Wednesday, April 04, 2007

Episod 1: Temuduga Di Jalan Ipoh-Satu Nostalgia Teguh

Bangunan bersusun batu tersergam merah di depan ku. Keratan akhbar yang ku koyak kasar, ku depang sambil membaca butirannya. "Kartunis diperlukan. Berminat? Sila hadiri temuduga di Kharisma Pictures, Plaza Pengkalan Jalan Ipoh. Dan atas sebab itu aku kemari, menjejak kaki dan mencari-cari.
Batu 3 Jalan Ipoh ini, benar tidak asing bagi ku. Aku kerap ke sini setiap sabtu, menghantar kartunku ke Majalah Gelagat yang pejabatnya berhadapan dengan Plaza Pengkalan. Hari ini, aku melanggar rutin selalu. Hari ini aku memilih Isnin untuk ke kawasan ini. Dan tujuan ku kali ini untuk memenuhi undangan keratan akhbar tadi(jika boleh saja disebut undangan.).
Sedar-sedar aku sudah dilingkung empat penjuru alam. Pengawal Keselamatan yang berlencana Mariapan, menghalakan ibu jarinya ke jentera ini untuk aku ke tingkat atas. Dalam gayat yang sembunyi, aku dikejutkan oleh dentingan Level 13. Pintu menguak lembut. Aku melompat keluar. Sebuah lorong sayup mengalu-alu aku ke hadapan.
Aku membuka persoalan, lorong itu...apakah, lorong kejayaan atau lorong kesengsaraan?
Aku keliru..keliru tentang masa hadapan. Haruskah aku terus atau kembali ke kotak lif?
Keratan Iklan ku renung dalam. Menari-nari tinta hitam dan berbaur persoalan di cepu fikir.
Aku masih keliru...keliru memilih tuju.