Thursday, January 17, 2008

Epised 4: Serentak dengan dia.


Aku melepas lelah di kaki lima Plaza Pengkalan. Susunan Bata Merah keras, menanggung punggungku. Bunga hiasan yang menghias di antara bata-bata itu, menyamankan mataku yang berpinar-pinar kesan lari berpusing-pusing menuruni tangga dari tingkat 13 Plaza Pengkalan tadi.
Perut mendendang keriut. Memanggil-manggil makanan untuk diproses. Nada jam di tangan mengulang deting dan memberi makna waktu tengahari. Aku meninjau sekitar keliling melihatkan kalau ada kedai mamak untuk ku tuju. Malang, langsung tiada... Nampaknya, terpaksa aku mengalun pujuk, mengulit sabar kepada urat perutku.
Dan seketika itu, mataku menarik perhatian kepada kerumunan manusia yang membulat kepada seseorang. Orang yang dikerumun itu kelihatan begitu ligat menari. Melenggok ke kanan dan kiri. "Apakah ada pesta Lanai Seni atau acara Baca Puisi?"Aku menyoal sendiri.
Sejurus itu, akhirnya aku beroleh jawapan. Gerangan yang bergoyang itu rupanya Mamak penjual rojak bermotor yang sedang rancak memotong bahan rojaknya. Sungguh ramai pelanggan yang menanti dan perutku menyeru kata keriut yang lebih meriah merayu memohon isi.
Sedar-sedar, dalam lima minit menunggu, sepinggan rojak berhias sotong menapak di tapak tangan. Buku-buku rojak itu sekejap saja berpindah tempat dan memenuhi perutku. Aku senyum dalam sendawa yang panjang.
"Waa...makan sorang nampak?" Sebaris suara yang macam pernah aku dengar mengetuk gegendang telinga. Suara berpelat jawa itu amat aku kenal. Ya...itu nada suara kawanku bernama Abong dan benar seperti tekaku. Abong berdiri bongkok di sisi ku. Kawan ini aku kenal sewaktu sama-sama menimba ilmu berkartun dalam Kursus Kartun anjuran Pekartun dan Gila-Gila. Aku masih ingat didikan sdr Zunar dan Arwah Pak Jab. Kata Zunar "Belajar dulu sebelum berkartun, kalau dah terel...lukis orang lidipun orang gelak." dan kata arwah Pak Jab,"Alang-alang berdakwat, biar sampai hitam."




"Kau buat apa kat sini?" Aku bertanya Abong. "Temuduga dengan Kamn Ismail, jawatan animator!" Jawabnya sambil membariskan susunan gigi. Sekilas itu aku teringat insan berbunyi jawa di tingkat 13 tadi. mamat ini rupanya...
"Eh...! macam janji-janji pulak." Kami berkata serentak.
"Eh...! Tercakap serentak pulak!" Kami berkata serentak lagi.
"Eh...! Kau ni macam tahu apa aku nak cakap!" Kami sekali lagi tercakap serentak.
Serentak itu, ketawa kami berkecai...nyaring dan berderai...Kah..kah..kah...ahai...

2 comments:

Nuox said...

tak dan aku nak koyak cikedis, dah habis baca... memang aku ditakdirkan lebih tua dari semalam...

p(-_-)q

aMeir said...

Aku pun makin tua. Bulan 4 ni, aku genap 14 tahun dalam dunia kartun animasi kita. Rasa macam kejap je..
Tapi belum nampak banyak perubahan dalam gaya industri kita ni.