Wednesday, November 25, 2009

Episod 20 : Animasi 3D, Satu Seni Yang Teknikeli



Animasi 3D adalah lanjutan dari seni animasi 2D. Yang membezakan keduanya ini adalah sudut pandangan. Animasi 2D akan memperlihatkan karya yang flat, yang terhad kepada 2 sudut pandangan iaitu Ketinggian dan Kelebaran. manakala animasi 3D memperlihatkan animasi yang mempunyai 3 sudut pandangan iaitu Ketinggian, Kelebaran dan Kedalaman. Dengan adanya 3 paksi pandangan, animasi menjadi lebih realistik dan dapat menghampiri rupa bentuk sebenar sesuatu objek.

Sewaktu di Kharisma Pictures, aku tersogok oleh animasi 2D yang tidak pernah selesai tugasnya. Proses sketch, melukis, mewarna dan melukis latarbelakang dikerjakan secara berulangan dan kadangkala mengundang bosan. Untuk menghilangkan rasa bosan, pelbagai perangai pelik ditunjukkan oleh animator seperti, mengorat Mak cik Cleaner, membuat roket dan melancarkan ke ruang udara Studio, menelefon stesen TV sambil menyamar sebagai artis popular, minum di kedai mamak tetapi bayar di kedai buku. Makan tengahari di Senawang dan sendawa kenyang di Bukit Kayu Hitam. Sekadar menulis beberapa.



Suatu waktu yang terkemudian, En. Kamn mewujudkan unit animasi 3D. Kemasukan graduan dari Universiti Luar Negara ke unit ini menampakkan seni 3D berada pada kelasnya yang tersendiri. Ia nampak tinggi walau hanya bertingkah 1D sahaja. Aku memang meletak tangan separas kepala bila melihat karya digital mereka. Ya....tentunya, mereka belajar di tempat yang jauh, pastinya kerja menampak jaguh.

Di awal kemasukan mereka, En. Kamn meletakkan animator 3D dibawah pengawasan kami dan meminta kami memberi tunjuk ajar berkenaan 2D. Satu muslihat yang tidak dapat aku uraikan. Aku sungguh berasa ini langkah mati. Aku jadi kaku di depan mereka. Ia seperti mengajar cikgu PJ, cara berlari. Atau mengajar pemandu bas mini, jalan pintas ke destinasi. Dalam kaku yang segan-segan ubi, aku mengajar juga dan aku sedari, mereka lebih banyak diam dan aku tahu mereka sebenarnya sudah terlebih faham.

Hari ini memperlihatkan animasi 3D tempatan sudah pergi jauh. Upin & Ipin membuatkan Mak Cik Malikuypun mengaku yang anaknya bekerja sebagai pelukis animasi 3D. Katanya lagi, suara asal Upin & Ipin adalah miliknya. Tetapi telah diberi kesan khas bunyi hingga kedengaran lain sekali. Aku kagum dengan keterampilan karya anak-anak muda yang menanganinya. Juga memperlihatkan keberkesanan pengajian bidang animasi di Universiti. Nadi utama yang memunculkan fenomena Upin & Ipin adalah graduan muda dari sebuah Universiti Multimedia yang aku sendiri mengidamkan hasrat untuk masuk. Aku masih ingat, setiap kali keluar iklan kemasukan, aku akan memohon dan langkahku akan terhenti setakat itu sahaja. Aku hanya dapat membaca dan menelaah buku perspektusnya sahaja kerana tiada upaya mampu dari bucu kewangan menaja.

Teringat kepada seorang kawanku. Beliau pada asalnya, mempelajari bidang grafik di sebuah kolaj swasta di Taman Melawati. Dalam pada itu beliau sangat meminati bidang fotografi dan aktif mengambil gambar kawan-kawan sebagai model uji. Ketika era ekonomi gawat beberapa tahun ke belakang, beliau mendapati bidang grafik tidak memberi banyak peluang untuk beliau mencari sesuap nasi. Waktu yang sama beliau terdengar dari kawan-kawan yang sering berkumpul di Pasar Seni berkenaan sebuah syarikat animasi sedang mencari pekerja. Sebuah syarikat yang pangkal di Petaling Jaya, baru memulakan produksi dengan dua tiga kerat tenaga animator yang datang dari produksi Kharisma Pictures. (Ini bukan penamat kepada penceritaan kisah Kharisma Pictures, walau ia tampak telah melompat ke depan dan kebelakang. Pengkisahan Kharisma Pictures akan aku lanjutkan lagi mengikut kesesuaian entri.)

Kawanku ini di terima masuk menyertai syarikat baru ini dan sebenarnya (Yuna?), aku mula mengenalinya di sini. Setahun beliau bekerja dan mengambil langkah mengejut untuk berhenti dan dengan azam tinggi untuk menerokai bidang animasi dengan lebih lagi, beliau nekad berhenti kerja, menjual kereta kecilnya dan mendaftar masuk belajar di Universiti Multimedia. Selepas pada itu, aku terputus talian dengannya sehinggalah dia muncul semula selepas tamat pegajian beberapa tahun.

Jika dulu beliau hanya sebagai Pelukis Animasi, hari ini beliau muncul kembali dan kembali mengabdi diri tetapi tidak lagi sebagai pelukis animasi, tetapi muncul sebagai Usahawan Animasi. Syarikat beliau sedang mengusahakan animasi Sang Kancil dalam bentuk 3D. Lanjutnya boleh ditelusuri dipautan ini, www.otekkekatak.blogspot.com

Ledakan animasi 3D di Malaysia, memberi sedikit kesan sunyi kepada animasi 2D. Ledakan ini terjadi kerana kebanyakan pusat pengajian tinggi yang menawarkan program animasi akan lebih menonjolkan animasi 3D berbanding 2D. Aku sedikit tersinggung dalam perkara ini. Seperti bicaraku pada awal entiri, rentaknya berbunyi agar 2D tidak dianak tiri. 2D juga mempunyai peminatnya yang sendiri begitu juga 3D yang memang mempunyai pengikut berani mati. Cuma aku berharap pihak-pihak yang kurang memahami agar segera mendalami kebezaannya yang dua ini.

Ingin juga menyentuh pertandingan karya seni yang dianjurkan oleh salah sebuah stesyen tv. Beberapa siri pertandingan ini diungguli oleh animasi 3D. Aku berani mengatakan bahawa jalan sukar untuk 2D mengapai kemenangan jika ia dipertandingkan seiring dengan 3D. Imej 3D sudah pastinya memberi impak besar dalam kualiti kerana ia adalah kreativiti janaan komputer.

Seseorang kawanku pernah berkata, tapi sebenarnya aku yang berkata kepadanya, beliau memperkatakannya semula kepada ku. "Apa-apapun, animasi 2D dan 3D ini mempunyai kelebihan masing-masing dan mempunyai pengikut masing-masing. Jalan terbaik adalah kita menguasai kedua-duanya walaupun ini jarang berlaku kepada animator dalam negara. Namun sesuatu fakta yang aku sangat bangga adalah animator 3D luar negara yang hebat , kebanyakannya bermula sebagai animator 2D.











Sunday, November 01, 2009

Episod 19: Kehadiran Seorang Jantan

Kharisma Pictures yang dulu-dulu...

Mahu menaiki Studio di tingkat 15, memaksa aku melintasi meja pengawal keselamatan. Dua orang pengawal keselamatan yang sangat berwatak adalah Encik Mariapan dan Abang Zainal. Mariapan dengan ramah gelengnya yang sentiasa beriring sewaktu berbual. Dia tak mengerti animasi hanya tahu "thani dan nasi". Sementara Abang Zainal pula bermisai dan serius. Juga tidak mengerti animasi, hanya Ani sahaja yang dikenali...(Ani adalah nama isterinya). Mungkin Abang Zainal akan namakan anak dengan nama Masi? Tanya ku berseloroh....Mariapan sudah pun tergelak hingga ke hujung kaki lima menghampiri pintu Bank namun Abang Zainal tetap kekal serius. Aku rasa kemalu-maluan lalu berlari laju mengapung diri dalam lif untuk ke tingkat atas.


Sebaik lif singgah di tingkat 15 , TING!!! dan pintu menganga minta keluar, aku melompat ala-ala capoera. Perlahan-lahan tapi penuh gaya. Lif sebelah ikut terbuka, TING!!! dan memuntahkan 2 orang manusia. Aku kenal yang seorang. Tangannya berbulu dan mukanya iras-iras Bruce Willis. Aku menyapa,"Hang dari mana Mat Ki?" dan dia menjawab secara syilaka..."...dari dalam lif la...nak masuk ofis..."


Aku terus menari twiss kat situ jugak. Lawak Mat Ki tadi mengingatkan aku kepada Pak Maon...
Mat Ki meninggalkan aku dan diaa pergi dengan seseorang di sampingnya. Aku lihat seseorang itu dan berkata di dalam hati..."MACAM JANTAN SAJA". Aku terus memPak Maonkan diri. Semakin laju aku menuiskan diri. Dan... TING!!! pintu Lif ketiga terbuka. beberapa rakan animator keluar pintu. Langsung menegur aku..."Kau buat apa ni?"


"Aku twiss...,En.Kamn kata, siapa datang lambat kena twiss kat sini!". Langsung kawan-kawan tadi yang menyedari mereka sudahpun lewat 15 minit untuk masuk ke Studio, ikut menari Twiss bersama-sama. Bersungguh-sungguh dan seligat mungkin. Lantai bingit dengan decit-decit bunyi lantai yang bergeser dengan tapak kasut masing-masing.


Dan...TING!!! Lif keempat membuka nganga. En. Kamn keluar. "Korang buat apa ni?"


" Kami Twiss En. Kamn...ehh?" Lalu lantai itu semakin bising dengan tapak kasut rakan-rakan animator yang ramai-ramai mengejarku yang telahpun berlari masuk ke dalam studio.

..........................................................................................................................................................................

"Seseorang sedang ditemuduga!" Bisik Ben ke telinga ku. Aku tak rasa dia sedang berbisik kerana Lee Hun yang berada di luar tampak menegakkan kepala. Telinga aku sendiripun bagai ditekap Headphone dengan volume maksima.


Rakan animator ku ini memang mempunyai masalah deria dengar. Semua orang tahu itu dan dia selalu tertinggal keretapi tiga destinasi dalam banyak perkara ruji. Pernah sekali dalam mesyuarat, En. Kamn menanyakan ada sesiapa yang masih belum mendapat komputer? Beliau mengangkat tangan pada hari ketiga selepas kejadian.


Baris sebelahku diduduki oleh orang-orang baru. Masuk mereka, seorang demi seorang dan semakin memeriahkan studio animasi kami. Salah seorang animator, Shamri Azwan yang digelar Ustat kerana janggut sejemputnya. Beliau kurus tinggi dan sangat meminati muzik-muzik M.Nasir dan Kembara. Beliau sendiri kelihatan seperti M.Nasir jika di dalam gelap. Antara lagu kesukaannya adalah, Keroncong untuk Ana dan Ekspress Rakyat. Lagu ini diulang pasang berminggu-mingguan. Kegemarannya juga tentu sekali melukis. Beliau sering melakar-lakar figura manusia dan selalunya subjek lukisannya adalah wanita tanpa seurat benang. Dan sering juga lukisan itu hilang tanpa beliau tahu siapa gerangan pencuri gersang.


Seorang lagi animator, Ajib Rawang yang berasal dari Rawang. Menariknya tentang Ajib Rawang ini adalah, beliau gagal pada ujian melukis yang diwajibkan En. Kamn. Seharusnya beliau pulang dengan hampa yang beriring kecewa. Aku sebenarnya tidak berani untuk menulis sesuatu konspirasi yang terjadi, namun apa yang berlaku adalah keesokan harinya, Ajib Rawang masuk bekerja untuk hari pertama dan terus kekal ke akhirnya. Lewat beberapa tahun selepas itu, dia yang sering kantoi dalam lukisan figura manusia, boleh muncul sebagai pemenang Rekaan Watak Terbaik dalam satu pertandingan anjuran satu agensi kerajaan. Pengajaran yang aku cungkil dari kejadian itu adalah, walau seseorang itu tidak pandai, tetapi mempunyai minat dan keazaman, maka segalanya boleh digapai dan sesuatu boleh berubah.

Tok Sidi juga salah seorang animator. Di Terengganu tempat asalnya, beliau membuat bermacam kerja dan salah satu kerja adalah memotong rumput di tepi jalanraya. Satu hari, beliau terpaksa memotong rumput di kawasan kampung asalnya. Untuk mengelak dari diri dikenali, beliau memakai serkup yang menutup seluruh muka. Sewaktu melakukan kerja memotong rumput seseorang menegurnya..."Kuak kirje Abang Sidi ni..dok berenti makang ke?" Sehingga hari ini Tok Sidi masih mencari....siapa yang buka mulut memecah rahsia peribadi hinggakan dalam selubung yang rapi, dia boleh dikenali.


Waktu itu, dalam studio kami, hanya ada dua unit. Unit Animation dan Unit Background. Unit Storyboardpun belum lagi wujud. Ini berlaku kerana waktu itu, Storyboard adalah datang dari tangan Kartunis Ujang secara terus. Mengikut perjanjian asal, beliau melukis rekaan watak dan sekaligus akan disusuli dengan Storyboard. Namun, setelah Kumpulan Kharisma menubuhkan Kharisma Publication yang memfokus kepada penerbitan majalah lawak antarabangsa, diketuai oleh Ujang sendiri maka beliau tidak lagi punya masa untuk menyumbang Storyboard. Dengan itu, unit Storyboard diwujudkan. Storyboard Artist yang pertama adalah AzharAhmad (kini Tembakau) diikuti Shamsul Ikram Ghazali (kini Rambai), Roslan Ayob (kini Taugeh) dan beberapa orang lagi yang datang kemudian.


Mereka diasingkan di bilik lain. Setelah ini berlaku, revolusi baru dalam Storyboard dapat dikesan. Mereka banyak menyuntik elemen perfileman yang memang menjadi perkara perlu untuk mencantikkan gambaran cerita yang dihasilkan. Tembakau terutamanya, memang dapat dikesani, kelainan Storyboardnya lewat shot-shot kamera yang dipelbagaikan. Karya beliau episod "Perang Bintang" mencetus satu halatuju baru Usop Sontorian dalam mempelbagaikan khalayak penonton.


Karya Rambai pula lebih kepada penekanan lawak yang tidak disangka. Beliau pandai memanipulasi visual membuatkan penonton tidak menjangka apa akan berlaku pada scene-scene seterusnya. Elemen kepurbaan dan Superhero menjadi minat beliau dan semakin banyak unsur begini diterap rapi pada Storyboard yang ditangani beliau.


Adalah satu situasi yang seronok bagi kami, para animator bila melihat kumpulan Storyboard ini bergerak memasuki bilik En. Kamn. Tembakau akan menyanyikan lagu "Kiki bublegum baru..." sepanjang perjalanan ke bilik En. Kamn. Sehinggakan kadang-kadang dijengok oleh pekerja pejabat bersebelahan.

Masuk ke bilik En. Kamn, seperti biasa, di bilik ini Story mereka dibedah, di bilik ini otak mereka ditambah ilmiah dan di bilik ini juga ego mereka dibelasah. Kami seringnya akan tertanya-tanya apakah story baru dari mereka. Setelah Storyboard ini siap, ia akan dihantar kepada kartunis Ujang untuk diletakkan Skrip. Juga suatu sejarah bila mana Skrip dibuat kemudian setelah Storyboard siap. Sesuatu yang hebat tentu ada pada kartunis Ujang kerana beliau dapat menghasilkan skrip yang baik dan selalunya menyimpang dari apa yang Storyboard Artist tersebut fikirkan dan paling mengejutkan ialah Story itu akan menjadi lebih baik lagi.



Ini terjadi pada satu Story yang aku buat. Story ini disambung oleh seorang Storyboard Artis yang lain kerana kegagalan aku memberi sentuhan visual yang baik. Ia kemudian mendapat sentuhan Ujang dan ternyata, ia lain dari apa yang aku gambarkan.

............................................................................................................................................................................


Cyberjaya, yang baru-baru...

Aku duduk berdepan betul dengan seorang Storyboard Artist. Kawan lama, tapi dulu dia tidak seberbulu begini. Dia menangani Storyboard. Seorang diri dan aku sedari, dia suka bersendiri. Tetapi jangan dibuka cerita tentang dua perkara ini yang akan membuatkan dia tegak berdiri. Satu, cerita komik sebagai industri dan kedua cerita kaedah perubatan tradisi.

Sebagai orang baru, aku masuk perlahan-lahan ke dalam suasana Studio. Memerhati dan memula dengan sebelah kaki. Bila mana suasana seperti menjadi serasi, aku menapang dengan kedua-dua kaki. Sebenarnya agak lenguh untuk berdiri dengan hanya sebelah kaki. Terasa kebas di buku lali dan terasa gigil segala sendi. Berdiri dengan dua kaki memberi nikmat yang tahap tinggi.

Seseorang memperkenalkan diri sebagai Mojave. Bersalaman dan aku seperti pernah lihat beliau ini. Kami berbual ringkas dan satu persatu, cerita lama terimbas. Kami pernah kerja sekali dan sekali itu saja la. Hari ini bertemu kembali dan aku banyak meminta bantu beliau dalam hal-hal teknologi. Sesuatu yang positif tentang yang seorang ini adalah kerajinannya meneroka teknologi. Apa sahaja yang baru akan dicuba dahulu. Pernah sekali dulu aku membawa roti perasa baru dan itu juga diterokanya dulu dan diberi komen-komen membina setelah plastik roti menjadi separuh isi.

...........................................................................................................................................................................


Kharisma Pictures...lama dahulu....teringat kembali.

Mungkin ada yang dapat mengesani. Teks "MACAM JANTAN SAJA... " yang aku tonjolkan di muka entri. Ayat itu memberi makna dalam, pada hidup aku. Ia adalah ucap spontan aku sewaktu melihat seseorang buat pertama kali. Aku belajar sesuatu...iaitu, jangan sewenang kita melempar keji kepada orang lain kerana keji itu akan datang kembali kepada kita.

Dan pelajaran itu aku ambil perhati dan seseorang yang "MACAM JANTAN SAJA" itu, aku ambil sebagai rakan kongsi.

Selalu aku membaca cerita dengan diakhiri oleh ayat begini, "the moral of the story....." dan aku ingin meminjam bait-bait ini. Harap empunyanya tidak meminta royalti. The moral of the story...........
...aku melukis mural di dinding rumah Pali...














Wednesday, October 21, 2009

Episod 18: Pejuang Terbuang

Kharisma Pictures. Lama dahulu...

Ini sejarah lama yang ingin aku kongsikan, dalam pada Usop Sontorian gemilang diangkat media kerana muncul sebagai animasi TV pertama, ianya pernah mengalami zaman gelap. Gelapnya berbunyi begini...


Lebih separuh animator berhasrat dan bertekad untuk tinggalkan produksi. Aku yang masih mentah untuk menyedari apa itu konspirasi dan irihati, turut dibawa arus penentangan itu. Sebuah institusi kecil yang berlindung dibalik susunan bata merah itu, tampak tenang pada setiap masa tetapi ianya menyimpan seribu satu rahsia, suka dan duka, riang dan sengsara. Produksi ini mendapat publisiti yang gegak gempita. Ia menjadikan kami tampak hebat namun sebenarnya kami kekurangan segala benda.


Segalanya bermula dengan satu perkara pelik. Beberapa orang yang tak pernah bermalam di Studio tiba-tiba menjadi rajin dan ikhlas untuk berada di Studio hingga ke pagi. En. Kamn menyedari keluarbiasaan ini namun hanya mendiam diri, memerhati dan aku tahu...dia mengkaji.


Aku yang bukan watak popular dalam produksi itu, menjadi antara orang yang akhir untuk tahu golak gejolak yang berlaku. Dalam fana yang terpinga, aku diangkut bersama-sama kumpulan animator lain, menaiki beberapa buah teksi dan menuju ke sebuah stesen TV. Sampai di sana, kami dikumpul duduk di sebuah kedai kopi.


Beberapa orang senior yang menjadi kepala meyakinkan kami, tawaran tinggi sedang menanti dan tapak masa depan gemilang sedang dijejaki. Aku berbisik kepada yang lain. Sungguhkah ini? Langkah yang betulkah ini? Namun, tiada siapa yang tahu dan aku dapat baca, masing-masing sedang dilanda ketidakeruan yang nyata. Semuanya mengambil langkah selesa. Membiar diri dibawa arus paya.


Sebentar kemudian muncul 'watak' utama yang diberitakan sebagai wira penyelamat kami. "Watak' ini menjanjikan segalanya ada kepada kami. Lokasi Studio baru yang mesra kunjung, slot tayangan di TV sedia kosong dan isian poket yang berkarung-karung. Kumpulan kami yang belum pernah menikmati manisnya menjadi animator, sangat-sangat teruja jadinya. Ditambah dengan angguk yakin dari kepala-kepala yang mengepalai kami, kesemua animator yang ada mengekal nganga. Sepanjang perjalanan pulang, cermin tingkap teksi yang kami naiki memberi refleksi yang lain sama sekali. Keluar dalam bayangan, kehidupan mewah yang serba-serbi dan didamping gadis manis dan sunti, membuatkan kami senyum melebihi gusi. Masing-masing bertekad, sama pulang untuk menulis surat mohon berhenti, sama sehajat sama sepakat.


Keesokannya, suasana di dalam studio agak fana luar biasa. Penghawa dingin seperti gentar untuk berbunyi lebih seperti biasa. Mesin fotostat yang selalunya akan menjadi muzik latar, langsung merajuk diri, mohon diselenggara. Aku masuk ke studio agak lewat, mengarang surat berhenti yang pertama kali memaksa mata jekang hingga ke pagi. Animator lain, ku dapati membuat kerja seperti hari semalam. Tarikan garis, lukis-melukis, memainkan suara dan mewarna, aktiviti biasa berjalan bersahaja. Senior yang semalam berwatak pembela, aku tengok seperti pembaca berita. Aku mengangkat kening memberi tanda dan lebih kepada bertanya, tapi dijawab dengan jelir lidah pelawak tamil yang jenaka.


Dentum pintu bilik En. Kamn mengejutkan aku. Seorang animator keluar. Riak muka juga sukar dibaca. Sedikitpun tidak mentafsir makna. Seorang lagi dipanggil dan dalam gigil ketara, masuk menyua kepala. "Apa berlaku ni?" soalku kepada seseorang. Tidak dibalas, pandang pun malas."Apa yang berlaku ni?" soalku kepada papan kekunci, untuk mengelak malu dituduh bercakap seorang diri. Sambil jari membunyikan kekunci lebih lagi, kununnya menjawab memberi interaksi.


Hari ini aku faham politik tempat kerja. Studio yang sedang bergolak diancam tenaga-tenaga yang ingin berhenti, diusahakan untuk tidak dibiarkan pergi. Jika ramai yang terlepas pergi, ia akan memberi kesan kepada periuk nasi. Dan sebolehnya kami dipagar besi dan duri, dilayan kerenah selayak bayi dan di'ampu ampi' " kau jangan pergi". Seseorang berkata, pihak pengurusan mengambil tindakan "Pecah dan Perintah". Patutlah lepas seorang, seorang akan masuk ke dalam, masuk muka manis...keluar muka apam. Masuk rambut rapi...keluar rambut tajam.


Akhirannya, 'dalang' yang mengepalai luahan jiwa para animator dapat dikesan. Mereka diambil tindakan keras. Tiada peluang kedua yang diberi belas. Mereka diminta keluar secara beralas. Aku sedih dengan malang yang menimpa mereka. Bukan senang menjadi pejuang, hanya yang kental, sanggup menjadi arang. Mereka meninggalkan bakat-bakat muda yang masih bara untuk berkarya.


Sesuatu yang aku sedari, pengurusan menjadi lebih hemah pada kala selepas peristiwa mendung berlaku. Mereka lebih mesra, lebih manja dan lebih mangga. Aku dapat melihat tanda-tanda perjuangan pihak yang terkorban dulu, kini terjana. Kami pula, dengan selamba mengutip laba. Sedang yang terkorban itu, apa cerita? Sejarah telah membuktikan, seseorang perjuang akan tercicir dari apa yang diperjuangkan. Namun hasil perjuangannya akan disifir oleh orang-orang yang kemudian, akan difikir oleh orang-orang yang berkenaan.

...........................................................................................................................................................................


Cyberjaya, hari pertama kerja...

Aku masuk ke pintu kaca itu lagi, kenangan lalu yang menemani ku sepanjang perjalanan tadi, aku lempar ke tepi buat seketika. Aku ingin fokus ke arah sini, aku berjalan perlahan-lahan mengurang bunyi. Studio ini seperti ada orang mati, senyap dan sepi. Ku lihat, ramai juga yang sedang duduk bekerja, mata berkedip dan pasti bernadi. Ah...budaya kerja di sini agaknya, tiada lagu bernyanyi, tiada batuk bertibi. Aku dihala ke sebuah kerusi. "Sini tempat awak, duduk dulu, nanti saya datang lagi" kata seorang pegawai penyambut tadi.


Akupun duduk bersandar. Mata berkeranjang memasang radar. Ada beberapa orang yang dah lama aku kenal seperti Diwan (kini Warih), x'Alid (kini OKLid), xstudentku Anep (kini pembaca setia Kosmo) dan PO-G (kini pembaca setia Malaysia Kini). Yang lain aku belum kenal. Disekelilingku, semua pekerja yang pertama kali kutatap wajah...dan aku langsung menjadi malu-malu Fatehah Abdul Fatah.




Thursday, October 15, 2009

Selingan



Aku dapat hadiah ni dari Kupeh (Tengku Hufiz?) masa tinggalkan Vision Animation. Bagus kalau menghadiahkan lukisan kepada orang dijadikan budaya.

Monday, October 12, 2009

Episod 17: Pagi Yang Magis, Aku Mengadap Mages

Seawal pagi, aku sudah memacak diri di Studio itu. Lokasi Cyberjaya menghuru dan harakan arah keretaku. Aku benar tak biasa di wilayah ini. Tampak asing dan aku sering terpaksa pusing.
Pinar-pinar pening berputar berwajah gasing.
Aku di sini sepagi ini kerana memenuh janji. Panggilan dari kakitangan Studio tempuh hari, minta aku kemari. Hari ini aku akan menerima surat tawaran kerja. Satu bukti rasmi, aku diambil menjadi kuli. Agak lama aku paku melaras diri. Hairan, tidak ada seorangpun kelibat manusia yang boleh aku sapa. Legar itu kosong dan sesekali disulam dengan bunyi wanita melaung. Aku berasa tidak sedap jantung. Perlahan-lahan aku maju ke arah suara yang sesekali memecah sunyi.
Suara itu nyata datang dari arah penghujung lorong dan aku mendorong rasa takut berani yang berseli. Aku melangkah satu-satu. Hati-hati dan mengkalis bunyi. Lalu saat ini aku hanya selangkah ke pusat bunyi. Lutut sudah memberi laga yang bertubi-tubi. Gigi atas dan bawah saling menendangi. Aku amati dengan deria telinga yang rapi. Ia kian jelas dan selantas itu, rasa berani menguasai diri. Aku nekad sekali ini, aku akan sergah memberi bunyi ke arah laung wanita yang misteri. Bila waktunya ku rasa pasti.........dengan penuh tenaga yang ku kumpul sebati, aku melompat ke arah balik dinding yang memberi bunyi. Aku jerkah sekuat hati dan gempa gemapun meraung di kotak empat segi.
"Tingkat Bawah.....Ting!!!" Ceh.......bunyi lif rupanya......... bunyi lif....

Aku kembali ke pintu kaca yang tadi. Sambil hati memaki-maki, kenapa tertipu pada lif yang punyai bunyi. Phuwii...
Aku mendail ke nombor Studio dan memaklumkan aku sudahpun sampai. Seorang gadis lantas membuka pintu dan mempersila aku masuk. Dia menyua aku kerusi duduk. Memperkenal diri sebagai Mages dan meminta aku terus menunggu. Sebentar kemudian dia ke tempatnya mengambil fail. Aku terbongkok di meja bulat tamu. Seorang lelaki lampai tinggi, berkaca mata hitam menambah seri, sedang khusyuk memalu papan kekunci.
Mataku pusing keliling memerhati. Deretan sijil-sijil tersergam di muka dinding. Seorang pembersih pejabat menggilapnya hati-hati. Aku angguk senyum ke arahnya. Lalu serentak itu, dimintanya aku 'angkat kaki'. Aku terkejut. Siapakah dia yang berani menghalau aku dari sini? Aku berfikir ulang kali."Angkat kaki!" katanya lebih tegas bernada tinggi. "Tapi Mages suruh saya tunggu, saya takkan pergi dari sini. Awak siapa nak halau saya?" kataku juga semakin berbunyi tinggi. "Angkat kaki la.......Aci mahu vacum, ada tahu?" Serentak dengan itu, aku terlompat mengalih kaki dan cegat di situ, memerhati Aci membuang duli.
Mages kembali dengan fail ditangan. Sekeping surat dilampir ke arahku. Bunyi vacum membingit gegendang telinga. Langsung tidak aku dengar apa yang Mages kata, cuma bibir atas dan bawah yang aku nampak terlaga-laga. Aku terus saja baca dan meneliti butiran yang ada, yang liar aku cari sudah tentu tangga gaji dan aku terbeliak mata kaji, melihat rezeki yang di beri. Tanpa masa yang dibiar berbaki, aku turuni tandatangan pada kertas putih dokumentasi.
"Mula dua minggu lagi, sementara itu, pergi buat pemeriksaan kesihatan!" Mages memberi arahan. Aku bangun dan meminta diri. Bergerak hilang dari fakus pandang.
Sebelum ke kereta, aku sempat singgah di sebuah Cafe di situ. Duduk di satu sudut sunyi dan memesan secawan teh tarik tinggi. Sambil duduk aku membuang pandang ke arah seorang lelaki yang bersandar di meja depan. Aku seperti pernah kenal dia. Aku seperti pernah ramah mesra. Aku seperti ternganga......dia tiba-tiba sudah duduk di sebelahku. "Ko dapek kojo yo?" katanya, pekat Negeri Sembilan. Serentak itu, aku langsung dapat menangkap. "Diwan..., kartunis Diwan, top sampai Negeri Sudan!" Beliau ketawa berjela, perutnya berlaga ke meja.
"Kojo sekali la kito, aku....dah lamo kek sini....kiro....paling otai la." Katanya sambil membongkok diri dan ketawanya berselang seli.
Setelah menghantarku ke gigi kereta, Diwan beredar. Aku memenuhi isi kereta dan bergerak keluar dari Cyberjaya. Dalam kereta aku bernyanyi sekuat hati. Aku gembira kerana dapat beralih angin walaupun aku sendiri tahu bahawa semua angin adalah sama kecuali baunya yang memberi beza.

Wednesday, September 30, 2009

Episod 16: Briyani Mat Top...ada berani?

Berlegar-legar di sekitar Bandar Baru Bangi, memberi aku kuntum-kuntum tenang yang sudah lama tidak berkumandang. Aku mundar dan mandir membuang tuju. Di sini ada damai dan ada rasa yang tidak menyesakkan dada. Kamera mula membuang fokus menuruni dari bidang dada bergerak melorot ke tapak perut. Dan sang perut pun beraksi , perut berlagu rentak keriut dan aku dihentam rasa lapar yang larut.

Kereta yang menderu laju, aku segan-segankan geraknya. Sementara mata meliar mencari kedai makan. Selera mamak aku dah lama mati...sejak terserempak dengan mamak sama mamak bergurau membunyikan ketiak. Seorang penebar roti dan seorang lagi pembuat air. Prup! Prap! Prup! Prap! Sambil bergelak ketawa.

Hari ini aku mahu menikmati selera Melayu. Lampiran buku resepi Melayu, jatuh satu-satu dalam bayang fikir. Kecur liur mula cair.

Melewati deret kedai dua tingkat dan mataku mati pada satu papan tanda yang berjaya mentafsirkan rasa Melayu pada isi kedainya. Aku mencari parkir...aduh, agak penuh dan memang penuh. Di mana harus aku memberhentikan jentera ini? Ahhh...fikiran kembali menjadi serabut, sedang lagu yang berirama lapar semakin rancak di dalam perut.

"Haa...itu ada satu!" Dan aku meluru masuk ke kotak parkir yang bongsu itu. Membrek dan mematikan enjin lalu keluar sambil terhencut-hencut. "Adeh....kaki aku......, Adeh....kaki aku...." sengaja aku laung kuat dialog tersebut. Meletak kereta di parkir khusus untuk golongan OKU menjadikan aku seorang pelakon segera.

Aku membuang duduk hampir di papan tanda 'Briyani Mat Top' dan selera Melayu bagai tak dapat ditahan-tahan lagi.

"Makan apa Encik?" Tanya pelayan kedai.
"Briyani Mat Top satu....versi ayam aaaa......." kataku sambil menunjal jari ke langit.
"Hidangan dalam proses...sabar menunggu....."sambil dia berlalu ke sebelah dapur.
"Cepat sikit, dik. Don't brake my heart!" kataku bernada gurau.

Masuk ke restoran makanan Johor ni, mengingatkan aku kepada kawan ku, Abong. Dia anak Johor, anak Muar. Rakan animator yang pertama aku kenal dan kekal hingga hari ini. Beliau juga adalah animator pertama yang keluar meninggalkan Encik Kamn dan produksi. Sempat terlibat dalam beberapa episod produksi dan kemudian mengambil langkah berani, keluar dari studio yang menjadi pusat latihan animasi itu.

Aku dapat dengar jelas, betapa dia dikutuk kerana keluar sebegitu cepat. Aku tumpang simpati. Pada mereka, langkah itu sebagai langkah derhaka kepada guru. Langkah pendekar yang masih mentah untuk keluar dari gua gelanggang latihan. Dia disindir, dia dipetir. Namun, tekad dan keyakinan diri tinggi mengiringi langkah keluarnya. Beliau pergi ke satu produksi lain dengan semangat baru untuk maju. Aku mendoakan dan mengalu kata semangat. "Jika kau fikirkan kau boleh....kau boleh melakukan...jika kau fikir ada duit lebih......kau boleh belanja aku makan." kataku macam seloroh tapi bersunggoh.

Satu sejarah, keluarnya seorang animator dari produksi Usop Sontorian, walaupun pasti tidak menjejaskan produksi, namun...dari riak muka Encik Kamn, aku tahu, beliau sangat marah dan sangat kecewa.

Aku membentang akhbar naskhah petang yang berlipat di meja. Ku buka helai demi helai, membaca sepintas lalu. Aku tertarik dengan rencana Perbarisan Tentera Negara China di bahagian tengah akhbar itu. Foto yang disertakan sangat mengumpil rasa kagum aku.

Aku langsung teringat kepada telefon bimbitku. Dengan kemudahan wifi di kedai Mat Top ini, pasti aku dapat melayari internet dan aku ingin sekali membuka laman You Tube untuk menonton video perbarisan itu, jika ada. Ya....itupun jika ada dalam You Tube, jika tidak..aku akan layari laman Tukar Tiub aje la.

Yaa....sekali cari sahaja, bersusunan senarai videonya. Aku pun klik satu-satu dan menontonnya dengan minat yang memenuhi. Aku kagum dengan keseragaman gerak dan seragam pakainya. Pandangan dari sudut mata burung, memberi nampak yang lebih asyik. Seperti papan dam yang bergerak dengan sendiri dalam kelajuan yang sekata. Aku pegun, aku kagum.

Serentak itu, aku terfikir untuk melihat perkara sama dari negaraku sendiri. Aku menaip cariannya dan tahukah anda, apa senarai video yang terpapar menghidang kepadaku? Aku ketawa sendiri kerana yang tersusun dan sedia untuk aku klik adalah...... perbarisan dalam filem Prebet Lapuk lakonan A.R Badul dan Tewel.

Hidangan ku singgah di muka meja. Melayangkan terima kasih kepada pelayan..., selanjutnya aku layan nasi briyani itu bersungguh-sungguh berseorangan. Sungguh menikmati, sungguh rencahnya diadun sebati. Aku sendawa bernada tinggi dan termalu si gadis sunti. Keliling yang sekian lama perati, mentertawakan aku tanpa bunyi.

Telefon bimbitku menari menerima panggilan. Aku menjawap dan satu suara sunti membalas bunyi. Panggilan dari syarikat yang aku hadiri temuduga tempuh hari dan memberitakan khabar gembira, aku di terima... dan boleh mula pada bulan hadapan.

Aku meloncat ke atas meja. Membuka silat dua tiga langkah.....dan ketawa berdekah-dekah. Encik Mat Top, tokey kedai yang sedari tadi terperuk di kaunter bayar, turut melompat dan bersilat. "Kau mahu kasi jahanam kedai aku? tempiknya.

Aku berundur dan gembira rasa aku kendur. Meraba poket dan not kertas aku hulur. Aku tak sabar untuk pulang. Pulang untuk memberi canang kepada isi rumah yang sering mendoakan. Terima kasih Tuhan. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.













Thursday, September 17, 2009

Monday, September 14, 2009

Episod 15: Ramai-ramai kita menari

Hari ini, hujan turun dengan lebat. Aku dipaksa berkurung dalam petak rumah sahaja. Aktivitiku buntu buat seketika. Gelung bosan semakin membelenggu, melingkar rapat di laras tubuhku.

Sesekali membelek akhbar berita yang bersusunan di sudut rumah. Mungkin ada artikel minggu lepas yang tertinggal. Arkib seminggu ini banyak berkisar kepada sekumpulan kecil pemprotes di Indonesia yang memalu gendang perang dengan Malaysia. Media Indonesia memberitakan Tarian Pendet milik Indonesia(?) dicuri Malaysia untuk promosi pelancongan. maka segerombolan kecil rakyatnya bangkit dan mempromosikan pula laungan Sapu Malaysia. Bersenjatakan buluh runcing, mereka membuat sekatan dan hukum rimbapun berjalan.

Akhbar ku sepaikan ke tepi. Aku amat tidak setuju dengan senario ini. Seharusnya mereka yang beruncingan itu, harus meneliti dulu perkara sebenar. Harus rasional dan harus dalam emosi yang kawal. Andai kesabaran & kewarasan menjadi tunjang dalam menilai sesuatu perkara, aku pasti...dengan semangat satu rumpun, banyak perkara boleh dipergerakkan bersama.

Bercakap tentang Indonesia, ahh....Tempat kerja aku di Petaling Jaya, juga ada mengambil pekerja dari Indonesia dan dari Filipina. Aku sebenarnya tidak gitu setuju dalam situasi ini. Sesuatu yang tidak sihat. Sewaktu menemubual Encik Kamn Ismail untuk mengisi ruang Projek Akhir pengajian Ijazahku, beliau ada menyentuh soal ini. Nadanya sungguh kecewa dan aku cuba untuk mengawal supaya beliau tidak terlalu emosi kerana masih, lagi dalam pantang selepas pembedahan pintasan jantung.

Tegasnya, aku melihat senario ini sebagai sesuatu yang tidak sihat. Aku kurang menyetujui dasar ini.Kemasukan tenaga kerja asing ke dalam lingkung animasi tempatan akan memberi kesan jangka panjang yang tidak baik. Ia akan menberi kesan kepada kilatan periuk nasi animator tempatan. Apakah telah kehabisan bakat-bakat dalam negara hingga terpaksa mencari 'mutiara dari Selat Sunda?'

Paling mengejutkan jawatan koordinator projek juga dinyirukan kepada 'mutiara-mutiara luar'.
Jawatan ini tidak mustahil untuk di beri kepada anak tempatan, bukan tiada bakat-bakat yang tidak tergilap. Sesuatu yang aku lihat dipinggirkan adalah satu......kepercayaan.

Ucapan awal CEO studio sewaktu taklimat permulaan projek aku pahat dalam-dalam di benak hati. Kata CEO, kita mahu menaikkan industri animasi tempatan. Kita mahu muncul sebagai studio terbaik. Kita mahu dilabel sebagai studio termahir.

Pada fikirku, kemasukan tenaga asing ini, membunuh industri secara perlahan. Maksudku, dalam jangka panjang, kesinambungan produksi untuk hari-hari terkehadapan akan malap, kerana pada hari ini tangan-tangan asing sudah mencanai di peringkat asas bidang ini yang sedang bergerak perlahan mendaki industri.

"Tujuan saya adalah untuk meramaikan tenaga mahir dalam industri animasi tempatan dan menjadikan studio kita 'the best' dalam Malaysia. Dan aku turut dibawa rasa 'satu' , pada ketika itu. Rasional kata-katanya aku dapat bayang jelas kerana ramai animator dari studio lain menyerbu studio kami. Warung Mak Su menjadi saksi kerana warung ini yang menjadi pelantar wajib kepada calon-calon yang datang temuduga. Layak dipanggil kaunter nombor satu dalam rantai aliran temuduga. Sesekali terdetik juga dicepu fikir, adakah dengan menyambar animator dari studio lain akan merancakkan industri animasi tempatan? Yang berdetik-detik di cepu fikirku adalah sambaran animator dari studio lain akan lebih membunuh industri itu sendiri. Ini penolakan dalam hati, sekadar itu kerana aku hanyalah titik akhir dalam rantaian hiraki kerja yang CEO adalah ibu pertamanya.

Aku yang mengisi studio pada isi asalnya hanya empat-lima orang sahaja, hingga kini terkembang menjadi berorang-orang. Penggandaan ini membuka ingatku kepada kenangan lalu dan...belon imbas kembali membentuk kepul di sudut kiri kepala ini...

...Tenaga produksi Kharisma Pictures semakin hari semakin bertambah. Kalau sebelum ini hanya Encik Lal sebagai pelukis latarbelakang tunggal, jelajah pencarian animator oleh Encik Kamn ke seluruh Semenanjung berjaya membawa pulang seorang lagi bakal pelukis latarbelakang. Mutiara yang dimaksudkan adalah Mohd Zaki dari Pulau Pinang (Pulau Mutiara). Rupa-rupanya beliau adalah adik kepada Kartunis Kid dari Gila-gila. Zaki seorang yang sangat berbakat....berbakat dalam berdakwat dan berbakat dalam mengayat.

Hari itu, Encik Lal berasa bagai telah menjadi seorang bos besar. Zaki diperkenalkan itu dan ini. Terpaksa mendengar mini dokumentari dari seniornya itu. Susunan meja di kiri kananku semakin diisi. Makin ramai masuk duduk. Mustapha Kamal (kini Bob R) , Tulang (kini dah daging bunyinya-gemuk) , Maulud Abdul Manas, Sham, Ayie Ibrahim, Faridzul Narami(Ah Kim), Ahmad Nazri Mahmood(Amed), Atan(kini Belitong), Dil Fitri (kini Lambok) dan semua ini sekadar beberapa nama kerana kadar nama yang tertinggal lebih banyak dari itu.

Bila orang makin ramai, macam -macam kerenah pulak timbul. En. kamn lebih lagi pening kepala untuk mengawal anak buahnya yang kian membiak. Teringat satu hari, En.Kamn menyedari bahawa Soul (kini Rambai) sering lewat masuk ke studio. Untuk mengawalnya, Soul dipindahkan duduk disebelah pintu biliknya. Soul menjadi tertekan tetapi akur dengan perintah. Bermula hari itu Soul menjadi semakin awal orangnya. Tetapi.....hanya bertahan seminggu. En.Kamn memperhambatnya ke tempat duduk asalnya kerana 2 perkara. Satu..., cara dia memadam kertas lukisan menyakitkan hati En. Kamn. Habis bergegar tiang seri biliknya setiap kali Soul memadam lukisan. Caranya ala-ala Mahmud June menari twiss. Keduanya, En. Kamn menyedari yang Soul mencuri-curi dengar perbualan telefon di dalam. Pantang telefon berdering, telinga Soul akan melekap ke muka dinding dan tersenyum sorang-sorang. Yang menjadi kantoinya adalah, sedang dia melekap telinga ke dinding, Kartunis Ujang sedang menuju ke bilik En. Kamn. Soul terus je kata.....saya cari idea ni, abang Ujang. Ujang langsung jawab, meh lekap telinga kau di ketiak aku....sini lagi banyak idea. Katanya sambil mengangkat bawah lengan. Dengan baju yang tidak berlengan, keseksiannya amat mengesankan selera makan.

Aku hanya memerhati....tapi gelakku tersepit dicelah hati......

Friday, September 11, 2009

Episod 14: Pemasak Mi Segera Misteri

..."Dah siap En. Hafiz....!" aku mengangkat tangan setinggi mungkin. Kaki sedikit ketunjit dan postur badan agak seksi dari sudut tepi. "Save dan boleh balik!" katanya ringkas, tengok tidak, pandangpun tidak. "Ya..nanti, apa-apa hal kami call!" Normi yang sedari tadi menatang skrin komputernya, bertentangan dengan ku, memberi tambah. Selari waktu itu, bingkas bangun dan mengiringiku menuju pintu keluar. Berjalan beiringannya mengimbau bau-bau nostalgik kenangan lalu. Aku melepasi bilik yang penghawa dinginnya masih kekal eksyen selepas diservis, dan kami beriring semakin rapat ke muka pintu.

"Tunggu kami call" katanya ringkas, melambai babai tidak, mengenyit matapun tidak. Dan aku berlalu menuju ke kereta. Sesi temuduga dan menjalani ujian animasi dalam rakaman umur yang agak meninggi mungkin satu langkah ku yang terkebelakang. Ahh...aku tak mahu fikir lagi....yang pasti aku sudah selesai menjalani satu azab panjang. Aku sedar....aku habiskan banyak masa di sini sebentar tadi, temuduga agak lama....kerana bercerita pengalaman yang berepisod, ujian agak lama kerana sambil-sambil bercerita dengan beberapa orang yang ada di situ, yang ikut menyibuk.

Menghampiri kereta dan aku rasa bagai nak karate bahu jalan. Tayar kereta pancit…. Aku yang sebenarnya sudah hilang separuh tenaga memerah kekuatan waktu di temuduga, berasa bergoyang di pinggir parkir itu. Aku toleh kiri kanan, tiada walau seorang insan.

Berbaki kekuatan diri yang separuh, aku gagahi membuka bonet belakang kereta. Mengeluarkan jek kereta dan memusingnya untuk membolehkan kereta terangkat. Setelah kereta yang ku angkat berada pada posisi agak tinggi. Aku mula membuka butang skru tayar. Bila dipusing skru tersebut, tayar ikut berpusing. Jahanam!, aku menjerit dalam hati.

“Sebelum jek kereta, longgar dulu skru tu…..” Satu suara misteri, mengecat dinding gegendang telingaku. Aku angkat muka, angkat punggung dan berdiri mendepaninya. “Meh aku tolong, turunkan jek kereta tu…”arahnya ringkas seringkas pakaiannya.

Dan aku segera teringat, beliau ini salah seorang mamat di dalam studio tadi. Ya…aku baru perasan. “Encik ni……???.” Sapa aku sambil menghulur tangan salam. “Zam….Zam Rejab!” jawabnya ringkas, juga sambil menghulur salam. Kami bersalaman, tapi aku sebenarnya mengengam spanar tayar bukannya tangan mamat itu. Patutlah kasar menggerutu rasanya tadi.

Bonet kereta aku hentam kuat dan menepuk-nepuk tangan membuang habuk. “Terima kasih….” Aku membudi bahasakan diri kepada Zam. Zam angguk ringkas, seringkas pakaiannya. Membelakangiku dan berlalu pergi. “ Ada rezeki kita jumpa……!” pekikku seorang. Zam sudahpun hilang dari fokus pandangan. Datang secara tiba-tiba dan hilang secara tiba-tiba. NAMUN……(Joe Flizow,2009) aku sangat hargai khidmat sukarela mamat Zam Rejab tadi.

Ingatan ku kembali ke zaman Kharisma Pictures. Waktu itu, aku juga sering mendepani situasi begini. Situasi di mana…. sedang kita susah, ada insan hati mulia memberi jengah.

…Di tingkat 15, Plaza Pangkalan itu, kerja-kerja animasi sedang berjalan dengan rancak. Jam menghampiri pukul 4 petang. Semua animator sudahpun mula angkat-angkat kepala memanjangkan tengkuk. “ Mana Kak Gi ni?” bisik Jau yang duduk di sebelah ku. Aku pula menyapa Abong,” Nampak Kak Gi?”Abong pula menyuit bahu Soul (kini Rambai) “Kak Gi….mana? Soul pula menjelir ke Ameir, “Yenna…Kak Gi?” Ameir mendonggak ke arah Ariyon (kini Tembakau), Awok nampok Kak Giey? Dan Ariyon pula menyergah ke telinga Sherina (kini bini aku), “Hoi…kau Nampak Kak Gi ke tidak?” dan Sherina mengakhiri rantaian tanya Kak Gi itu bila ternampak seorang wanita separuh umur masuk dan mengagahi kudrat menolak troli menghala ke arah kami. Melintasi seorang demi seorang, Kak Gi mengedarkan mug berisi teh minum petang. Jijie dan Noman yang duduk di meja paling belakang sudah membilang-bilang, takut-takut teh untuknya akan kehabisan.

Begitu suasana petang Produksi Usop Sontorian. Kami akan bersantai sekejap sambil memperkena teh Kak Gi. Sambil itu borak kosong pecah suasana. Ada hilai tawa, ada gurau senda, ada yang sendawa. Ada tepuk tampar, ada tepuk bedak, ada juga yang membunyikan ketiak.

Bila suasana sudah hingar mengalahkan tapak ekspo, En. Kamn yang diam di biliknya akan keluar menyergah,” Dah macam pasau….semua dah besau…tak kan itu pun aku nak kabau……” dengan bunyi Melakanya yang masih pekat, beliau akan menelusuri lorong tengah di studio itu yang kiri kanannya terdapat meja-meja animator. Sambil itu matanya liar melihat animasi yang sedang dikerjakan oleh anak-anak didiknya. Pantang nampak yang gerak, pasti En. Kamn akan singgah di meja dan duduk untuk memeriksa. Alamat kecut kerandut la, bagi siapa yang animasinya disemak oleh En. Kamn. Dengan suaranya yang garau bergema, satu studio akan terdengar komen-komen bercili darinya, NAMUN…(Joe Flizow,2009) itu adalah cara beliau memberi didikan kepada kami, anak-anak buahnya ini.

Waktu itu, hampir tiada langsung institute yang mengajar animasi secara serius. Tidak ada…, kecuali syarikat-syarikat animasi sendiri yang memberi latihan kepada bakal-bakal animator. Walaupun kami menjalankan produksi animasi, NAMUN….kami bukanlah produksi animasi terawal dalam negara, kerana waktu itu telahpun ada produksi animasi dari Lensa Film yang menjalankan animasi untuk negara Jepun. Tenaga pengajarnya diturunkan dari Jepun untuk melatih animator tempatan dan tidak hairan, animator-animator yang mendapat didikan dari pakar Jepun itu muncul sebagai jaguh animasi pada hari ini. Salah seorangnya adalah sdr. Mohd. Ismail (Mike) yang dikatakan animator 2D terbaik dalam negara yang kini berjawatan Pengarah Animasi di Vision Animation, Petaling Jaya.

Jawapan kenapa Kak Gi lambat menghantar teh petang kepada kami pecah kecoh. Di pantry sebentar tadi berlaku penemuan baru yang membongkar rahsia sudut gelap waktu malam kami, para animator di sini. Sewaktu setiausaha kepada Pak Lum (Boss besar) membuat air untuk Bossnya, beliau menemui sisa mi segera dalam cerek air panas. Gendang perang segera di palu pihak pengurusan ke arah kami di unit produksi. En. Kamn cuba mempertahankan kami dengan mengatakan, mungkin “pemasak mi segera dalam cerek” ini terlupa untuk membersihkannya jadi maafkan saja, perang boleh tamat. Gendang perang tidak mahu kunjung berhenti, tidak mahu kalah, tidak mahu berpaling tadah. “Pemasak mi segera dalam cerek” itu diburu hingga ke lubang penghawa dingin.

…Aku menguatkan penghawa dingin kereta, lenguh dan peluh episod tayar pancit tadi masih lagi berbaki-baki. Kereta makin kuderu pergi laju. Aku ingin sampai cepat ke rumah. Aku nak rehat, aku nak lepas lelah. Masuk ke garaj dan menarik brek tangan kereta. Keretaku diam di situ, aku keluar dan mengetuk pintu. Bila pintu terkuak, suara kedua-dua anak ku sedang berdoa, mohon aku dimurahkan rezeki mendapat kerja yang ku pohon tadi. Ya… doaku juga senada, aku kasihan melihat mereka yang sering aku tinggalkan untuk urusan kerja hingga aku terlepas detik-detik usia mereka yang pasti tidak akan berulang pada hari-hari terkehadapan. Tuhanku……kau kabulkanlah…..amin.

Monday, September 07, 2009

Episod 13: Di serap dalam Produksi Usop Sontorian.

Aku melangkah keluar dari bilik kaca yang penyaman udaranya sedang dalam baki-baki eksyen kerana baru diservis. Di luar, meja kerja bersusun rapi dan Hafiz sudahpun sedia mempelawa aku duduk di satu stesen kerja yang kosong untuk ujian animasi. Melabuh punggung di kerusi dan menyandar sambil membuang debar. Tersua di depanku, sehelai kertas A4 dengan isi taip yang hanya 2 baris. Baris 1, Anda dikehendaki melukis watak berjalan. Baris 2, anda dikehendaki melukis ilustrasi 4 watak berbeza.

Aku mencapai mause untuk mula menjalankan ujian animasiku. Di belakangku, Hafiz sudah berenjut-enjut bahunya dan tak lama selepas itu ketawanya terburai.....kejap berbunyi, diw...diw...diw....diwan, kejap bunyi ai...ai...ai....ayop, kejap bunyi cek...cek..cek...cek we.

"Di sini..atau dengan bahasa yang lebih sopan, 'zaman ini' animator buat animasi guna Tablet Pen, tak guna mouse lagi." Hafiz melontar sindir yang melekat tepat dibenakku. Serentak itu beliau menolak ke arahku sepuntung Tablet Pen bewarna putih. "Guna 'mouse' zaman moden ini" sambungnya lagi. Tawanya masih berbaki....poj...poj..poj....poji, bunyinya lagi, buw....buw..buw....buwan, bunyinya makin menjadi.

Tanpa membuang masa, aku bersilat dengan tablet pen itu dan mencanai garis-garis vektor di kaca monitor. Ianya bukan begitu susah bagiku kerana di studio-studio animasi yang aku sertai sebelum inipun, benda-benda ini juga yang aku kerjakan. Cuma teknologi sudah berubah, aku juga harus sedia masuk ke lingkung teknologi tersebut untuk merasai alir kemajuannya.

Mujur..... pengalaman lalu begitu membantu, sangat-sangat membantu. Aku hanya perlu mengimbas semula kenangan-kenangan lalu dan serentak itu, tangan kiriku rancak menarikan garis menjadi bentuk dan bentuk menjadi pose dan pose menjadi gerak-gerak animasi. Fikiran ku melayang. Berkitaran ke masa-masa lampau...

...Setelah
melalui proses latihan yang penuh pahit manis, aku dan sebarisan kawan-kawan akhirnya diserap masuk ke produksi Usop Sontorian. Pagi itu, rasa aku bercampur-campur, jiwa aku bersimpang siur dan nadi bergerak kian tidak teratur. Diberitakan oleh En. Kamn, kami pada pagi itu akan diberi helaian Storyboard maka secara rasmi kami akan terlibat dengan produksi bersejarah dunia penyiaran, siri animasi TV pertama di Malaysia. Setelah 3 episod awal Usop Sontorian mengerah darah keringat 7 animator yang senior itu, kami menjadi mangsa-mangsa baru yang terjebak ke dalam jerat produksi bermula dengan Episod ke 4. Hah..hah..aku berkata begitu kerana sesungguhnya kerja ini memerlukan rasa korban dan rela dikudakan demi untuk menyiapkannya.

Namun, rasa bangga berjaya juga menyaluti benak sanubari sepanjang membongkok diri sewaktu membuat kerja animasi. Aku bangga sebenarnya, walau ada bibir-bibir tebal yang tak putus-putus memberi bebel. Kata mereka, animasi kami melanggar kaedah pembikinan animasi yang tradisi, animasi kami huduh wataknya, dan animasi kami membunuh keindahan bahasa.
Aku tidak ambil fikir jauh-jauh perkara itu. Biar ia berlalu, yang pasti aku perlu teguh diri untuk membentuk tugu berjaya dalam bidang ini.

Bekerja hingga ke malam dan adakala mencium bau pagi sudah menjadi biasa bagi animator seperti kami. Meja kerja kami yang sekangkang kepit budak tadika menjadi bagai bilik bujang masing-masing. Di kala produksi menuntut korban masa tidur di tilam empuk dalam rumah, kami akan beramai-ramai mengadakan acara tidur terbuka di dalam studio.
Setelah berhempas pulas, bekerja di siang hari dan hanya sesekali turun untuk makan dengan suap yang terhad, maka bila malam menjelma datang, bertebaranlah badan-badan yang telah penat bekerja. Ada yang tidur di bawah meja, ada yang tidur di atas kerusi yang dikembarkan tiga, yang bernasib baik dapat tidur di sofa tamu di sudut depan. Pada yang tegar, ada yang sanggup tidur duduk di kerusi kerja dan yang lebih tegar kadar dengarnya, akan tidur di sebelah mesin fotostat. Pada aku, orang yang boleh lena di pinggir mesin fotostat adalah manusia yang cekal mutlak atau lain katanya manusia yang kekal pekak. Ini kerana mesin fotostat pejabat tetap digunakan oleh animator walaupun hingga ke tengah malam. Mereka membuat salinan fotostat lukisan Storyboard, lukisan watak dan tak kurang juga menyalin buku animasi yang berpeha-peha tebalnya.

Maka pagi esoknya, Lee Hun, pengurus bahagian pentadbiran akan memekik," Haiya!!! Kertas A4 habis lagi ka? Makan kertas ka? Buat roket ka? Buat gulung undi main kutu ka? Bisingnya akan bersambungan selama seminggu.

Bila pagi datang, rebut merebut bilik mandi menjadi ketawa Sang Mentari Pagi. Kami mandi di tandas yang dikongsi bersama oleh penyewa-penyewa lain. Pernah sekali, sedang salah seorang dari kami mandi, air mandiannya tersimbah lencun ke badan salah seorang pekerja syarikat lain yang masuk ke tandas yang sama. Basah kuyup persalinan pejabatnya pagi itu, tambah buat beliau marah adalah, beliau ada satu pembentangan kertas kerja penting kepada klien beberapa jam lagi. Apa jadi padanya tak pula aku telusuri secara lanjut. Tapi aku terbayang beliau membentangkan kertas kerjanya dengan bertuala mandi sahaja. Kah..kah..kah.....


Rupa-rupanya peristiwa itu tidak mati di situ saja, perkara itu dipanjangkan ke pihak pengurusan dan kami kian dipandang sendeng oleh pihak pentadbiran.
Pagi itu....kami dikumpul untuk mendengar ceramah. Diceramah bagai budak kecil yang tertumpahkan air ke permaidani Udani Carpet(Kami juga buka pada hari ahad).

Wednesday, August 19, 2009

Episod 12 : Resume Yang 'Brek Tak Makan'

"Cukup-cukup!" Pegawai wanita itu menunjuk tapak tangannya ke arah aku. Aku terlongo, aku dapat merasakan bibir mulut ku membulat dalam radius yang stabil.

"Tapi.....saya baru nak cerita bagaimana saya mula masuk produksi Usop Sontorian." Beliau mengisyaratkan tanda berhenti, sambil matanya menjeling ke arah lelaki yang duduk di sebelahku. Aku dapat mengagak, andai aku terus-menerus menyambung ceritaku, aku pasti lelaki tersebut pasti menekup mulutku. Posture duduknya yang sambil qiam dan tangan kiri menepuk-nepuk tangan kanan berulang-ulang kali seperti memberi amaran. Dan aku faham, aku sedar dan aku tahu. Aku siapa dan mereka siapa. Aku hanya insan kecil yang terperangkap dalam bilik kaca ini yang penyaman udaranya, sedang eksyen kerana baru diservis.

"Saya suruh awak cerita serba sedikit, pengalaman awak yang dulu. Saya tak suruh awak cerita rentetan demi rentetan. Ini temuduga bukan dokumentari." Pegawai wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Normi itu memberi hujahan.

"Ko pulak pegi cerita dari episod 1 sampai episod 11. Separuh hari aku habih, mengadap kau kat sini."Lelaki itu menambah. Tangan masih qiam di perut, gaya tersendiri atau sengaja mahu menutup ke'Azroy'annya, tidak pulak aku pasti.

"Aku pegi set komputer untuk animation test kat luar" Lelaki itu menjuih bibir ke kiri menghala ke jalan keluar dan berlalu sambil di bibirnya menyanyikan bait-bait lirik lagu kumpulan Search. Lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur, aku meneka di dalam hati sekadar menguji 'Otai Rock' dalam diri aku.

Normi mengangguk sambil membetulkan tudungnya yang tidak pun senget. Aku masih keras di situ. Lelaki tadi diperkenalkan kepada ku sebagai Hafiz. Ini kali pertama aku berjumpa Hafiz tapi bukan dalam suasana Blind Date, ini suasana temuduga. Yaa...temuduga. Hari ini aku ditemuduga lagi. Entah yang ke berapa kali sepanjang hidup aku. Hari ini aku temuduga di sebuah syarikat animasi di Cyberjaya.

Semua ini bermula dengan satu panggilan dari bekas pelajarku. Di suatu malam yang hampir pagi, salah seorang bekas pelajarku menelefon. Aku tidak kehairanan kerana ramai bekas pelajarku yang sering telefon bertanya khabar dan memberi khabar. Sebaliknya beliau pula yang kehairanan kerana pada waktu malam yang hampir mencium pagi itu, aku masih dalam perjalanan untuk ke studio animasi Vision Animation di Petaling Jaya. Beliau terkejut dan bunyi nafas kasihan dapat aku rasakan lewat corong talian telefon tersebut. Berbual sedikit-sedikit dan banyak membuat lawak, menjadi makjun yang mengubat resah hatiku yang sememangnya tidak rela untuk ke studio pada malam itu.

Aku sebenarnya sudahpun balik ke rumah pada sebelah petang tetapi terpaksa kembali semula ke studio pada malamnya untuk menyiapkan kerja yang tak pernah pulak kunjung siap. Sebaris alamat emel dihantar kepadaku melalui SMS dan sedar tak sedar aku sudahpun berada di perkarangan warung Mak Su berhampiran studio di Petaling Jaya.

Naik dan terus menjalankan kerja-kerja rutin. Menggagahkan semangat yang tercicir sepanjang perjalanan bermotorsikal dari Semenyih ke Petaling Jaya. Mujur dan aku bertuah kerana mempunyai anak-anak buah yang sangat menghormati aku. Pekerja di bawah seliaanku masih tegak memberi khidmat. Walaupun di tengah malam, masih gigih menjalankan perintahku. Sedangkan jika diikutkan aturan perundangan, mereka boleh saja terus pulang atau tidak mempeduli langsung tentang arahan kerja dariku.

Aku menyentuh beberapa kerja yang termampu dan setelah waktu hampir pagi dan anak-anak buahku seorang demi seorang, terbaring tewas dalam dengkuran yang panjang, aku menyambar beg tidur yang tergulung rapi di bawah meja. Menebarnya dan membungkus diri lalu bengkok di bawah meja. Diam dan sesekali diselangi dengkur-dengkur manja.

Handphone yang telah di set ke pukul 6.00 pagi memekik bunyi. Kring!!!!! Kring!!!!. Bunyi itu menyentap buai-mimpi yang baru memasuki episod pengenalan itu. Aku terjaga dan terus bangun. Tidur di pejabat tidak boleh disamakan dengan tidur di rumah. Aku lantas bangun dan masuk ke bilik air membersih diri. Azan dari laung Muazin Masjid Bulat sayup-sayup di kejauhan. Aku membasahi wuduk dan berdiri di petak sejadah.

Kembali mencapai kunci motorsikal dan berlalu pergi meninggalkan studio untuk pulang ke rumah. Di dalam kepala, aku menala jadual hari ini, yaa....aku harus kembali ke studio sebelum jam 9.00 pagi. Enjin motor menderu, aku sempat mengangkat babai kepada Pak Su (Pengawal keselamatan) yang sedang mamai membuka kunci pintu pagar."Iyo..iyo...." katanya dalam bunyi Kelantan yang pekat.

Sampai di rumah, aku terus menghantar surat permohonan kerja dan kutujukan ke alamat emel yang diberi oleh bekas pelajar ku malam tadi. Butang Sent ditekan dan serentak itu aku juga turut menekan suis tidur. Tidur kembali dan lena di perkarangan PC.

Saturday, August 15, 2009

Episod 11: Animasi Berkomputer dan kesannya

"Hari ni En Kamn tak masuk opis!" kata-kata Arah, setiausaha En.Kamn itu mematikan niat ku untuk mohon bercuti. Menurut kata Arah, En Kamn ke Negeri Sembilan dan kemudian akan ke negeri-negeri lain untuk mencari animator lagi.

Ya, begitulah sejarah terkumpulnya animator Usop Sontorian. Bermula dengan 7 orang sebagai pemula, kemudian peringkat kedua di mana beberapa orang yang datang (termasuk aku) melalui temuduga terbuka yang diiklankan di akhbar Metro dan peringkat ketiga iaitu pemergian En Kamn dan Sdr. Ujang ke seluruh negeri di Semenanjung untuk menemuduga animator.

Maka, keluarga kami bertambah ramai, walaupun tidak ramai dari negeri-negeri tersebut yang En. Kamn dapat sauk untuk bawa pulang ke Kuala Lumpur. Satu di Pulau Pinang, satu di Kelantan, satu di Terengganu. En Kamn pernah mengeluh, betapa susahnya untuk mencari animator. Dan beliau sangat marah kalau-kalau ada animatornya yang pergi beralih arah. Tapi marahnya segera turun bila kami mengatakan, kami hanya suka ke meja Arah, setiausahanya.

Setelah berbulan-bulan dilatih membuat animasi manual, akhirnya kami berpeluang untuk beralih ke animasi berkomputer. Sebelum ini, berbulan-bulan kami hanya terlongo dengan air liur yang berantaian melihat 7 animator senior membuat animasi menggunakan komputer. En. Kamn telah memberi amaran awal, kami tidak sekali-kali dibenarkan untuk menyentuh komputer tersebut, bertanya tak boleh, mendekat pun tidak dibenarkan. Aku tidak memahami, walaupun bersungguh-sungguh aku mengkaji apakah metaforanya larangan tersebut.

Bermula hari itu, aku dan kawan-kawan diperkenalkan dengan perisian baru yang sangat banyak membantu dalam proses animasi. Perisian yang dinamakan sebagai Animator Pro. Yaa...sebuah perisian animasi yang tidak popular pada hari ini. Ianya menjadi perisian ayng sangat membantu animator pada tahun-tahun itu. Kami dapat melukis, mewarna, membuat latarbelakang dan membuat gerakan mulut watak dengan begitu cepat. Kami dilatih melukis menggunakan Mouse kerana teknologi Pen Digital yang popular pada hari ini tidak kedapatan pada waktu itu. Tempoh-tempoh sukar menguliti garis-garis Mouse, dilalui dengan sabar yang kekal. Paling terkesan ialah sakit di bahu. Hampir semua orang terasa perit di bahagian bahu. Mungkin otot bahu dalam jeda yang meminta ampun.

Berbagai peristiwa yang berlaku sepanjang latihan animasi berkomputer itu. Ada yang suka, ada yang duka, ada yang lucu, ada yang lucah.

Yang sukanya adalah, kami dapat bertukar-tukar Scene yang telah di animate. Contohnya animator Nuar sudah lukis watak Singh berjalan, maka animator Jau akan copy aje dan masukkan watak Singh berjalan itu ke dalam scenenya. Animator Jijie pula, sudahpun membuat animasi watak Kak Kiah duduk, maka animator Jau akan copy aje dan letak dalam Ssene dia. Lama kelamaan ramai yang perasan, aik, asyik copy aje........?

Yang dukanya pula bilamana sedang kita leka membuat animasi, ada mamat yang dengan tidak sengaja terpijak wayar elektrik, maka PC pun teroff dan scene dah tentu hilang sama. Boleh pulak dia berlalu begitu saja tanpa sebarang rasa.

Yang lucahnya pulak, ada beberapa animator yang suka melayan gambar tak senonoh pada skrin komputer mereka. Ada satu peristiwa di mana, sewaktu animator itu sedang asyik tanpa kelip mata itu, En Kamn pulak secara kebetulan sedang membuat rondaan mengejut. Sewaktu En Kamn melewati hampir ke mejanya, animator tersebut masih leka. Kawan-kawan sudah puas memberi isyarat, ada yang bersiul-siul, ada yang membunyikan padat ketiak, ada yang membaling tong sampah ke arahnya, namun masih tidak disedarinya. Terus menerus leka dengan kesan cahaya warna kulit manusia barat terbias di mukanya. Sehinggalah En Kamn betul-betul berada di belakangnya, dan waktu itu, barulah beliau sedar. Apalagi, terkejut Beruang Kutub la kawan tu, lalu dengan ketandusan idea untuk beralasan, terus saja beliau menekap skrin komputer dengan punggungnya sambil tangannya didepangkan. En. Kamn yang kehairanan bertanya "Apahal kau ni? Gaya macam patung orang-orang kat sawah padi je?" Lalu animator itu menjawab "Tak de apa-apa En. Kamn. Saya tengah cuci skrin monitor ni. Habuk tak ingat....!"

En kamn berlalu pergi sambil mempamerkan cuak di muka. Animator tadi semakin laju melenggang buntut, mencuci permukaan skrin sambil muka termalu-malu Ulat Gonggok. Bila tiba waktu rehat, cerita peristiwa kantoi itu menjadi topik utama perbualan. Hilai ketawa berpanjangan dengan tokok tambah yang bersahut-sahut. Sedang animator tadi, terpaksa makan sambil berdiri kerana punggungnya kebas terkena kesan rembesan radiasi.





Tuesday, August 11, 2009

Episod 10 : Keluar Dalam Kehinaan

Sehari-hari kami dari hari isnin hingga jumaat, hanyalah menguliti kertas A4 sehelai demi sehelai. Kami, para animator pelatih, dikehendaki melukis pelbagai watak dan aksi pergerakan dari sesenang-senang pergerakan hingga ke yang susah-susah. Pergerakan animasi yang paling susah aku tempuhi adalah melukis seekor ayam berjalan melintas dari frame kiri ke frame kanan.

Oleh kerana langkah kakinya yang kecil, untuk seekor ayam itu menyeberangi frame kiri ke kanan memerlukan lebih dari seratus lukisan. Itu belum dicampur dengan Secondary Action yang memberi maksud, pergerakan selain dari gerak utama badannya. Contoh paling jelas adalah gerak-gerak bulu ayam. Gerak bulu ayam tak boleh sama dengan gerak badannya. Jika ayam berhenti bergerak, bulu-bulunya akan berkeadaan masih bergerak dan berhenti bergerak pada sela masa yang lebih lambat.

Akupun melayan animasi ayamku dengan penuh tekun. Pagi menjelang petang, hari ini menjelang hari esok dan membawak ke lusa. Akhirnya aku berjaya menamatkan animasi ayam itu pada hari ketiga. Belakangku terasa bagai kekal bongkok dan sengalnya terasa membenam ke isi tulang. Aku mengemaskini helaian lukisan yang beratus jumlahnya itu, menomborkan secara berturut dengan nombot 1 di belakang hingga ke nombor tertinggi di sebelah paling atas. Aku mengepilkannya ke dalam sebuah fail yang digelar oleh kami sebagai "Catecomp"(bunyikan dengan Ketekom). Lantas menyerahkannya kepada Animator Senior untuk diperiksa.
Maha suci Tuhan, tiada siapa yang tidak berderau darahnya sewaktu melalui ruang masa ini. Ia ibarat seseorang yang berdirii di kandang tertuduh, ketar lutut tak dapat ditahan-tahan.

Rakan-rakan lain juga turut menghantar animasi masing-masing dengan berani-berani Badul. Kertas lukisan pula boleh dikatakan hampir semuanya bertukar rupa menjadi keromot. Ada yang rupa belacan, ada yang rupa meggi kari dan ada yang rupa sanggul Mak Enon. Aku pula....ya...kertas aku paling unik. Unik kerana, sebenarnya aku ini jenis tangan berpeluh, sudahnya habih bergulung-gulung kertas lukisan aku jadinya. Bukan aku tak mencuba untuk meluruskannya kembali tetapi sudah puas aku ikhtiar. Aku pernah mencuba menggunakan kawanku, Bob Mustapha Kamal sebagai penindih, namun tidak membuahkan hasil. Rugi duit aje kena belanja makan KFC (order Barrel pulak tu.) Kertas lukisan aku kembali bergulung sedang perut Bob Mustapha Kamal bertambah bergulung ototnya.

Beraneka macam hasil animasi yang dapat dilihat. Ada yang rajin, animasinya menjadi smooth dan seronok untuk dilihat. Animasi yang baik ini terhasil dari kepekaan animator pelatih mengimplementasikan prinsip-prinsip animasi yang baru diajar oleh En. Kamn.

13 prinsip animasi:-
  1. Stretch & Squash
  2. Anticipation
  3. Staging
  4. Straight Ahead & Pose to Pose
  5. Follow Through & overlapping Action
  6. Slow-in & Slow-out
  7. Secondary Action
  8. Timing
  9. Arc
  10. Exeggeration
  11. Solid Drawing
  12. Appeal
Dalam pada keseronokan menikmati animasi yang baik tadi, ada pulak seorang animator pelatih yang telah membuat onar, menukar mode ceria tadi kepada mode cilake. Kesemua Animator Senior bertukar menjadi Panglima Gaban bila melihat hasil karya yang satu ini. Pelatih tersebut menghasilkan animasi mudah dengan melukis sebuah Hidung sebagai watak heronya. Animasinya adalah pergerakan sebuah hidung. Maknanya beliau hanya melukis menggunakan 2 helai kertas A4, sehelai untuk lukisan lubang hidung tertutup dan sehelai lagi untuk lukisan lubang hidung terbuka. Hanya 2 helai itu sahaja yang diusahakan selama isnin hingga jumaat. Jurulatih mana yang masih boleh menahan yoganya. Apa lagi, melayanglah 2 helai kertas itu jauh ke luar tingkap dan berulek mayang menurun ke dasar Plaza Pangkalan.

En. Michael mengambil animasi yang aku hasilkan. Memerhati dengan penuh cermat mem'flip' dengan penuh senyap. Aku kekal berdiri mendepaninya, lutut sudahpun mula membunyikan laga. Peluh dah mula merenik. Aku semakin gopoh diulit gigil bilamana melihat mukanya yang putih bertransformasi ke tona merah. Aku telahpun sedia dengan jurus Panglima Papan. Andai kertas lukisan ku turut dilontar keluar tingkap, aku dengan tanpa malu-malu Param, akan turut terjun menyertai kertas-kertas ku itu. Bukan sikit korban yang aku iringkan sewaktu menghasilkan animasi ini, aku korbankan masa makanku, aku korbankan masa Datingku, aku korbankan masa Hindustanku(tak dapt tengok filem Qurbani).

Namun akhirnya, penyudah yang tak aku sangka sama sekali. Aku kira ,pasti sekarung hamun dan seberkas kata-kata lucah akan aku terima, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. En. Michael ketawa terbahak-bahak hingga pecah jerawat batunya. Nasib baik aku sempat mengelak sumpitan beracunnya lalu mengenai muka kawanku, Ben dan kesan dari mutasi tak disengajakan itu, kawanku Ben ini menjadi blur-blur Selipar Jepun di sepanjang hidupnya.

En Michael menerangkan kepadaku, untuk animasi watak berjalan, hanya memerlukan 8 lukisan sahaja. Yang selebihnya, lapan lukisan tadi akan diulang-ulangkan. Tak perlu aku bersusah payah melukis sampai beratus helai kertas. Beliau kagum memuji ketekunanku menghabiskan begitu banyak masa untuk animasi yang sepatutnya boleh diguna semula. Dan aku lebih kagum kerana beliau tidak beritahu sewaktu aku sedang menghasilkan animasi itu, hanya diberitahu selepas ianya telah siap. Aku kagum, kagum sungguh-sungguh. Beliau menambah, "Aku tak tahu macamana kau boleh lukis sampai 188 helai lukisan, kalau aku...dah tentu naik atas meja dalam keadaan bogel sambil jari telunjuk semutar-mutar spender selaju mungkin. Dengan harapan, Management akan buang aku kerja. Tak boleh tahan woo...!!!" Katanya sambil ikut menggayakan aksi hilang selera makan itu. Aku sendiri menyepit sedikit senyum dalam mual yang tersembunyi.

Rakan-rakanku yang lainnya, Ameir, Nuar, Soul (kini Rambai) Jijie (kini Tokey Ayam), Ben(kini hilang entah ke mana), Jau (dulu, kini dan selamanya menyinsing lengan) Abong (kini pakai Honda City) Noman (kini di Beranang) dan ramai lagi (kini merata-rata), masing-masing menyumbang ketawa yang berpecah-pecah. Aku mengungkit bahu sambil merunduk dagu, cuba sembunyi dari rasa malu.

Tiba-tiba, jeritan dari salah seorang Animator Senior, memecah harmoni suasana."KALAU MACAM NI HASIL ART KORANG, LUKISAN KORANG NI LAYAK DUDUK DI BAWAH TAPAK KAKI AKU AJE!!!" Kami semua tergamam, ternganga dan terdiam. Kata-kata itu bukan setakat memecah harmoni tetapi memecah tembok harapan, memecah pesona impian dan memecah rona-rona semangat yang baru saja kami kumpul bukukan. Semangat yang tinggal baki-baki, hancur luruh, berderai luluh bila melihatkan lukisan kami habis bertompokan bunga tapak kasut.

Masing-masing merelakan air mata beralur turun. Luruh ke pipi, basah ke baju. Tidak aku sangka sebegini hebat kami diduga, sebegini dasyat kami dihina sebegini tenat kami dicerca. Dan dengan keluh kesah yang membungakan daun-daun kecewa, kami melangkah pulang dengan masa depan yang gelap gelita. Tepu dan beku. Masing-masing senyap, diam, membisu. Memujuk-mujuk kembali baki-baki semangat. Dalam sunyi itu, hanya Jau yang masih gagah untuk bersiul. Bersiul lagu Semangat Yang Hilang, XPDC.

Wednesday, July 22, 2009

Episod 9:Sarapan Pagi Yang Asyik

Hari baru datang...aku dengan semangat baru, awal-awal lagi dah berdiri dalam bas mini yang bergerak bagai nak tercabut isi enjin. Menarik tentang bas mini adalah, dengan tambangnya yang 50 sen membawa anda jauh melalui trek laluannya, selagi kaki belum cecah ke jalan. Atas sebab itu, sesiapa yang berdiri di tangga, akan kekal di situ walaupun Makcik Gemok tengah terkial-kial nak turun. Nostalgia Bas Mini...lantas membawa ingat kapada kartun kartunis Maizam (kini Bijan) dengan kartun Bas Mini 222nya.

Masuk ke pejabat. Aku menandantangani buku kedatangan. Ya....sistem rekod kerja yang cara lama lah.....Dan dah menjadi rutin, sebaik selesai mengisi buku panjang itu, aku akan turun untuk mengisi perut. Nah, di bawah, kawan-kawan dah ketawa-ketawa, memecah sunyi pagi. Aku terus mengangkang di kerusi plastik merah, menyertai ketawa kawan-kawan.

Pagi itu, macam-macam cerita yang kami kongsi, bermula dengan Ameir membawa topik ke'best'annya menjadi anak Felda, kemudian Jau dengan ulasan lirik lagu kumpulan XPDC pujaannya. Jijie menyebut tentang, pemandu Bas Selangor Omnibus yang selalu memasang radio Tamil secara luar sedar. Shamsul Ikram (kini Rambai) dengan topik Batmannya, pernah dia kata Batman tu Pak Cik dia, padahal bila disiasat, rupa-rupanya Pak Cik dia Fat man, seorang yang ada masalah obesiti.

Dan aku sendiri....biasanya menjadi pendengar yang setia. Walaupun kadang-kadang tak setia bila mencuri dengar, topik-topik dari meja sebelah.

Selesai minum pagi tu, kami terus bergerak untuk naik ke atas semula. Tiba-tiba, tuan punya gerai sudah memekik,"Apa? ingat warong ni bapak kau yang punya ke?

Aku dan kawan-kawan dah mula singsing lengan kecuali Jau yang bajunya memang sentiasa bersingsing di lengan. "Dey mamak! Ujang setel semua la..." pekik Jijie. Dia berkata begitu kerana memang dah menjadi kebiasaan, Kartunis Ujang (kini Ujang jugak) akan belanja semua staff yang makan di situ. Tapi hari ini, dia tak turun bersarapan bersama, maknanya tak adalah makan percuma pagi ini. Patut la mamak tu dah mula angkat kain melepasi lutut. Jika angkatannya lebih tinggi, mungkin selera makan tengahari kami semua berkecai di situ saja. Pagi ini sarapan kami, kami bayar sendiri. Aku membayar harga makanan dengan kekok yang nyata.

Masuk ke pejabat, Encik Kamn dah mencekak pinggang. Dengan seram yang meremang, masing-masing mencekak beberapa helai kertas lalu terus melukis sesuatu tanpa di suruh-suruh. "Jangan marah Encik Kamn, nanti cepat tua," kataku dengan selamba mengkarung. Dan tahukah anda apa jawapan dari Encik Kamn kepada ku?
Ha...jawapan dari En Kamn berbunyi... "Kidol, kau turun ke bawah...belikan aku rokok. Pergi kau jalan itik, balik kau moonwalking, sekarang!!!".

Thursday, July 02, 2009

Episod 8: Talileher,Radio Tamil dan Lampu Merah

Tepat jam 5 petang, kami semua diperhambat pulang. Sempurna hari yang pertama aku bekerja. Hari yang letih. Lutut dah rasa melurut ke bukulali kaki. Berharap-harap sekali dapat lekas-lekas pulang ke rumah untuk baring sambil melunjur kaki ke arah atas, supaya lutut dapat kembali ke kordinat yang sepatutnya.

Berbumbungkan Pondok Hentian Bas, aku menyertai kawan-kawan studio menunggu bas untuk pulang. Hampir semua menggunakan bas untuk pergi dan balik. Di era ini, perkhidmatan bas awam adalah pillihan paling popular untuk para pekerja marhaen. Kesemua kawan-kawanku, masing-masing mendiam diri. Sudah kehabisan bual waktu di pejabat tadi. Masing-masing bermonolog sendiri sambil mata tersangkut ke deretan kereta yang bergerak malas-malas, meluat-meluat. Jalan Ipoh pada waktu puncak sememangnya sesak dan menyesakkan.

Ameir merapati ku,"Esok pakai talileher..." katanya. Aku menjuih bibir bawah. "Hmm...." sedikit berbunyi. Sekilas itu, aku teringat taklimat En. Kamn awal pagi tadi. Katanya semua animator diwajibkan memakai talileher. Secara tersiratnya kami faham, bahawa kod pemakaian kami ke studio adalah kemeja dan talileher.

Satu lagi fakta penting, terpahat dalam catatan sejarah animasi dalam negara di mana semua animator Usop Sontorian diwajibkan memakai talileher. Masa taklimat pagi itu, mahu saja aku buat bangkangan, aku tahu...bukan hanya aku, semua animator kurang setuju dan membantah di dalam hati. Riak muka mereka menterjemah rasa kurang senang dan kurang selesa masing-masing. Sesungguhnya, aku kecewa dengan sikap kawan-kawan ku. Pada pendapatku dan atas dasar prinsip, konsep paksaan sebegini tidak harus dibiarkan. Secara logik akalnya, apakah perkaitannya talileher dan kreativiti? Apakah tanpa sesuatu yang mengikat leher, maka lukisan yang dibuat tidak menjadi? Bait-bait berontak itu, berkeliling dalam hatiku. Dan akhirnya aku sudah habis fikir,aku sudah bulatkan tekad. Andai hari ini adalah hari pertama aku bekerja dan menjadi pula hari terakhir aku di sini, maka aku redha dan aku sanggup menelan apa saja risiko yang mendatang.

Lalu dengan semangat membela yang meluap-luap, aku gagahkan diri mengangkat tangan. Lurus ke atas seperti Tunku Abdul Rahman melaung kata Merdeka!. En. Kamn merenung ke arahku. Asap rokoknya menuju lurus ke arahku, bergerak lurus seperti ada stereng pemanduan."Yaa....ada apa Kidol? "suaranya keras.


"Saya nak cakap sikit En. Kamn. Saya tak puas....." Aku menarik kembali nafas yang mati.
"Tak puas apa?" En. Kamn membuntangkan mata, mengetap bibir.Kerut dan kedut di dahi bersimpang siur. "Kau tak puas apa.Kidol?" nadanya semakin meninggi.

"Err...saya tak puas kencing...! Ada rasa lagi ni...Nak minta kebenaran ke tandas sekejap, boleh?" Ayat yang tak pernah aku gubah itu terpacul laju dari mulut puaka ini. Entah kuasa mana yang mendorong aku untuk sebegitu petah. "Terima kasih, En.Kamn!" sambil aku berlari -lari biawak menuju ke tandas.

"Oii....Kidol, naik cepat, bas nak jalan dah...!!" Suara Jau memekik dari tingkap bas memecahkan belon khayalku. Kesemua kawan-kawan pejabatku sudah pun berada di dalam bas. Hanya tinggal aku, diam dan terlongo. Dan bas mula bergerak. Aku memekik memohon berhenti, namun suara radio siaran Drama Tamil dari corong bunyian bas menenggelamkan suaraku. Bas terus meluru laju. Aku pula, tidak mengenal putus asa, terus mengejar bas dengan daya yang berbaki. Mujur ada lintasan pejalan kaki di hadapan dan aku mencari ikhtiar, bagaimana untuk membuatkan lampu hijau tersebut bertukar merah.

Dan.... Dengan tanpa disuruh-suruh, aku lantas mencabut kasut di kaki sebelah kiri, aku 'peteng' dengan mata yang sebelah dipicingkan. Dengan seluruh kekuatan yang ada, aku membaling kasut itu tepat ke butang tekan lintasan pejalan kaki di situ. Lampu bertukar merah dan bas berhenti menjadikan aku dapat naik.

Aku bernasib baik kerana lontaran itu menepati ke sasaran, bas berhenti dan aku dapat naik, menyertai kawan-kawan untuk bergerak pulang. Dan aku juga tidak bernasib baik kerana kasut yang ku baling tadi melantun ke dalam lori sampah yang bergerak ke arah yang bertentangan.

"Aduh....." aku layu dalam mengeluh. "Siapa ada kasut lebih?" Pekikku kuat-kuat tetapi tenggelam. Ia tenggelam dalam Drama Tamil, sedang dalam scene pertengkaran dan air mata.



Monday, June 29, 2009

Episod 7: Dari Pagi ke Waktu Rehat

Separuh pagi hari pertama bekerja itu, aku tidak kekal duduk di kerusi sendiri. Sekejap-sekejap dipanggil untuk memenuhi beberapa agenda. Dan aku kuat mengesyaki bahawa agenda-agenda yang timbul adalah sangat tanpa dirancang. Semuanya secara tiba-tiba dan aku dan kawan-kawan aku tahu bahawa kami, sebagai "Buah Cempedak Di Luar Pagar" harus terus, bagai "Lembu Di Cucuk Hidung" memenuhi agenda orang-orang besar tersebut. Dan orang-orang besar tersebut, nampak jelas pulak "Bagai Kaduk Naik Junjung..."

Bermula dengan kenal mengenal bersama Encik Yang Tujuh, yang telahpun disebut sebelum ini, aku dan beberapa lagi pekerja baru dikenalkan kepada beberapa kakitangan Pengurusan. Pertama-tamanya, kami di bawa ke bilik Md Othman Yusof (Kini Datuk). Biliknya besar, kerusinya besar, mejanya besar dan beliaupun berucap dengan isu yang besar-besar. Mataku meliar ke sekeliling dinding. Satu jendela besar menjadi ruang untuk aku membuang pandang, jauh ke luar menampakkan Kuala Lumpur yang rapat bersusunan bangunan besar-besar.

Sekeping papan lukisan berdiri, menyokong kukuh sehelai kanvas dan di dadanya tercalit sebuah lukisan separa siap. Seorang Encik berbisik kepada ku. katanya, itulah lukisan yang menjadi bahan bicara kepada setiap pekerja baru. Jika ada 100 pekerja maka 100 cerita berbeza akan diwakilkan kepada lukisan yang separuh siap itu dan paling mengasyikkan adalah...lukisan itu tidak pernah kunjung siap selepas masuknya pekerja yang ke 100. Aku tertawa di dalam hati dan terlintas kata-kata yang pernah terpacul dari mulut Penulis ternama Zaharah Nawawi,"Jangan fikirkan di mana anda bermula, tetapi...fikirkan di mana anda berakhir."

Setelah itu kami diperkenalkan lagi kepada kumpulan pengurusan sokongan, ramai dan aku sukar mengingat kesemuanya, kecuali Lee Hun. Lee Hun seorang pegawai atasan Jabatan Pengurusan yang mempunyai keunikan suara. Kartunis Ujang meminjam rupa dan suaranya untuk watak ibu Ah Kim, dan dapat dilihat penampilannya pada Episod Kawan Baru, Usop Sontorian.

Kami juga dibawa ke bilik yang memuatkan pekerja produksi untuk Majalah Ujang. Ya...majalah Ujang bermula dengan hanya sebuah bilik kecil. Kami dibawa berjumpa sdr. Ujang yang menyambut kami dengan senyum taringnya. Di belakangnya, Kartunis Aie yang baru masuk meninggalkan majalah Jenaka. Di belakangnya, kartunis Gayour yang baru masuk meninggalkan majalah Gelihati. Di belakang Gayour, Kartunis Pak Mat Top yang baru meninggalkan kereta Boss di bawah dan lepak di situ untuk melepas lelah. Pak Mat Top bukan kartunis, tetapi beliau adalah pemandu Encik Othman Yusof. Pak Mat selalu lepak di situ sementara menunggu tugas seterusnya. Yang sebetulnya kata Pak Mat, bilik kartunis ini saja yang mempunyai aura penghawa dingin yang dingin, di bilik lain penghawa dinginnya agak panas dan lebih malang lagi ada bilik yang tidak dibekalkan penghawa dingin seperti bilik setor.

Pak Mat bercerita lagi, pernah satu ketika, Encik Kamn meminta ditambahkan jumlah penghawa dingin di dalam bilik animator kerana penghawa dingin yang ada tidak tertampung nisbah jumlah ketiak yang ada di situ. Jadi Lee Hun dengan sebuah mesin kira di tangannya masuk ke studio animator dan memerhati keliling, jarinya menunjuk-nunjuk juga ke sekeliling. kemudian keluar tanpa sempat mengerling. Encik Don, salah seorang animator, dengan bangga mengumumkan bahawa hari itu adalah hari panas yang akhir untuk mereka semua. Katanya, "hargailah titisan peluh ketiak pada hari ini kerana pada hari esok, takkan ada lagi titis ketiak seperti hari ini. Esok kita semua akan dapat penghawa dingin yang baru."

Dan apabila mentari esok tiba, semua animator secara tiba-tiba ingin mengepit kepala Encik Don di bawah ketiak mereka. Rupa-rupanya Lee Hun tidakpun membeli penghawa dingin untuk dipasang sebagai penyejuk ketiak-ketiak animator tetapi dibelinya kipas besar yang bila di pasang, ia akan menenggelamkan bunyi radio dalam studio.

Maninggalkan Pak Mat yang belum habis derai ketawanya, kami singgah untuk dikenalkan kepada Zali Kamari, boss untuk Kharisma Muzik. Zali Kamari yang tidak mempunyai staff selain dari dirinya sendiri memperkenalkan kami kepada Keyboard, Drum, Gitar dan Microfon di dalam studionya.

Sedar-sedar jam sudahpun tepat ke satu tengahari. Mula-mula berita penting...itulah yang sempat telinga ku tangkap sewaktu melintasi meja penyambut tetamu, radio yang sedang mengkumandangkan berita yang beritanya dibacakan oleh Mariamah Tijo itu, samar-samar dan semakin jauh aku tinggalkan. Baru saja punggung menyinggah duduk di kerusi, Encik Kamn dah perhambat kami semua keluar. "Pergi makan tengahari", katanya pendek tetapi asap rokoknya berpanjangan.

Kami turun lif dan mendarat di lobi. Tercegat di situ, Mariapan dan Abang Zainal, dua pengawal keselamatan menunjukkan kami gerai makan di kawasan padang, belakang Plaza Pengkalan. Kami tercangak-cangak "Bagai Rusa Masuk Kampung" dan singgah di satu gerai nasi campur. Masing-masing menceduk nasi dan lauk, menyudu secubit sayur dan menyua kepada makcik gerai tersebut. Bunyi Makcik tersebut..."Cek punya RM3, Cek punya RM 3.50, Cek punya RM4. Cek punya RM1.20" ke arah kami. Kami bayar dengan tak banyak soal dan menuju kawasan meja makan. Sambil makan masing-masing tak berbunyi, tapi akhirnya masing-masing tak dapat menahan diri.

Ameir bersuara,"Kau perasan tak, Mak Cik tadi menentukan harga makanan tanpa melihat lauk yang kita ambil..." Yaa...sampuk Jau. "Mak Cik tadi menentukan harga dengan menengok muka kita. Jadi, kau buat muka macamana, boleh dapat harga RM1.20 ni? tanya mereka serentak kepada ku.

Aku pun menjawab,"Aku buat muka DBKL la, aku tahu Mak Cik tu meniaga tak de lesen..." Esoknya aku pasti, aku dah tak boleh buat muka DBKL lagi. Ah...muka apa pula nak aku gayakan depan Mak Cik Cek esok ni....kataku dalam hati dan aku pasti, di dalam hati kawan-kawanku itu, muka DBKL pasti sedang dilatih tubi.

Tuesday, May 26, 2009

Episod 6 : Hari Pertama

Tanggal 15 Mei 1994.

Hari ini, aku melapor diri di Kharisma Pictures Sdn Bhd, sebuah syarikat produksi animasi yang menerbitkan animasi Usop Sontorian. Plaza Pengkalan tersergam, seperti telah lama tercegat di situ menanti aku. Merepek apa aku ini, bangunan itu memang telah lama berdiri di situ, hanya aku sahaja yang baru sampai dan berdiri betul-betul di depan Pondok Polis belakang Perhentian Bas di situ.

Aku terus memanjat ke atas dalam kawalan nafas yang hins..hins..... Sedang, dalam dada..Maha Esa saja yang tahu betapa ligat paluan degup jantungku. Sampai di pintu utama, aku jengukkan muka perlahan dan terlihat gadis penyambut tetamu sedang berbual ditelefon sambil jarinya mengulung-gulung wayar telefon. Aku gusar, kerana aku pernah berkeadaan sangat malu di hadapan gadis ini. Aku berkira-kira sebentar. Membuat perhitungan dan terfikir bermacam-macam tindakan. Antara yang aku terfikir adalah:-
  1. Terus pulang dan batalkan niat manjadi animator
  2. Terus masuk dan jangan pandang belakang
  3. Terusan Wan Mat Saman ada di Kedah.....(eh...ape aku merapek ni?)

Lalu ketiga-tiga di atas tidak aku pilih dan aku memilih tindakan ini.....
Aku menjuihkan bibir hadapan sebelah atas. Lidahku menekan dan menolak terus ke hadapan gigi kacip sebelah atas. Sementara bibir bawah, aku kemam ke gigi kacip atas separa terbenam. Lalu aku masuk dan menunjukkan surat tawaran ku kepada Penyambut Tetamu tersebut. Beliau lalu mengisyaratkan aku terus masuk ke Studio tanpa memandang ke arah muka ku yang sedang dalam edisi menyamar ini. Heh...buat rugi salur darah aje. Aku terus berlari masuk ke Studio.

Di dalam Studio, aku menerima sapa dari seseorang, "Tak perlu diwajib-tayangkan gigi kacip itu, orang lain pun ada gigi kacip, juga..." katanya sambil mengerak-gerakkan bibir.

"Heh....semua orang bercakap sambil menggerakkan bibir la...." kata Ameir yang berdiri berhampiranku, juga sambil menggerakkan bibir.

"Tapi Mahadi dan Jalut tu..tak gerak bibir pun boleh bercakap, apa? kata Azizi yang berdiri di sebelah Ameir.

Ameir, Azizi, Abong dan beberapa orang lagi sedang berdiri dalam baris yang lurus. Aku menjenguk jauh ke hadapan, tiada pula mesih ATM untuk mengeluarkan duit, fikirku. Atas alasan apa mereka ini berbaris? Apakah kerana ada "mari lah mari...mari mengundi....?" atau apakah pekerjaan Animator itu sememangnya begini, melukis sambil berdiri dalam satu barisan yang lurus. Apakah begitu, fikir ku..apakah?

Dan serentak dengan itu, aku terlihat kelibat seseorang keluar melalui pintu biliknya. Orangnya bermisai, tidak tinggi dan tidak tersangat rendah. Jemarinya menjepit sebatang rokok dan asap bertempiar mengekorinya, sepanjang perjalanan.

Beliau berhenti. Diam... dan seperti berfikir. Jauh ... dan seperti serius. Kerut.... dan seperti tua riak mukanya.

Lalu membuka bicara memecah sunyi. Katanya "Selamat Datang ke dunia animasi. Selangkah kamu masuk, tiada langkah yang akan keluarkan kamu dari sini. Kamu akan terikat atas dasar semangat dan minat. Saya tahu, kamu ditawarkan gaji yang lumayan untuk bersama kami, jadi.....bersyukur dan ambil peluang ini untuk terus maju.

Semua yang dalam barisan serentak bercakap dalam hati...yaaa...lumayan...cukup lumayan dengan gaji lima ratus.

Beliau kemudian memperkenalkan kami kepada 7 orang pelukis yang menjadi kumpulan awal animator Usop Sontorian. Mereka adalah:-

  1. Encik Michael Chew
  2. Encik Razali Talib
  3. Encik Jamal
  4. Encik Don
  5. Encik Hamdan
  6. Encik Lal
  7. Encik Simon.
Tercatat dalam sejarah Usop Sontorian, inilah tujuh tenaga kerja asal yang menggerakkan animasi siri TV pertama Malaysia. Selain Kamn Ismail sebagai Pengarah Animasi dan sdr Ujang sebagai Pengarah Kreatif dan Pereka Watak. Aku menanam azam di dalam hati, andai diberi ruang dan peluang, tempat ke lapan itu, mahu aku genggam menjadi milikku. Ya....aku mahu itu...kabulkan Tuhanku.....kabulkan.


Monday, May 25, 2009

Episod 5 : Tunggu..Tunggu..dan tunggu...

"Eh..berapa lama aku kena tunggu nih?"

Hari ini, sudah masuk tiga bulan aku pulang dari temuduga di Plaza Pengkalan. Nampak gaya, aku gagal dalam temuduga itu. Dan ini bukan pertama kali aku gagal dalam temuduga. Sekali dulu, aku pernah gagal dalam temuduga sebagai Atenden Pam Minyak di Jalan Ampang. Aku gagal kerana tidak berwajah Pan Bangla. Hari ini aku gagal lagi....dua kali gagal , sangat -sangat memberi isyarat pada ku bahawa aku ini seorang yang pengalah. Ohh.....Tuhan, berikan aku kekuatan merentas jalan gagal ini.

Mujur waktu ini, aku masih lagi sebagai Pembantu Juruteknik Komputer, sebuah syarikat di Jalan Kampung Attap, K.L. Kerana kesempitan wang, aku menumpang tinggal di pejabat ini dan secara tidak langsung dinaikkan pangkat menjadi Pengawal Keselamatan. Siang aku mengulit komputer yang ditempah orang (bunyi macam jual karipap je..) dan malam...jeng..jeng....jeng.....secara senyap-senyap. Takut diketahui rakan sepejabat. Pada malamnya...............aku bertukar menjadi..........
kartunis, melukis kartun untuk Gelagat dan akhbar Metro. Inilah sumber pendapatanku dan kadang-kadang bila gaji pejabat dibayar lambat, aku masih mampu senyum sambil menikmati Megi Kari kerana duit hasil kartun ku itu, lagi la lambat dapatnya.

Dan tiba satu pagi...pagi yang gelap, kata seorang penyanyi itu, tidak gelap pada kataku. Pagi itu, bagiku adalah pagi yang cerah.....(tapi, penyanyi itu pun ada berkata begitu...? Eh..mana satu ni, penyanyi...?)

Pagi itu....sedang aku bersarapan di dalam pejabat, aku hampir tercekik daun pisang bila mana aku terlihat sekeping surat berlogo Kharisma Pictures Sdn. Bhd. elok duduk dibuat pelapik sarapan nasi lemak salah seorang kawan ku. Aku rentap kertas itu dan nasi bertabur ke lantai.
Aku baca penuh hati-hati dan sambil memicingkan anak mata. Memicing anak mata ini sangat penting kerana sewaktu nasi bertaburan tadi, secebis cili singgah di mata ku. Jadi, perbuatan memicing ini sedikit membantu aku menahan pedih perih secebis cili.

Benar dan tepat sekali, surat bertarikh semalam itu, dituju tepat kepada ku (ya..tertera namaku dalam Bold yang jitu) Tertera...Anda diterima bekerja untuk jawatan Junior Animator dan diminta melapor diri pada 15 Mei 1994.

Aku melompat gembira setinggi yang boleh dan sempat ku cium starter lampu kalimantang di siling pejabat. Bermula hari itu, aku tinggalkan pejabat dengan azam baru...kerja baru untuk kehidupan baru.....

Plaza Pengkalan, teguhkah besi cerucuk mu untuk menerima aku...........?