Wednesday, January 02, 2008

Epised 3: Iklan Kartunis, jawatan Animator

Duduk dengan sangat menjaga kedudukan seperti saranan buku "Mari Bertemuduga" yang ku baca malam tadi terasa sangat siksa. Di tambah pula dengan ruang bilik itu yang semakin terisi asap rokok Tuan Pengarah ini. Aku bertambah siksa dan tambah menyiksakan lagi... sebagai perokok tegar, aku sangat menunggu beliau menghulur laras tembakau bermuncung penapis itu. Namun seperti tiada harapan langsung dan bagai sengaja menyakitkan rasa ketagihku bila rokok yang dihisapnya sesedut dua, ditenyeh ke papan abu rokok.

Beliau masih meneliti beberapa karya yang aku bawa. (Dalam perjalanan menggunakan bas awam tadi, beberapa penunpang lain agak tersinggung dahinya bila terkena beg portfolioku.)
"Kita cari animator...bukan kartunis" tiba-tiba beliau melontar suara dan asap rokok bertempiar sama. "Tapi...iklan tu tulis kartunis diperlukan..." jawabku lancar. "Sama je...Kartunis melukis di kertas...statik. Animator lukis kasi gerak, engkau tahu....???"

Yaa... aku mengiyakan kata-katanya. Aku sendiri, rasanya asing dengan istilah animator. Sekitar tahun 1990an itu, memang istilah animator tidak begitu diketahui orang. Dan Tuan Pengarah menanyakan persetujuanku, mahu atau tidak menjadi animator? Terasa ingin sahaja buat lawak dengan berkata," Kalau tak de perempuan saya tak boleh jadi animator, Encik!" tapi...lawak itu ku simpan saja untuk buat kartun Harian Metro nanti.

Waktu temuduga perlu menjaga tatasusila bertemuduga dan saranan buku "Mari Bertemuduga" itu aku ingat sangat-sangat. "Aku tetap ingat, di mana aku...Aku sedang dalam sesi temuduga bukan temulawak!" Hatiku berbisik perlahan, walau sebenarnya...hatiku sedang bergegup kencang menahan seram ditemuduga.

Akhirnya, tanpa disuruh-suruh, kepalaku angguk menanda setuju. Dan aku dipersila pulang dan tunggu surat panggilan. Punggungkupun mengangkat sauh dan aku bergerak keluar dari pejabat Tuan Pengarah itu. Menuju ke pintu keluar aku sempat menjeling 7 orang pekerja termasuk pekerja Cina yang memberi kertas A4 kepadaku tadi. Mereka nampak serius mengadap komputer dan aku sangat teruja melihatkan watak botak-lonjong-4 helai rambut itu, bergerak-gerak di skrin monitor.

Melepasi pintu keluar, aku sekali lagi sempat menjeling kepada penyambut tetamu yang berwajah ayu. Kelihatan beliau mencuri-curi juga memandang aku tetapi aku sengaja bergaya agak mahal. Dan tiba-tiba beliau membuka kata,"Encik boleh masuk...!" Langsung secara automatiknya, jantung ini bagai gugur ke bumi. Beburung bangau tiba-tiba membuat bulatan dikelilingku sambil bermain gelung ula-hup. Badak-badak yang sedang berendam berlumba-lumba menuju ke arahku dan membuat bulatan kedua sambil menepuk tangan, derap, serentak dan seirama. Beruang Kutub yang sedang membuat latihan Tai-ci, bersungguh-sungguh merapatiku dan membentuk bulatan ketiga sambil memegang reben gimnastik.

Aku bahagia....aku bahagia...saat indah ini tak akan aku biar ia berlalu sebegitu. Aku perlu mengurangkan ego "agak mahalku". Aku lalu membalas sapaan gadis itu..." Encik boleh masuk tu...bermaksud Encik boleh masuk meminang kan? Cik adik suruh saya meminangkan? Saya sangat suka orang yang berterus terang. Jadi jawapan saya adalah...saya akan bawa Cik Adik ke rumah orang tua saya...boleh Cik adik kenal-kenal dengan ibu saya."jawabku panjang lebar.

Entah kenapa, keyakinanku begitu meninggi. Lancar membelah awan dan mara ke angkasa dan... tiba-tiba, satu suara yang membuat aku kembali ke bumi sebelum tamat misi. Suara itu berbunyi, " Saya boleh masuk untuk temuduga sekarang, ye...? Garau dan berpelat jawa.

Aku memandang di ruang menunggu dan ternampak olehku, seorang lelaki agak pendek berkulit gelap memegang fail dan dokumen untuk ditemuduga. Beliau melangkah masuk, tertib dan sopan, sedang aku...tanpa menoleh kepada gadis tadi terus memecut lari ke pintu lif. Dan...lebih malang lagi, keempat-empat lif sedang diselenggara dan aku teperangkap di situ. Gadis tadi, mengintai dari balik daun pintu membuatkan aku tiada pilihan lain selain menggunakan tangga kecemasan dan selaju boleh aku menuruni tingkat 13 itu bagai menuruni leher sang zirafah dari zoo negara, menyusur laju, menahan malu.

3 comments:

aMeir said...

Aku rasa mamat jawa tu mesti Abong kan?

Tunsiber said...

tunggu nak masukkan watak ko..nanti laa....

Nuox said...

bila nak sambung lagi.. aku dah makin tua ni.