Wednesday, October 29, 2014

Nak dijadi cerita......

Aku masih ingat dan harap saudara juga masih ingat akan aku. Maklum...sepinya lama...hentinya lama...lampu merahnya masih bernyala. Kali ini, ingin rasa menggulung nostalgia ke zaman pemula. Aku datang mencium kota dengan seribu sukar. Kisahnya....aku bersekolah di Kuala Lumpur dan sehabis SPM, aku terpaksa pulang ke Kelantan kerana bapaku berpencenan. Setahun juga di sana, mencari kerja dan mencari mula. Malang sekali......rasanya banyak kali malangnya, minta situ..tak di terima.....minta sini....tak de tali saudara...... minta kiri...tak de diplome....
 
Aku akhirnya menjadi penganggur setia. Ke rumah jiran, akhbar, ku tumpang baca.....mencari iklan yang bertulis mencari pekerja.
 
Nak dijadi cerita, bekas rakan sekolah lama telefon dan bertanya berita. Langsung menjemput kerja bersama di Jalan Kampung Attap membaiki computer. Aku teruja dan senyum menyangga. Aku setuju dan angguk kepala. Namun, ada satu kekangan rasa, sekeping duitpun haram tak ada. Aku hampir menolak dan tiada kata setuju terima. Aku malu-malu biawak, nak mula langkah tapi kesima.
 
Nak dijadi cerita 2.0, Bapa saudara datang simpati lalu menghulur tiket empat segi. Rupanya itulah tiket yang sebenarnya tiket. Tiket inilah yang membawa aku hingga ke hari ini. Tiket bas itu aku selit kemas ke dalam dompet. Aku mengemas baju berselang singlet. Malam itu juga......aku merentas Gua Musang dengan bas ekspress berderet-deret.
 
Nak dijadi cerita 3.0, Kerja yang dijanji belumnya pasti. Hanya berbunyi sang sipi-sipi. Dan aku sudah memijak Dayabumi. Aku tidak boleh patah balik, kata tak jadi. Lalu aku merutin semula. Membaca akhbar, ruang iklaneka. Mencari peluang bertemuduga, mencari ruang tapak selesa.
 
Nak dijadi cerita 4.0, aku berpergi ke satu temuduga. Jawatannya baik, penemudugapun cantik. Aku telah sedari, badan tidak begitu seteydi. Aku rasa lemah dah tiga hari. Kadang panas di sebelah dahi. Namun aku gagahkan diri masuk ke gelanggang temuduga. Suasana temuduga rancak, dia tanya aku jawab, aku tanya dia jawab. Melihat pada keadaannya, seperti ada harapan.
 
Akupun pulang dengan yakin yang tinggi. Aku tidak menganggur lagi. Aku berjalan ala Baba Ali.
Seminggu ku tunggu, tiada berita....dua minggu ku tunggupun tiada berita. Akhirnya aku telefon menyulam tanya. " Bagaimana temuduga saya dua minggu lepas? Dapat kerja ataupun melepas?"
Tanyaku dengan santun yang paling rias.
 
Langsung jawapannya adalah teriak, "Encik datang temuduga dengan keadaan demam campak. Habis satu pejabat berjangkit biak. Keputusan temuduga Encik terus bertukar corak!"
 
Telefon dihempas dan tut.........................

Saturday, May 24, 2014

Dengkur di persimpangan.....

Punggung ini pernah duduk di Panggung Kluang Man. Walau sekejap, ianya sangat berasa sedap dan hingga hari ini terasa serap. Nukilan Kluang Man bukan waktu ini untuk ku ucap. Tunggulah sehingga gesaan menjadi kerap dan aku tiada lagi kata kejap.
Usai kerja di Produksi Kluang Man. Aku beralih ke sebuah Studio di Taman Maluri, Cheras. Studio ini menjalankan animasi cara berbeza. Studio ini menggunakan keadah animasi separa lama dan separa baru. Produksi sedang hampir selesai menyiapkan Telemovie Kartini. Seingat aku, masuknya aku ke situ hanya sempat menyumbang suara sebaris dua. Ceritanya telahpun siap dan sedang pada pentas 'touchup'. Sebab itu pada hujung telemovie, namaku tidak beserta sekali. Cakap jahat berbunyi...ah..kau bukan ahli produksi...hanya datang menunjuk gusi.
Kebetulan pada tahun-tahun itu, ekonomi dunia sedang meleset. Banyak kerja yang diberita pancit. Ramai pekerja yang buang sumpit. Aku sendiri merasa tercubit. Gaji dipotong dari banyak ke sikit, kerja ditambah dari bisul menjadi bukit. Zaman itu, stress meninggi. Rasa macam nak tempik sana sini. Rasa macam nak karate tulang rusuk sendiri. Tertekan dengan masalah pekerjaan yang tidak tentu berwarna diakhirnya. Aku akhirnya tewas dan tidak lagi boleh membunyi tawa. Animasi sudah kuanggap basi. Animasi bukan jaminan lagi. Aku berkira-kira menghilang dari industri Aku berasa rajuk menjeruk hati. Aku berasa ini adalah henti.
Tanpa dirancang dan dibisik tepi, seseorang menelefon di talian pejabat. Waktu itu, telefon bimbit belum membudaya dan kalaupun paling hampir,  adalah pager. Satu suara garau berpelat N9 berkata lurus pada ku. " Abang! nak mengajar tak?" Suara itu aku kenal, seorang rakan industri yang kian lama hilang dan muncul kembali. Beliau pernah menjadi anak didik ku, sebelum selesa dalam industri. Aku menjawab dengan rendah diri "Mana layak aku mengajar dan siapa yang sudi memurid diri?"
Talian telefon terputus, bukan kerana kelemahan isyarat, tetapi kerana kelemahan kawanku sendiri yang tidak memasukkan wang siling secukupnya ke dalam peti. Beliau menyambung lagi, " Kojo sekarang Okey ko? Okey tu sengaja dibold untuk diberi penekanan, supaya dibaca dalam bunyi N9.
Aku beriya menolak dan merendah diri sehampir padi. Beliau pula beriya mengajak dan meninggi diri sehampir KLCC. Berbekal secalit tahu, animasi yang aku belajar di Studio, menjadi bekal untuk aku terima lawa kawanku itu. Aku akhirnya setuju walau anggukku hanya satu. Aku sebenarnya belum berani dan belum ada yakin diri. Kalau dulu aku mengajar setiap pekerja baru yang masuk studio, untuk mereka pandai bermain animasi, berwarna-warni, kini aku berhadapan dengan beberapa buah kelas yang pelajarnya belum tahu apa itu animasi.
Ku ingat lagi, aku hanya didugatemu di meja mamak Melawati. Aku hanya memesan air suam kerana gugup yang di tahap tinggi. Aku hanya menjawab sepatah, sedangkan soalan yang yang ditujah, berpatah-patah.
Di meja bulat ini, aku seperti dalam simbol Ying dan Yang. Berakhir dengan tiada kata bulat, aku dan penemuduga tadi berpergi dan beliau melempar satu pesan. "Datang kolej jika ada rasa minat, datang kolej bila beranimasi sudah penat."

Aku kembali ke rumah dan berkurung di kamar. Duduk di meja kerja dan tangan melakar-lakar pada kertas kosong. Tiada subjek yang menjadi tumpu, tiada bentuk dan makin merapu. Aku masih berfikir dan berkira-kira, apakah baik jika terima atau terus berkeadaan serupa. Sukar sungguh membuat keputusan walau telah lama ditimbang-timbang. Aku akhirnya lelap di situ. Dengkur dan siul...bersilih lagu.