Wednesday, November 25, 2009

Episod 20 : Animasi 3D, Satu Seni Yang Teknikeli



Animasi 3D adalah lanjutan dari seni animasi 2D. Yang membezakan keduanya ini adalah sudut pandangan. Animasi 2D akan memperlihatkan karya yang flat, yang terhad kepada 2 sudut pandangan iaitu Ketinggian dan Kelebaran. manakala animasi 3D memperlihatkan animasi yang mempunyai 3 sudut pandangan iaitu Ketinggian, Kelebaran dan Kedalaman. Dengan adanya 3 paksi pandangan, animasi menjadi lebih realistik dan dapat menghampiri rupa bentuk sebenar sesuatu objek.

Sewaktu di Kharisma Pictures, aku tersogok oleh animasi 2D yang tidak pernah selesai tugasnya. Proses sketch, melukis, mewarna dan melukis latarbelakang dikerjakan secara berulangan dan kadangkala mengundang bosan. Untuk menghilangkan rasa bosan, pelbagai perangai pelik ditunjukkan oleh animator seperti, mengorat Mak cik Cleaner, membuat roket dan melancarkan ke ruang udara Studio, menelefon stesen TV sambil menyamar sebagai artis popular, minum di kedai mamak tetapi bayar di kedai buku. Makan tengahari di Senawang dan sendawa kenyang di Bukit Kayu Hitam. Sekadar menulis beberapa.



Suatu waktu yang terkemudian, En. Kamn mewujudkan unit animasi 3D. Kemasukan graduan dari Universiti Luar Negara ke unit ini menampakkan seni 3D berada pada kelasnya yang tersendiri. Ia nampak tinggi walau hanya bertingkah 1D sahaja. Aku memang meletak tangan separas kepala bila melihat karya digital mereka. Ya....tentunya, mereka belajar di tempat yang jauh, pastinya kerja menampak jaguh.

Di awal kemasukan mereka, En. Kamn meletakkan animator 3D dibawah pengawasan kami dan meminta kami memberi tunjuk ajar berkenaan 2D. Satu muslihat yang tidak dapat aku uraikan. Aku sungguh berasa ini langkah mati. Aku jadi kaku di depan mereka. Ia seperti mengajar cikgu PJ, cara berlari. Atau mengajar pemandu bas mini, jalan pintas ke destinasi. Dalam kaku yang segan-segan ubi, aku mengajar juga dan aku sedari, mereka lebih banyak diam dan aku tahu mereka sebenarnya sudah terlebih faham.

Hari ini memperlihatkan animasi 3D tempatan sudah pergi jauh. Upin & Ipin membuatkan Mak Cik Malikuypun mengaku yang anaknya bekerja sebagai pelukis animasi 3D. Katanya lagi, suara asal Upin & Ipin adalah miliknya. Tetapi telah diberi kesan khas bunyi hingga kedengaran lain sekali. Aku kagum dengan keterampilan karya anak-anak muda yang menanganinya. Juga memperlihatkan keberkesanan pengajian bidang animasi di Universiti. Nadi utama yang memunculkan fenomena Upin & Ipin adalah graduan muda dari sebuah Universiti Multimedia yang aku sendiri mengidamkan hasrat untuk masuk. Aku masih ingat, setiap kali keluar iklan kemasukan, aku akan memohon dan langkahku akan terhenti setakat itu sahaja. Aku hanya dapat membaca dan menelaah buku perspektusnya sahaja kerana tiada upaya mampu dari bucu kewangan menaja.

Teringat kepada seorang kawanku. Beliau pada asalnya, mempelajari bidang grafik di sebuah kolaj swasta di Taman Melawati. Dalam pada itu beliau sangat meminati bidang fotografi dan aktif mengambil gambar kawan-kawan sebagai model uji. Ketika era ekonomi gawat beberapa tahun ke belakang, beliau mendapati bidang grafik tidak memberi banyak peluang untuk beliau mencari sesuap nasi. Waktu yang sama beliau terdengar dari kawan-kawan yang sering berkumpul di Pasar Seni berkenaan sebuah syarikat animasi sedang mencari pekerja. Sebuah syarikat yang pangkal di Petaling Jaya, baru memulakan produksi dengan dua tiga kerat tenaga animator yang datang dari produksi Kharisma Pictures. (Ini bukan penamat kepada penceritaan kisah Kharisma Pictures, walau ia tampak telah melompat ke depan dan kebelakang. Pengkisahan Kharisma Pictures akan aku lanjutkan lagi mengikut kesesuaian entri.)

Kawanku ini di terima masuk menyertai syarikat baru ini dan sebenarnya (Yuna?), aku mula mengenalinya di sini. Setahun beliau bekerja dan mengambil langkah mengejut untuk berhenti dan dengan azam tinggi untuk menerokai bidang animasi dengan lebih lagi, beliau nekad berhenti kerja, menjual kereta kecilnya dan mendaftar masuk belajar di Universiti Multimedia. Selepas pada itu, aku terputus talian dengannya sehinggalah dia muncul semula selepas tamat pegajian beberapa tahun.

Jika dulu beliau hanya sebagai Pelukis Animasi, hari ini beliau muncul kembali dan kembali mengabdi diri tetapi tidak lagi sebagai pelukis animasi, tetapi muncul sebagai Usahawan Animasi. Syarikat beliau sedang mengusahakan animasi Sang Kancil dalam bentuk 3D. Lanjutnya boleh ditelusuri dipautan ini, www.otekkekatak.blogspot.com

Ledakan animasi 3D di Malaysia, memberi sedikit kesan sunyi kepada animasi 2D. Ledakan ini terjadi kerana kebanyakan pusat pengajian tinggi yang menawarkan program animasi akan lebih menonjolkan animasi 3D berbanding 2D. Aku sedikit tersinggung dalam perkara ini. Seperti bicaraku pada awal entiri, rentaknya berbunyi agar 2D tidak dianak tiri. 2D juga mempunyai peminatnya yang sendiri begitu juga 3D yang memang mempunyai pengikut berani mati. Cuma aku berharap pihak-pihak yang kurang memahami agar segera mendalami kebezaannya yang dua ini.

Ingin juga menyentuh pertandingan karya seni yang dianjurkan oleh salah sebuah stesyen tv. Beberapa siri pertandingan ini diungguli oleh animasi 3D. Aku berani mengatakan bahawa jalan sukar untuk 2D mengapai kemenangan jika ia dipertandingkan seiring dengan 3D. Imej 3D sudah pastinya memberi impak besar dalam kualiti kerana ia adalah kreativiti janaan komputer.

Seseorang kawanku pernah berkata, tapi sebenarnya aku yang berkata kepadanya, beliau memperkatakannya semula kepada ku. "Apa-apapun, animasi 2D dan 3D ini mempunyai kelebihan masing-masing dan mempunyai pengikut masing-masing. Jalan terbaik adalah kita menguasai kedua-duanya walaupun ini jarang berlaku kepada animator dalam negara. Namun sesuatu fakta yang aku sangat bangga adalah animator 3D luar negara yang hebat , kebanyakannya bermula sebagai animator 2D.











1 comment:

ibnukaduk said...

Seketika, mari kita telusuri, bahawa, tidak semua karya kartun sesuai dan boleh dianimasikan. Begitu juga tidak semua karya kartun sesuai untuk di 3D kan. Bayangkan lakaran Usop Sontorian oleh Sifu Ujang di 3D kan, maka hilang dan punahlah identiti lakaran Ujang tersebut. Begitu juga karya Datok Lat, ianya empuk dan enak dalam layar 2 Dimensi. Penontonnya juga cecah jutaan orang tiap kali dilayar di Astro. Sebenarnya, cerita dan penceritaan itu yang terlebih penting berbanding dengan imej di layar. Contoh yang paling dekat dan mudah difahami adalah wayang kulit. Wayang Kulit Sri Ason membuktikan teori ini. Apa ada pada 2 keping boneka kaku tersebut, natijahnya, penonton tetap terpukau dengan lagak suara, muzik latar dan kandungan persembahannya.Bukankah wayang kulit diiktiraf sebagai animasi awal di dunia?