Friday, December 24, 2010

Sudah Betul Kata Encik Zul.

Encik Zul, seorang kawan yang pangkat abang. Aku kenal beliau sewaktu masuk bekerja di Studio VI EH, di Petaling Jaya. Encik Zul seorang artis painting dan karya beliau banyak bertema kepada Rotation.

Suka berbual dengannya kerana kata-katanya sering ada unsur motivasi. Beliau sering mengulang (artis tema Rotation la katakan). "Hidup ini adalah putaran. Hari ni kau di sini.....esok kau ke sana.....kemudian ke sinun...dan sinan......dan akhirnya kau akan ke sini balik." Sambil jarinya menunjal ke udara. Anak mata aku pergi balik, mengikut arah yang ditunjuk sampai kanta lekap jadi semakin cembung.

Katanya lagi..."kau dulu pernah mengajar......dan hari ini kau buat kerja Studio......esok-esok, kau pasti mengajar balik" sambil Encik Zul lagi.

"Nanti tengok la...." sampuk Pak Su, yang sedang mengelap meja. Pak Su adalah empunya warung tempat kami berbual.

Dan hari ini....ya..Aku kembali teringat kata-kata Encik Zul itu. Memang hari ini aku kembali menjadi Pengajar. Sudah betul kata Encik Zul. Aku kembali mengadap senario Nota kuliah, pelan mengajar dan pelajar yang aneka ragam.

Suasana ini pernah aku lalui dulu. Ia seperti memijak semula tapak kaki yang tertinggal di pasir pantai. Iya...dan pijak ini menjadi lebih benam. Mungkin kerana berat badan yang semakin mengepam. Duduk di kerusi yang semakin lebar dan meja yang semakin besar, aku melayang fikir ke zaman mula mengenal erti dunia kerja suatu masa dahulu.

Zeeeeett......Visual flashback masuk mengadap.....

Warna merah Plaza Pengkalan sudah nampak makin kelam merahnya. Apakah mata aku sudah makin kelabu atau sememangnya langit kembali dicium jerebu? Dinding bata ini seperti kian pudar dari kod warna yang asal. Aku duduk bersandar, berhenti sebentar dan mata redup merenung diri sendiri di dinding cermin bertentangan. "Nak pergi ke tak nak?" Teks itu...berbolak-balik dalam hati aku. Ibarat bola lantun yang tidak erti duduk diam. "Nak pergi ke tak nak?".Ia semakin mengulang.

"Okey..semua dah ada, jom kita pergi" Teriak seorang Penghulu rombongan. Aku langsung berkeputusan untuk pergi. Pergi berikut serta bersama mereka yang dahaga kepada hari depan. Mereka tidak sahaja dahaga....malah lapar juga. Sudah berapa lama memujuk perut dengan roti berinti angin. Perutpun, seperti sudah tahu taktik itu. "Aiii....roti kosong lagi ke?" Perli perut dengan bahasa tersendiri.

Hari ini..ada sebahagian Animator Kharisma yang keluar. Hari ini ada sesi temuduga yang diadakan di sebuah hotel sekitar Pekeliling Jalan Ipoh. Aku menyertai mereka. Aku mahu mencuba nasib. Bak kata orang, Untung sabut timbul, untuk batu tenggelam.

Temuduga ini diadakan oleh sebuah syarikat pembekal rancangan RTM yang sangat risau akan kemampuan Kharisma untuk terus mengeluarkan karya. Masalah dalaman yang dapat mereka hidu awal membuatkan mereka terpaksa merangka jalan alternatif.

Aku mendapat tahu, Syarikat pembekal ini akan mewujudkan syarikat animasi baru dan memerlukan tenaga kerja untuk menjalankan produk yang bakal mereka hasilkan. Atas sebab itu aku ingin mencuba. Dan pula, studio tempat aku bekerja sekarang ini pun seperti sudah tidak sepertinya.

Masuk ke Dewan Temuduga, aku disoal itu dan ini. Diminta ceritakan apa yang aku telah buat, apa yang aku selalu buat dan apa yang aku akan buat.

Sesi temuduga selesai dan aku berjalan pulang kembali ke pejabat. Pulang dengan tidak mendapat jawapan yang pasti. Entah dapat, entah tidak. Namun, kata-kata sedap menjuih-juih di dalam hati. Dapat kot.

Masuk ke Studio dan membuat kerja seperti tiada apa yang belaku. Rupa-rupanya, ramai kawan ku yang pandai berlakon.

1 comment:

Nuox said...

aik???? ini jee..... setahun tunggu ni.
^&%*$*&$*^%#*($(()$%$&.


nak lagi laaaaaa!!!!!