Saturday, May 24, 2014

Dengkur di persimpangan.....

Punggung ini pernah duduk di Panggung Kluang Man. Walau sekejap, ianya sangat berasa sedap dan hingga hari ini terasa serap. Nukilan Kluang Man bukan waktu ini untuk ku ucap. Tunggulah sehingga gesaan menjadi kerap dan aku tiada lagi kata kejap.
Usai kerja di Produksi Kluang Man. Aku beralih ke sebuah Studio di Taman Maluri, Cheras. Studio ini menjalankan animasi cara berbeza. Studio ini menggunakan keadah animasi separa lama dan separa baru. Produksi sedang hampir selesai menyiapkan Telemovie Kartini. Seingat aku, masuknya aku ke situ hanya sempat menyumbang suara sebaris dua. Ceritanya telahpun siap dan sedang pada pentas 'touchup'. Sebab itu pada hujung telemovie, namaku tidak beserta sekali. Cakap jahat berbunyi...ah..kau bukan ahli produksi...hanya datang menunjuk gusi.
Kebetulan pada tahun-tahun itu, ekonomi dunia sedang meleset. Banyak kerja yang diberita pancit. Ramai pekerja yang buang sumpit. Aku sendiri merasa tercubit. Gaji dipotong dari banyak ke sikit, kerja ditambah dari bisul menjadi bukit. Zaman itu, stress meninggi. Rasa macam nak tempik sana sini. Rasa macam nak karate tulang rusuk sendiri. Tertekan dengan masalah pekerjaan yang tidak tentu berwarna diakhirnya. Aku akhirnya tewas dan tidak lagi boleh membunyi tawa. Animasi sudah kuanggap basi. Animasi bukan jaminan lagi. Aku berkira-kira menghilang dari industri Aku berasa rajuk menjeruk hati. Aku berasa ini adalah henti.
Tanpa dirancang dan dibisik tepi, seseorang menelefon di talian pejabat. Waktu itu, telefon bimbit belum membudaya dan kalaupun paling hampir,  adalah pager. Satu suara garau berpelat N9 berkata lurus pada ku. " Abang! nak mengajar tak?" Suara itu aku kenal, seorang rakan industri yang kian lama hilang dan muncul kembali. Beliau pernah menjadi anak didik ku, sebelum selesa dalam industri. Aku menjawab dengan rendah diri "Mana layak aku mengajar dan siapa yang sudi memurid diri?"
Talian telefon terputus, bukan kerana kelemahan isyarat, tetapi kerana kelemahan kawanku sendiri yang tidak memasukkan wang siling secukupnya ke dalam peti. Beliau menyambung lagi, " Kojo sekarang Okey ko? Okey tu sengaja dibold untuk diberi penekanan, supaya dibaca dalam bunyi N9.
Aku beriya menolak dan merendah diri sehampir padi. Beliau pula beriya mengajak dan meninggi diri sehampir KLCC. Berbekal secalit tahu, animasi yang aku belajar di Studio, menjadi bekal untuk aku terima lawa kawanku itu. Aku akhirnya setuju walau anggukku hanya satu. Aku sebenarnya belum berani dan belum ada yakin diri. Kalau dulu aku mengajar setiap pekerja baru yang masuk studio, untuk mereka pandai bermain animasi, berwarna-warni, kini aku berhadapan dengan beberapa buah kelas yang pelajarnya belum tahu apa itu animasi.
Ku ingat lagi, aku hanya didugatemu di meja mamak Melawati. Aku hanya memesan air suam kerana gugup yang di tahap tinggi. Aku hanya menjawab sepatah, sedangkan soalan yang yang ditujah, berpatah-patah.
Di meja bulat ini, aku seperti dalam simbol Ying dan Yang. Berakhir dengan tiada kata bulat, aku dan penemuduga tadi berpergi dan beliau melempar satu pesan. "Datang kolej jika ada rasa minat, datang kolej bila beranimasi sudah penat."

Aku kembali ke rumah dan berkurung di kamar. Duduk di meja kerja dan tangan melakar-lakar pada kertas kosong. Tiada subjek yang menjadi tumpu, tiada bentuk dan makin merapu. Aku masih berfikir dan berkira-kira, apakah baik jika terima atau terus berkeadaan serupa. Sukar sungguh membuat keputusan walau telah lama ditimbang-timbang. Aku akhirnya lelap di situ. Dengkur dan siul...bersilih lagu.

No comments: