Wednesday, September 30, 2009

Episod 16: Briyani Mat Top...ada berani?

Berlegar-legar di sekitar Bandar Baru Bangi, memberi aku kuntum-kuntum tenang yang sudah lama tidak berkumandang. Aku mundar dan mandir membuang tuju. Di sini ada damai dan ada rasa yang tidak menyesakkan dada. Kamera mula membuang fokus menuruni dari bidang dada bergerak melorot ke tapak perut. Dan sang perut pun beraksi , perut berlagu rentak keriut dan aku dihentam rasa lapar yang larut.

Kereta yang menderu laju, aku segan-segankan geraknya. Sementara mata meliar mencari kedai makan. Selera mamak aku dah lama mati...sejak terserempak dengan mamak sama mamak bergurau membunyikan ketiak. Seorang penebar roti dan seorang lagi pembuat air. Prup! Prap! Prup! Prap! Sambil bergelak ketawa.

Hari ini aku mahu menikmati selera Melayu. Lampiran buku resepi Melayu, jatuh satu-satu dalam bayang fikir. Kecur liur mula cair.

Melewati deret kedai dua tingkat dan mataku mati pada satu papan tanda yang berjaya mentafsirkan rasa Melayu pada isi kedainya. Aku mencari parkir...aduh, agak penuh dan memang penuh. Di mana harus aku memberhentikan jentera ini? Ahhh...fikiran kembali menjadi serabut, sedang lagu yang berirama lapar semakin rancak di dalam perut.

"Haa...itu ada satu!" Dan aku meluru masuk ke kotak parkir yang bongsu itu. Membrek dan mematikan enjin lalu keluar sambil terhencut-hencut. "Adeh....kaki aku......, Adeh....kaki aku...." sengaja aku laung kuat dialog tersebut. Meletak kereta di parkir khusus untuk golongan OKU menjadikan aku seorang pelakon segera.

Aku membuang duduk hampir di papan tanda 'Briyani Mat Top' dan selera Melayu bagai tak dapat ditahan-tahan lagi.

"Makan apa Encik?" Tanya pelayan kedai.
"Briyani Mat Top satu....versi ayam aaaa......." kataku sambil menunjal jari ke langit.
"Hidangan dalam proses...sabar menunggu....."sambil dia berlalu ke sebelah dapur.
"Cepat sikit, dik. Don't brake my heart!" kataku bernada gurau.

Masuk ke restoran makanan Johor ni, mengingatkan aku kepada kawan ku, Abong. Dia anak Johor, anak Muar. Rakan animator yang pertama aku kenal dan kekal hingga hari ini. Beliau juga adalah animator pertama yang keluar meninggalkan Encik Kamn dan produksi. Sempat terlibat dalam beberapa episod produksi dan kemudian mengambil langkah berani, keluar dari studio yang menjadi pusat latihan animasi itu.

Aku dapat dengar jelas, betapa dia dikutuk kerana keluar sebegitu cepat. Aku tumpang simpati. Pada mereka, langkah itu sebagai langkah derhaka kepada guru. Langkah pendekar yang masih mentah untuk keluar dari gua gelanggang latihan. Dia disindir, dia dipetir. Namun, tekad dan keyakinan diri tinggi mengiringi langkah keluarnya. Beliau pergi ke satu produksi lain dengan semangat baru untuk maju. Aku mendoakan dan mengalu kata semangat. "Jika kau fikirkan kau boleh....kau boleh melakukan...jika kau fikir ada duit lebih......kau boleh belanja aku makan." kataku macam seloroh tapi bersunggoh.

Satu sejarah, keluarnya seorang animator dari produksi Usop Sontorian, walaupun pasti tidak menjejaskan produksi, namun...dari riak muka Encik Kamn, aku tahu, beliau sangat marah dan sangat kecewa.

Aku membentang akhbar naskhah petang yang berlipat di meja. Ku buka helai demi helai, membaca sepintas lalu. Aku tertarik dengan rencana Perbarisan Tentera Negara China di bahagian tengah akhbar itu. Foto yang disertakan sangat mengumpil rasa kagum aku.

Aku langsung teringat kepada telefon bimbitku. Dengan kemudahan wifi di kedai Mat Top ini, pasti aku dapat melayari internet dan aku ingin sekali membuka laman You Tube untuk menonton video perbarisan itu, jika ada. Ya....itupun jika ada dalam You Tube, jika tidak..aku akan layari laman Tukar Tiub aje la.

Yaa....sekali cari sahaja, bersusunan senarai videonya. Aku pun klik satu-satu dan menontonnya dengan minat yang memenuhi. Aku kagum dengan keseragaman gerak dan seragam pakainya. Pandangan dari sudut mata burung, memberi nampak yang lebih asyik. Seperti papan dam yang bergerak dengan sendiri dalam kelajuan yang sekata. Aku pegun, aku kagum.

Serentak itu, aku terfikir untuk melihat perkara sama dari negaraku sendiri. Aku menaip cariannya dan tahukah anda, apa senarai video yang terpapar menghidang kepadaku? Aku ketawa sendiri kerana yang tersusun dan sedia untuk aku klik adalah...... perbarisan dalam filem Prebet Lapuk lakonan A.R Badul dan Tewel.

Hidangan ku singgah di muka meja. Melayangkan terima kasih kepada pelayan..., selanjutnya aku layan nasi briyani itu bersungguh-sungguh berseorangan. Sungguh menikmati, sungguh rencahnya diadun sebati. Aku sendawa bernada tinggi dan termalu si gadis sunti. Keliling yang sekian lama perati, mentertawakan aku tanpa bunyi.

Telefon bimbitku menari menerima panggilan. Aku menjawap dan satu suara sunti membalas bunyi. Panggilan dari syarikat yang aku hadiri temuduga tempuh hari dan memberitakan khabar gembira, aku di terima... dan boleh mula pada bulan hadapan.

Aku meloncat ke atas meja. Membuka silat dua tiga langkah.....dan ketawa berdekah-dekah. Encik Mat Top, tokey kedai yang sedari tadi terperuk di kaunter bayar, turut melompat dan bersilat. "Kau mahu kasi jahanam kedai aku? tempiknya.

Aku berundur dan gembira rasa aku kendur. Meraba poket dan not kertas aku hulur. Aku tak sabar untuk pulang. Pulang untuk memberi canang kepada isi rumah yang sering mendoakan. Terima kasih Tuhan. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.













Thursday, September 17, 2009

Monday, September 14, 2009

Episod 15: Ramai-ramai kita menari

Hari ini, hujan turun dengan lebat. Aku dipaksa berkurung dalam petak rumah sahaja. Aktivitiku buntu buat seketika. Gelung bosan semakin membelenggu, melingkar rapat di laras tubuhku.

Sesekali membelek akhbar berita yang bersusunan di sudut rumah. Mungkin ada artikel minggu lepas yang tertinggal. Arkib seminggu ini banyak berkisar kepada sekumpulan kecil pemprotes di Indonesia yang memalu gendang perang dengan Malaysia. Media Indonesia memberitakan Tarian Pendet milik Indonesia(?) dicuri Malaysia untuk promosi pelancongan. maka segerombolan kecil rakyatnya bangkit dan mempromosikan pula laungan Sapu Malaysia. Bersenjatakan buluh runcing, mereka membuat sekatan dan hukum rimbapun berjalan.

Akhbar ku sepaikan ke tepi. Aku amat tidak setuju dengan senario ini. Seharusnya mereka yang beruncingan itu, harus meneliti dulu perkara sebenar. Harus rasional dan harus dalam emosi yang kawal. Andai kesabaran & kewarasan menjadi tunjang dalam menilai sesuatu perkara, aku pasti...dengan semangat satu rumpun, banyak perkara boleh dipergerakkan bersama.

Bercakap tentang Indonesia, ahh....Tempat kerja aku di Petaling Jaya, juga ada mengambil pekerja dari Indonesia dan dari Filipina. Aku sebenarnya tidak gitu setuju dalam situasi ini. Sesuatu yang tidak sihat. Sewaktu menemubual Encik Kamn Ismail untuk mengisi ruang Projek Akhir pengajian Ijazahku, beliau ada menyentuh soal ini. Nadanya sungguh kecewa dan aku cuba untuk mengawal supaya beliau tidak terlalu emosi kerana masih, lagi dalam pantang selepas pembedahan pintasan jantung.

Tegasnya, aku melihat senario ini sebagai sesuatu yang tidak sihat. Aku kurang menyetujui dasar ini.Kemasukan tenaga kerja asing ke dalam lingkung animasi tempatan akan memberi kesan jangka panjang yang tidak baik. Ia akan menberi kesan kepada kilatan periuk nasi animator tempatan. Apakah telah kehabisan bakat-bakat dalam negara hingga terpaksa mencari 'mutiara dari Selat Sunda?'

Paling mengejutkan jawatan koordinator projek juga dinyirukan kepada 'mutiara-mutiara luar'.
Jawatan ini tidak mustahil untuk di beri kepada anak tempatan, bukan tiada bakat-bakat yang tidak tergilap. Sesuatu yang aku lihat dipinggirkan adalah satu......kepercayaan.

Ucapan awal CEO studio sewaktu taklimat permulaan projek aku pahat dalam-dalam di benak hati. Kata CEO, kita mahu menaikkan industri animasi tempatan. Kita mahu muncul sebagai studio terbaik. Kita mahu dilabel sebagai studio termahir.

Pada fikirku, kemasukan tenaga asing ini, membunuh industri secara perlahan. Maksudku, dalam jangka panjang, kesinambungan produksi untuk hari-hari terkehadapan akan malap, kerana pada hari ini tangan-tangan asing sudah mencanai di peringkat asas bidang ini yang sedang bergerak perlahan mendaki industri.

"Tujuan saya adalah untuk meramaikan tenaga mahir dalam industri animasi tempatan dan menjadikan studio kita 'the best' dalam Malaysia. Dan aku turut dibawa rasa 'satu' , pada ketika itu. Rasional kata-katanya aku dapat bayang jelas kerana ramai animator dari studio lain menyerbu studio kami. Warung Mak Su menjadi saksi kerana warung ini yang menjadi pelantar wajib kepada calon-calon yang datang temuduga. Layak dipanggil kaunter nombor satu dalam rantai aliran temuduga. Sesekali terdetik juga dicepu fikir, adakah dengan menyambar animator dari studio lain akan merancakkan industri animasi tempatan? Yang berdetik-detik di cepu fikirku adalah sambaran animator dari studio lain akan lebih membunuh industri itu sendiri. Ini penolakan dalam hati, sekadar itu kerana aku hanyalah titik akhir dalam rantaian hiraki kerja yang CEO adalah ibu pertamanya.

Aku yang mengisi studio pada isi asalnya hanya empat-lima orang sahaja, hingga kini terkembang menjadi berorang-orang. Penggandaan ini membuka ingatku kepada kenangan lalu dan...belon imbas kembali membentuk kepul di sudut kiri kepala ini...

...Tenaga produksi Kharisma Pictures semakin hari semakin bertambah. Kalau sebelum ini hanya Encik Lal sebagai pelukis latarbelakang tunggal, jelajah pencarian animator oleh Encik Kamn ke seluruh Semenanjung berjaya membawa pulang seorang lagi bakal pelukis latarbelakang. Mutiara yang dimaksudkan adalah Mohd Zaki dari Pulau Pinang (Pulau Mutiara). Rupa-rupanya beliau adalah adik kepada Kartunis Kid dari Gila-gila. Zaki seorang yang sangat berbakat....berbakat dalam berdakwat dan berbakat dalam mengayat.

Hari itu, Encik Lal berasa bagai telah menjadi seorang bos besar. Zaki diperkenalkan itu dan ini. Terpaksa mendengar mini dokumentari dari seniornya itu. Susunan meja di kiri kananku semakin diisi. Makin ramai masuk duduk. Mustapha Kamal (kini Bob R) , Tulang (kini dah daging bunyinya-gemuk) , Maulud Abdul Manas, Sham, Ayie Ibrahim, Faridzul Narami(Ah Kim), Ahmad Nazri Mahmood(Amed), Atan(kini Belitong), Dil Fitri (kini Lambok) dan semua ini sekadar beberapa nama kerana kadar nama yang tertinggal lebih banyak dari itu.

Bila orang makin ramai, macam -macam kerenah pulak timbul. En. kamn lebih lagi pening kepala untuk mengawal anak buahnya yang kian membiak. Teringat satu hari, En.Kamn menyedari bahawa Soul (kini Rambai) sering lewat masuk ke studio. Untuk mengawalnya, Soul dipindahkan duduk disebelah pintu biliknya. Soul menjadi tertekan tetapi akur dengan perintah. Bermula hari itu Soul menjadi semakin awal orangnya. Tetapi.....hanya bertahan seminggu. En.Kamn memperhambatnya ke tempat duduk asalnya kerana 2 perkara. Satu..., cara dia memadam kertas lukisan menyakitkan hati En. Kamn. Habis bergegar tiang seri biliknya setiap kali Soul memadam lukisan. Caranya ala-ala Mahmud June menari twiss. Keduanya, En. Kamn menyedari yang Soul mencuri-curi dengar perbualan telefon di dalam. Pantang telefon berdering, telinga Soul akan melekap ke muka dinding dan tersenyum sorang-sorang. Yang menjadi kantoinya adalah, sedang dia melekap telinga ke dinding, Kartunis Ujang sedang menuju ke bilik En. Kamn. Soul terus je kata.....saya cari idea ni, abang Ujang. Ujang langsung jawab, meh lekap telinga kau di ketiak aku....sini lagi banyak idea. Katanya sambil mengangkat bawah lengan. Dengan baju yang tidak berlengan, keseksiannya amat mengesankan selera makan.

Aku hanya memerhati....tapi gelakku tersepit dicelah hati......

Friday, September 11, 2009

Episod 14: Pemasak Mi Segera Misteri

..."Dah siap En. Hafiz....!" aku mengangkat tangan setinggi mungkin. Kaki sedikit ketunjit dan postur badan agak seksi dari sudut tepi. "Save dan boleh balik!" katanya ringkas, tengok tidak, pandangpun tidak. "Ya..nanti, apa-apa hal kami call!" Normi yang sedari tadi menatang skrin komputernya, bertentangan dengan ku, memberi tambah. Selari waktu itu, bingkas bangun dan mengiringiku menuju pintu keluar. Berjalan beiringannya mengimbau bau-bau nostalgik kenangan lalu. Aku melepasi bilik yang penghawa dinginnya masih kekal eksyen selepas diservis, dan kami beriring semakin rapat ke muka pintu.

"Tunggu kami call" katanya ringkas, melambai babai tidak, mengenyit matapun tidak. Dan aku berlalu menuju ke kereta. Sesi temuduga dan menjalani ujian animasi dalam rakaman umur yang agak meninggi mungkin satu langkah ku yang terkebelakang. Ahh...aku tak mahu fikir lagi....yang pasti aku sudah selesai menjalani satu azab panjang. Aku sedar....aku habiskan banyak masa di sini sebentar tadi, temuduga agak lama....kerana bercerita pengalaman yang berepisod, ujian agak lama kerana sambil-sambil bercerita dengan beberapa orang yang ada di situ, yang ikut menyibuk.

Menghampiri kereta dan aku rasa bagai nak karate bahu jalan. Tayar kereta pancit…. Aku yang sebenarnya sudah hilang separuh tenaga memerah kekuatan waktu di temuduga, berasa bergoyang di pinggir parkir itu. Aku toleh kiri kanan, tiada walau seorang insan.

Berbaki kekuatan diri yang separuh, aku gagahi membuka bonet belakang kereta. Mengeluarkan jek kereta dan memusingnya untuk membolehkan kereta terangkat. Setelah kereta yang ku angkat berada pada posisi agak tinggi. Aku mula membuka butang skru tayar. Bila dipusing skru tersebut, tayar ikut berpusing. Jahanam!, aku menjerit dalam hati.

“Sebelum jek kereta, longgar dulu skru tu…..” Satu suara misteri, mengecat dinding gegendang telingaku. Aku angkat muka, angkat punggung dan berdiri mendepaninya. “Meh aku tolong, turunkan jek kereta tu…”arahnya ringkas seringkas pakaiannya.

Dan aku segera teringat, beliau ini salah seorang mamat di dalam studio tadi. Ya…aku baru perasan. “Encik ni……???.” Sapa aku sambil menghulur tangan salam. “Zam….Zam Rejab!” jawabnya ringkas, juga sambil menghulur salam. Kami bersalaman, tapi aku sebenarnya mengengam spanar tayar bukannya tangan mamat itu. Patutlah kasar menggerutu rasanya tadi.

Bonet kereta aku hentam kuat dan menepuk-nepuk tangan membuang habuk. “Terima kasih….” Aku membudi bahasakan diri kepada Zam. Zam angguk ringkas, seringkas pakaiannya. Membelakangiku dan berlalu pergi. “ Ada rezeki kita jumpa……!” pekikku seorang. Zam sudahpun hilang dari fokus pandangan. Datang secara tiba-tiba dan hilang secara tiba-tiba. NAMUN……(Joe Flizow,2009) aku sangat hargai khidmat sukarela mamat Zam Rejab tadi.

Ingatan ku kembali ke zaman Kharisma Pictures. Waktu itu, aku juga sering mendepani situasi begini. Situasi di mana…. sedang kita susah, ada insan hati mulia memberi jengah.

…Di tingkat 15, Plaza Pangkalan itu, kerja-kerja animasi sedang berjalan dengan rancak. Jam menghampiri pukul 4 petang. Semua animator sudahpun mula angkat-angkat kepala memanjangkan tengkuk. “ Mana Kak Gi ni?” bisik Jau yang duduk di sebelah ku. Aku pula menyapa Abong,” Nampak Kak Gi?”Abong pula menyuit bahu Soul (kini Rambai) “Kak Gi….mana? Soul pula menjelir ke Ameir, “Yenna…Kak Gi?” Ameir mendonggak ke arah Ariyon (kini Tembakau), Awok nampok Kak Giey? Dan Ariyon pula menyergah ke telinga Sherina (kini bini aku), “Hoi…kau Nampak Kak Gi ke tidak?” dan Sherina mengakhiri rantaian tanya Kak Gi itu bila ternampak seorang wanita separuh umur masuk dan mengagahi kudrat menolak troli menghala ke arah kami. Melintasi seorang demi seorang, Kak Gi mengedarkan mug berisi teh minum petang. Jijie dan Noman yang duduk di meja paling belakang sudah membilang-bilang, takut-takut teh untuknya akan kehabisan.

Begitu suasana petang Produksi Usop Sontorian. Kami akan bersantai sekejap sambil memperkena teh Kak Gi. Sambil itu borak kosong pecah suasana. Ada hilai tawa, ada gurau senda, ada yang sendawa. Ada tepuk tampar, ada tepuk bedak, ada juga yang membunyikan ketiak.

Bila suasana sudah hingar mengalahkan tapak ekspo, En. Kamn yang diam di biliknya akan keluar menyergah,” Dah macam pasau….semua dah besau…tak kan itu pun aku nak kabau……” dengan bunyi Melakanya yang masih pekat, beliau akan menelusuri lorong tengah di studio itu yang kiri kanannya terdapat meja-meja animator. Sambil itu matanya liar melihat animasi yang sedang dikerjakan oleh anak-anak didiknya. Pantang nampak yang gerak, pasti En. Kamn akan singgah di meja dan duduk untuk memeriksa. Alamat kecut kerandut la, bagi siapa yang animasinya disemak oleh En. Kamn. Dengan suaranya yang garau bergema, satu studio akan terdengar komen-komen bercili darinya, NAMUN…(Joe Flizow,2009) itu adalah cara beliau memberi didikan kepada kami, anak-anak buahnya ini.

Waktu itu, hampir tiada langsung institute yang mengajar animasi secara serius. Tidak ada…, kecuali syarikat-syarikat animasi sendiri yang memberi latihan kepada bakal-bakal animator. Walaupun kami menjalankan produksi animasi, NAMUN….kami bukanlah produksi animasi terawal dalam negara, kerana waktu itu telahpun ada produksi animasi dari Lensa Film yang menjalankan animasi untuk negara Jepun. Tenaga pengajarnya diturunkan dari Jepun untuk melatih animator tempatan dan tidak hairan, animator-animator yang mendapat didikan dari pakar Jepun itu muncul sebagai jaguh animasi pada hari ini. Salah seorangnya adalah sdr. Mohd. Ismail (Mike) yang dikatakan animator 2D terbaik dalam negara yang kini berjawatan Pengarah Animasi di Vision Animation, Petaling Jaya.

Jawapan kenapa Kak Gi lambat menghantar teh petang kepada kami pecah kecoh. Di pantry sebentar tadi berlaku penemuan baru yang membongkar rahsia sudut gelap waktu malam kami, para animator di sini. Sewaktu setiausaha kepada Pak Lum (Boss besar) membuat air untuk Bossnya, beliau menemui sisa mi segera dalam cerek air panas. Gendang perang segera di palu pihak pengurusan ke arah kami di unit produksi. En. Kamn cuba mempertahankan kami dengan mengatakan, mungkin “pemasak mi segera dalam cerek” ini terlupa untuk membersihkannya jadi maafkan saja, perang boleh tamat. Gendang perang tidak mahu kunjung berhenti, tidak mahu kalah, tidak mahu berpaling tadah. “Pemasak mi segera dalam cerek” itu diburu hingga ke lubang penghawa dingin.

…Aku menguatkan penghawa dingin kereta, lenguh dan peluh episod tayar pancit tadi masih lagi berbaki-baki. Kereta makin kuderu pergi laju. Aku ingin sampai cepat ke rumah. Aku nak rehat, aku nak lepas lelah. Masuk ke garaj dan menarik brek tangan kereta. Keretaku diam di situ, aku keluar dan mengetuk pintu. Bila pintu terkuak, suara kedua-dua anak ku sedang berdoa, mohon aku dimurahkan rezeki mendapat kerja yang ku pohon tadi. Ya… doaku juga senada, aku kasihan melihat mereka yang sering aku tinggalkan untuk urusan kerja hingga aku terlepas detik-detik usia mereka yang pasti tidak akan berulang pada hari-hari terkehadapan. Tuhanku……kau kabulkanlah…..amin.

Monday, September 07, 2009

Episod 13: Di serap dalam Produksi Usop Sontorian.

Aku melangkah keluar dari bilik kaca yang penyaman udaranya sedang dalam baki-baki eksyen kerana baru diservis. Di luar, meja kerja bersusun rapi dan Hafiz sudahpun sedia mempelawa aku duduk di satu stesen kerja yang kosong untuk ujian animasi. Melabuh punggung di kerusi dan menyandar sambil membuang debar. Tersua di depanku, sehelai kertas A4 dengan isi taip yang hanya 2 baris. Baris 1, Anda dikehendaki melukis watak berjalan. Baris 2, anda dikehendaki melukis ilustrasi 4 watak berbeza.

Aku mencapai mause untuk mula menjalankan ujian animasiku. Di belakangku, Hafiz sudah berenjut-enjut bahunya dan tak lama selepas itu ketawanya terburai.....kejap berbunyi, diw...diw...diw....diwan, kejap bunyi ai...ai...ai....ayop, kejap bunyi cek...cek..cek...cek we.

"Di sini..atau dengan bahasa yang lebih sopan, 'zaman ini' animator buat animasi guna Tablet Pen, tak guna mouse lagi." Hafiz melontar sindir yang melekat tepat dibenakku. Serentak itu beliau menolak ke arahku sepuntung Tablet Pen bewarna putih. "Guna 'mouse' zaman moden ini" sambungnya lagi. Tawanya masih berbaki....poj...poj..poj....poji, bunyinya lagi, buw....buw..buw....buwan, bunyinya makin menjadi.

Tanpa membuang masa, aku bersilat dengan tablet pen itu dan mencanai garis-garis vektor di kaca monitor. Ianya bukan begitu susah bagiku kerana di studio-studio animasi yang aku sertai sebelum inipun, benda-benda ini juga yang aku kerjakan. Cuma teknologi sudah berubah, aku juga harus sedia masuk ke lingkung teknologi tersebut untuk merasai alir kemajuannya.

Mujur..... pengalaman lalu begitu membantu, sangat-sangat membantu. Aku hanya perlu mengimbas semula kenangan-kenangan lalu dan serentak itu, tangan kiriku rancak menarikan garis menjadi bentuk dan bentuk menjadi pose dan pose menjadi gerak-gerak animasi. Fikiran ku melayang. Berkitaran ke masa-masa lampau...

...Setelah
melalui proses latihan yang penuh pahit manis, aku dan sebarisan kawan-kawan akhirnya diserap masuk ke produksi Usop Sontorian. Pagi itu, rasa aku bercampur-campur, jiwa aku bersimpang siur dan nadi bergerak kian tidak teratur. Diberitakan oleh En. Kamn, kami pada pagi itu akan diberi helaian Storyboard maka secara rasmi kami akan terlibat dengan produksi bersejarah dunia penyiaran, siri animasi TV pertama di Malaysia. Setelah 3 episod awal Usop Sontorian mengerah darah keringat 7 animator yang senior itu, kami menjadi mangsa-mangsa baru yang terjebak ke dalam jerat produksi bermula dengan Episod ke 4. Hah..hah..aku berkata begitu kerana sesungguhnya kerja ini memerlukan rasa korban dan rela dikudakan demi untuk menyiapkannya.

Namun, rasa bangga berjaya juga menyaluti benak sanubari sepanjang membongkok diri sewaktu membuat kerja animasi. Aku bangga sebenarnya, walau ada bibir-bibir tebal yang tak putus-putus memberi bebel. Kata mereka, animasi kami melanggar kaedah pembikinan animasi yang tradisi, animasi kami huduh wataknya, dan animasi kami membunuh keindahan bahasa.
Aku tidak ambil fikir jauh-jauh perkara itu. Biar ia berlalu, yang pasti aku perlu teguh diri untuk membentuk tugu berjaya dalam bidang ini.

Bekerja hingga ke malam dan adakala mencium bau pagi sudah menjadi biasa bagi animator seperti kami. Meja kerja kami yang sekangkang kepit budak tadika menjadi bagai bilik bujang masing-masing. Di kala produksi menuntut korban masa tidur di tilam empuk dalam rumah, kami akan beramai-ramai mengadakan acara tidur terbuka di dalam studio.
Setelah berhempas pulas, bekerja di siang hari dan hanya sesekali turun untuk makan dengan suap yang terhad, maka bila malam menjelma datang, bertebaranlah badan-badan yang telah penat bekerja. Ada yang tidur di bawah meja, ada yang tidur di atas kerusi yang dikembarkan tiga, yang bernasib baik dapat tidur di sofa tamu di sudut depan. Pada yang tegar, ada yang sanggup tidur duduk di kerusi kerja dan yang lebih tegar kadar dengarnya, akan tidur di sebelah mesin fotostat. Pada aku, orang yang boleh lena di pinggir mesin fotostat adalah manusia yang cekal mutlak atau lain katanya manusia yang kekal pekak. Ini kerana mesin fotostat pejabat tetap digunakan oleh animator walaupun hingga ke tengah malam. Mereka membuat salinan fotostat lukisan Storyboard, lukisan watak dan tak kurang juga menyalin buku animasi yang berpeha-peha tebalnya.

Maka pagi esoknya, Lee Hun, pengurus bahagian pentadbiran akan memekik," Haiya!!! Kertas A4 habis lagi ka? Makan kertas ka? Buat roket ka? Buat gulung undi main kutu ka? Bisingnya akan bersambungan selama seminggu.

Bila pagi datang, rebut merebut bilik mandi menjadi ketawa Sang Mentari Pagi. Kami mandi di tandas yang dikongsi bersama oleh penyewa-penyewa lain. Pernah sekali, sedang salah seorang dari kami mandi, air mandiannya tersimbah lencun ke badan salah seorang pekerja syarikat lain yang masuk ke tandas yang sama. Basah kuyup persalinan pejabatnya pagi itu, tambah buat beliau marah adalah, beliau ada satu pembentangan kertas kerja penting kepada klien beberapa jam lagi. Apa jadi padanya tak pula aku telusuri secara lanjut. Tapi aku terbayang beliau membentangkan kertas kerjanya dengan bertuala mandi sahaja. Kah..kah..kah.....


Rupa-rupanya peristiwa itu tidak mati di situ saja, perkara itu dipanjangkan ke pihak pengurusan dan kami kian dipandang sendeng oleh pihak pentadbiran.
Pagi itu....kami dikumpul untuk mendengar ceramah. Diceramah bagai budak kecil yang tertumpahkan air ke permaidani Udani Carpet(Kami juga buka pada hari ahad).