suara untuk Usop Sontorian disertai oleh beberapa bakat yang lain seperti, 3 kanak-kanak yang sekarang pasti sudah besar. 3 budak ini memegang watak Usop, Dol dan Abu. Untuk watak Abu tu, memang budaknya gemuk. Kadang-kadang nampak benar dia mencungap menghafal skrip. 

Watak yang paling menonjol pastinya watak Singh. Untuk pengetahuan semua, watak Singh telah dihidupkan oleh 3 bakat suara. Ia bermula dengan kartunis Ujang yang selaku pereka watak untuk produksi ini. Setelah beberapa episod, saudara Ujang menjadi sangat sibuk dan tidak sempat untuk menyumbangkan suara lagi. Maka kartunis Aie di panggil untuk menyambung legasi Singh. Sehingga suatu ketika, kartunis Aie juga tidak dapat memberi komitmen dan akhirnya muncul kartunis Taugeh dibelakang kelawakkan watak Singh yang tersendiri itu. 
Sesi rakaman suara merupakan satu terapi tawa yang tidak dapat aku lupakan. Aku masih merinduinya dan kepingin untuk melaluinya sekali lagi. Paling menarik dan mengundang percik tawa yang bertalu-talu, bila sesi itu dikendalikan oleh Kartunis Ujang. Ternyata dan aku mengesahkan bahawa beliau seorang yang bijak dalam menghidupkan perwatakan. Lontaran lakon beserta garis panduan darinya sangat mengesankan.

Entah bila ia akan berulang lagi.

Penghujung rakam punch cardku di Kharisma, hati begitu pilu untuk meninggalkan tapak kerja, rakan-rakan , Mariapan dan yang paling menyentuh....di sini aku terpisah dengan rakan wal karibku. Betullah orang kata, hidup perlu diteruskan. Inilah yang aku lakukan. Aku perlu meneruskan hidup yang sekarang ini tampak tidak terurus.  Aku masih ingat...beliaulah rakan yang memapah aku sewaktu keracunan makan di tempat kerja. Beliau memapah aku tetapi kerana lebih rendah, nampak seperti aku yang memapah dia. Beliau seorang rakan yang baik. Tetap baik hingga kini.

Selesai temuduga di sebuah Hotel di Pekeliling, aku mendapat jemputan untuk melawat pejabat baru yang terletak di P.J. Kami berombongan lagi ke sana. Ia tidak sebesar Studio lama, tetapi apa salah aku mencuba. Aku sendiri sedang mengumpul dana untuk hari bahagia. Ku gagahkan kaki meninggalkan luka lama. Aku terpaksa meninggalkan beberapa dan kutinggalkan ikhlas bersama doa....kalian juga pasti berjaya.

Hari pertama bertugas di Studio baru. Bersama beberapa rakan menunggu bas di Kotaraya. Aku kenal semua kecuali seorang. Beliau dari produksi lain tetapi akan bersama-sama kami di Studio baru. Ini sedikit janggal pada aku. Aku berasa ada tembok pemisah yang menghalang aku untuk pergi dekat. Entah...mungkin masa akan memberi kami tali untuk merapat.

Produksi ini tampak telah dirancang rapi. Storyboard telah sedia sewaktu kami mula mencecah kaki. Ada perseorangan yang diupah secara Freelansi. Kami terus mula beraksi pada hari pertama serah diri. Kami mengeluh kerana ada tunggakan gaji di Studio lama. Ini disimpati dan producer memberi sebulan gaji kepada setiap kami. "Eh..baru kerja, dah dapat gaji?" seseorang berteriak. Tidak lama...sebelum beliau dipekup mulut, dikunci tangan dan dilipat kaki.

Aku mula berkenalan dengan watak yang bulat-bulat. Menghayati, mengkaji dan menyelami dunianya. Aku sendiri perlu menghayati, mengkaji dan menyelami dunia kerja baru ku. Semoga di sini....aku peroleh ruang untuk berkreativiti. Semoga di sini aku beroleh uwang untuk berlari.

Hmmm........