Monday, October 11, 2010

Suara dari Bawah Tanah.

Bunyi gerakan Bawah Tanah mungkin memberi makna menanah kepada sesetengah pihak. Ya...begitu rupa rumpun makna Bawah Tanah yang memberi gambar kelam,hitam,air dan terkurung. Begitu kami sewaktu menyudahkan siri animasi budak botak lonjong. Kami sememangnya berada di bawah tanah. Kereta yang mundar dan motorsikal yang mandir, tidak pernah menyedari kewujudan kami. Dan kami sendiri terputus hubungan dengan dunia luar seketika. Isyarat radio tidak kecapaian dan larangan penggunaan telefon tangan di dalam pejabat sungguh kelihatan berkesan sekali.

Sebenarnya wujud satu keriangan hati bila kami dipindah ke dasar bumi. Kami berasa lebih bebas kalaupun tidak dilihat pandai berdikari. Kuli mana yang tidak menari, bila pengurusan berada jauh di tingkat tinggi.

Sekalian animator meraikan buka studio secara sendiri-sendiri. Tiada doa tiada jampi. Di suatu sudut, pemain gitar melagukan irama malu-malu bunyi. Sekalian kami tidak dapat membaca metafora peristiwa "Menurun PC". Aku akui, kami memang tidak belajar tinggi dan fakta selindung memang sukar kami ciumi.

Dari satu tempat tinggi, kami diturunkan ke dasar konti. Dari Penyaman Udara Bersepadu langsung ditukar ke kipas ribut menerbangkan batu. Dan kami masih ketawa berbalas-balas dan bahu terhinjut bawah ke atas. Produksi berjalan seperti biasa setelah selesai episod pindah. Animator bekerja seperti biasa, kekal di ofis tak balik rumah.

Pihak Pengurusan seperti mula menunjukkan rasa kurang senang yang selama ini sering di sembunyi di belah belakang. Jika dulu kamilah bintang, kini kami kelihatan seperti recycle bin yang kontang. Paling menyentuh hati kami bila Tuan Pengarah yang mencungkil kami dari ceruk halaman, yang suap kami dengan ilmu pendalangan, yang ***dek kami jika animasi macam ***pang.

Secara halus dan gerakkan bagai gimnas di tengah gelanggang, Tuan Pengarah cuba dikuis ke luar dewan. Pengarah baru yang tidak kami kenal sudah mula memanas badan. Bedak putih sudah diputar di tapak tangan dan menunggu pengadil memanggil ke depan.

Animator makin binggung. Pening dan berdengung. Kami mahu bekerja dan menjadi animator yang kekal dalam industri. Mereka pula seperti mencatur cerita sendiri dan pasti mangsanya adalah kami.

Sehingga pada satu ketika hiba, gaji tidak dibayar seperti sekala. EPF memang tidak pernah bercetak angka. Socso pun, pakai jumpa bomoh patah la jawabnya. Kami juga tidak menyedari permainan ini sehingga seorang pekerja pejabat yang jujur menyeludup surat dari EPF yang selalunya singgah di meja Pengurusan dan seperti selalu, ia akan ditong sampahkan bersusun-susunan. Surat itu jelas bertuju kepada kami dan tong sampah tidak layak mewakil diri.

Produksi menjadi caca-marba seketika. Storyboard yang siap, kekal di situ dan tidak terjalankan. Animator hilang semangat untuk kerja dan juga hilang zat untuk berkarya. Penganalisis kerjaya telah membayangkan, penghujung noktah sudah hampir menjengah kerangka.

Aku buntu bertimpa-timpa. Waktu itu aku sudahpun di alam bertunang. Ya, mengikat janji untuk hidup berpasang berdua. Waktu sedang dalam khabar gembira dan aku melompat bersilih kinja dan waktu itu juga seperti ada paku yang ditabur sengaja. Aku luka di luar, luka di dalam. Animator lain juga sebak di dada, batuk di dalam.

Waktu itu, tidak banyak syarikat animasi lain yang ada untuk aku beralih diam. Ada mungkin satu atau dua dan malangnya, mereka mengguna kaedah berbeza. Ini sedikit mengukir arca hampa pada aku yang sedang perlu. Aku menyumpah pada diri dan menyesali zaman sekolah yang tidak disungguhi.

Wajah Cikgu Jalil dan Cikgu Azwan menari-nari si skrin TV. Bengkel Elektronik Sekolah Menengah Vokasional Setapak, bergerak-gerak seperti sedang tertawa ke arah ku. Aku malu kepada Cikgu yang melatih aku untuk menjadi pakar elektronik tetapi aku seperti terlebih tonik dan menerjun diri ke lembah animasi yang amat asing pada ku dan pada masyarakat waktu itu.
Dikesempatan ini aku pohon maaf kerana menghampa Cikgu.

Bawah tanah menjadi betul hitam dan meyeramkan. Aku masih dalam bingung yang tak berkesudahan. Berdiri di petak sejadah dan bersambung doa memohon penyelesaian. Ini aku tekuni malam ke malam. Aku rajini takbir dan qiam. Jauh di pelantar hati aku tahu........Tuhan Sedang Menguji.........




Wednesday, September 01, 2010

Sedar tak sedar. Kita dah berdiri pada 10 malam akhir ramadhan. Bulan ini aku punya masa terhad untuk kerja animasiku. Tetapi puasa tidak menjadikan kita hilang produktiviti. Malah aku rasakan, aku lebih menghargai waktu yang ada dan memanfaatkannya pada perkara-perkara yang patutnya.

Di suatu hari cuti, aku bersandar di sofa 'empuk' yang lebih sesuai aku gelarkan 'lapuk'. Siaran TV memancar cahaya bazir kerana dibuka dan tinggalkan begitu sahaja oleh anak-anakku yang telahpun menadah panas petang bersama kayuh basikalnya yang berkeriang.

Aku menukar siaran, watak kartun tengkorang kering sedang dalam dialog berloghat Negeri Sembilan tergantung separuh ucapan.

Te....ne...ne..ne....Te, ne, ne, ne, ne, ne, Te.....ne.....ne.......ne....ne..ne..ne.......Ne..Ne..
Bunyi jingle Jejak Rasul di TV3 sedang mula. Ini antara gemar mataku sewaktu di bulan Ramadhan. Ia suatu rancangan yang makna dan aku sering tahu sesuatu di hujung credit titlenya.

Namun hari itu, aku melepas ketawa yang hampir memurahkan harga puasaku. Tahu kenapa? Pada imej-imej yang ter'compose' di montaj mulanya, ada sesuatu yang seperti bulu ayam datang mencakar-cakar celah lenganku.

Tahu kenapa? Aku berdekah-dekah keseorangan lantas menimbul hairan dan curiga ingin tahu dari rakan kongsiku. Dia bertanya kenapa. Aku masih dalam ketawa.

Tahu kenapa? Pada montaj Jejak Rasul itu, ada imej deretan unta sedang berjalan di padang pasir. Ini mengingatkan aku pada seorang rakan animator yang sangat sinonim dengan visual unta.

Sewaktu kami di dalam produksi animasi yang lama dahulu, kami sering didatang pelawat yang terdiri dari pelajar sekolah. Rakan kami yang seorang ini pantang jika ada pelawat. Andai beliau tahu ada pelawat yang akan masuk ke studio kami, beliau akan bersiap-siap dengan Scene wajib tayangnya. Di letak dalam mode siap siaga dan hanya menunggu waktu menekan punat Enter.

Dan sebaik pelawat pelajar sekolah masuk dan ternganga-nganga, beliau akan memperjalankan scene wajibnya yang berupa deretan unta berjalan. Dan beliau tidak pernah kecewa kerana sesungguhnya setiap kali berlaku lawatan, meja kerja beliau menjadi meja yang paling pecah panggung. Kawan-kawan lain pula seakan 'pecah punggung' melihat telatah beliau yang bercerita, menerangkan proses animasi yang didengar seakan tungging-terbalik jujuk atur prosesnya. Para pelawat kekal ternganga sedari pintu masuk hingga menjengah ke waktu keluar. Aku kurang pasti samada mereka belajar sesuatu atau mereka akan menjadi lebih malas untuk belajar.

Jika sesekali scene unta itu ditayangkan pada sesi lawatan, mungkin ramai antara kami yang tidak mempeduli, tetapi hampir setiap kali dan ia terus lekat menjadi tradisi, unta berjalan di padang pasiri, masuk menjadi kemestian yang tidak mudah untuk diketepi.

Pun begitu, beliau manusia baik. Beberapa tahun selepas itu aku dan Amed juga seorang rakan animator, turun ke Melaka, hadir untuk majlis Konvo seorang adinda. Beliau yang kebetulan sudah pulang ke tanah panglima, datang mencari dan kami duduk-duduk, berborak-borak dan berketawa-ketawa. Entah bila akan berjumpa lagi? Adik aku dah abih konvo semua.

.............................................

Sependek ini sahaja untuk sekali ini. Akhir kata, sebuah pantun pendek yang popular di setiap akhir puasa. Pecah kaca pecah gelas, lepas baca komen balas. Selamat Berpuasa dan Selamat mencari Qadarnya.



Wednesday, July 21, 2010

Kita Perlu Berkawan.

































Kata Pak Wahid Ulu Langat, "Berkawanlah....walau dengan sebuah pasu bunga" dan aku termangu lama-lama waktu tutur katanya singgah masuk ke salur telingaku. Seorang 'orang lama' yang sering mencari aku di kedai minum di pekan. Peliknya, beliau pasti ada setiap kali aku singgah minum dan sering melontar vokal level merah dengan ayat wajib, "Berbelanjalah walaupun hanya belanja seorang kawan".

Seorang kawan juga meletakkan di efbi, satu paparan nostaljik berupa list nama pekerja (lihat tepi). Ianya adalah senarai nama pekerja Produksi Animasi satu ketika dulu (kembali look at me). Nama aku tiada di situ, mungkin di letak di muka-muka terkebelakang. Senarai tersebut hanya sekadar meletakkan beberapa nama sahaja. Ramai lagi sebenarnya. Produksi itu pernah mempunyai seramai 100 orang pekerja animasi dan aku sering tersepit antara keseratusan itu. Jadi aku tidak hairan jika nama aku sering keciciran.

Senarai itu juga telah mengingatkan aku betapa aku pernah duduk dalam lingkung kawanan yang hebat-hebat pada hari ini. Jika Malique pernah berkata lewat rapnya "Ramai kawan ku yang baik telah dipijak" maka aku lebih suka berkata "Ramai kawan ku yang dipijak telah menjadi baik. Baik dalam ertikata.....kehidupan yang lebih baik. Mereka menjadi karyawan terbaik pada hari ini. Aku tidak dapat merincikan seorang demi seorang tetapi aku tidak menipu, sungguh mereka telah menjadi seseorang pada hari ini.

Mengapa aku kata mereka pernah dipijak? Di suatu ketika dahulu, produksi pernah membuat onar pada jiwa-jiwa ikhlas yang tulus untuk berkarya. Kami banyak berkata 'ya' untuk perkara yang tidak sepatutnya. Kebetulan... seorang kawan kami bernama Yahya, jadi beliaulah yang lebih kerap tersedak dalam studio kami.

Kami tidak pernah bantah, walau harus kerja menjengah pagi. Kami tidak pernah sanggah, walau harus kerja di hari cuti. Bagi kami, demi kecintaan untuk melihat lukisan kaku menjadi hidup di kaca TV, kami relakan mengorban masa usia remaja dengan kekal terconggok di depan monitor.

Aku berani kata....walaupun kami remaja, tidak seorangpun antara kami terlibat dalam dosa berempitan. Tahu kenapa? Kerana kami langsung tak ada masa untuk memulas deru enjin beroda dua itu. Maknanya....kesibukan menumpu kepada sesuatu dapat menyelamatkan diri dari terjebak ke kancah hala kiri. Tetapi...nada tersiratnya adalah, tidak seorangpun antara kami mempunyai enjin jentera beroda dua itu kecuali seorang sahaja. Maka dapat ditafsir sangat....berapa sangat pendapatan kami pada masa itu. Sangat sedikit dan sangat malu untuk dicerita. Tetapi aku sendiri berasa sangat pelik, walaupun sangat kecil....aku masih dapat menghantar ke kampung secara sangat istiqamah.

Sehinggalah pada suatu hari....syarikat gagal memberi apa yang sepatutnya diberi. Kami tunggu hari demi hari. Setiap detik dikira....dan menjadi terlalu berkira. Kad ATM yang hanya satu-satunya itu, ku dapati kian tipis kuantiti tebalnya akibat dari terlalu kerap menjudi baki.

Sejak hari itu, motivasi kerja junam turun ke lembah yang paling sepi. Karang yang selalunya cantik indah, kelihatan monotone sekali. Bayu laut yang sering membelai pipi, terasa seperti melempang datang pergi. Episod sakit masuk menjengah dan ibarat perjalanan cerita yang kian hampir titik padamnya. Pengurusan mendiam diri, namun bersuara lantang dalam hal-hal kerjawi. "Tak de kerja....tak de gaji" kata mereka. "Tapi kami dah kerjapun....tak dapat gaji lagi?" kata seseorang dari kami. Dan seperti selalu...perkara itu tergantung begitu, tiada jalan selasai, tiada usaha usai...Yang lapar terus masak megi, yang dahaga terus togok air paip di muka sinki. Sungguh mereka tidak punya rasa simpati kepada jelata yang hampir mati.


Di suatu waktu yang lain, gejolak marah tidak dapat tertahankan. Beberapa orang kami telah menyerbu bilik pengurusan di tingkat atas. Menendang pintu dan memekik meminta hak dikembali. Seringnya....kemarahan yang tidak disepakati dengan perancangan, pasti mengundang akhiran yang tidak begitu inti. Kemarahan yang meluap sedari tadi, berakhir dengan tawa yang tidak berhenti. Aku pernah berpesan, jika benar ingin menuntut hak.....jangan dibawa seorang Pak Lawak. Ini tidak, dibenarkan pula kumpulan lawak ikut serta. Aku berpenat-penatan berlatih membuat muka paling garang, akhirnya kecai ketawa hanya kerana mereka kata muka aku macam burung kakak tua.















Aku tengok Pak Lawak ni, kerap benar merenung sebuah air kotak di meja salah seorang pekerja pengurusan. Kemudian Pak Lawak berdialog dengan intonasi yang sehabis garang. Segala luap kemarahan segera kendur bila beliau berkata....."Kami lapar berguling di bawah sana, sedang korang di atas....sedap-sedap minum air kotak?" Tawa pecah berderai......
Kemarahan terbang hilang di bawa percik-percik liur yang terhambur. Kami semua terpaksa mengundur diri dengan tidak memperoleh sebarang kata pasti tentang hak kami.


Aku ketawa sendiri bila mengenang perkara itu. Ia seperti keset lawak jenaka yang tak pernah bosan untuk dimain semula. Kadang-kadang pula aku terdengar seperti keliling mentertawakan aku. Tahu kenapa? Tak payah tahulah....Ahh...kesempatan ini ingin aku iklankan bahawa "Tauhu Bakar di kedai depan Padang Awam Semenyih sangat nikmat untuk dimakan."

Yaa....aku seperti ditertawakan...kerana pada umur-umur begini, aku masih menghadapi masalah sama seperti sepuluh, lima belas tahun yang lalu. Aku tak malu untuk berkata, aku masih menghadapi perkara sama yang pernah aku nostalgik sekali-sekala. Sedikit lega kerana Pak Lawak yang ku cerita sebelum ini tiada bersama dan di episod duka aku pada kali ini tidak dihiasi air kotak....cuma ia berganti dedak.

Metaforanya, mungkin ramai yang boleh agak. Dunia animasi pada hari ini dan hari dulu...tidak jauh kerenahnya. Masih cerita isu sama, cuma teknologinya sahaja yang kelihatan memberi beza. Dan ia kelihatan lebih bijaksana.

Bercakap tentang teknologi, aku yang dalam mode duka memujuk diri dengan berbasa-basi dengan teknologi. Bersandar dalam sedang menunggu pesanan Nasi Goreng Budget disiapkan , aku mencerita episod duka dengan bahasa yang berlapik bunga. Aku tidak mahu menampakkan situasi realitinya aku. Beberapa orang telah ku sapa dan mereka tahu jatuh dudukku. Cuma yang seorang ini sangat aku hargai bingkai prihatinnya. Hanya dengan satu ungkap sistem pesanan ringkasku yang boleh dikira sangat ringkas memperkosa nahu, beliau dengan sejujurnya telah bertindak diluar tahuku. Bila mana rima sayu dari nada dering telefon tanganku berlagu, air mataku bergenang dan berapung di situ. Cuma batas kelopak mata bawah yang masih mengapungnya untuk meyelamatkan ego lelakiku. Aku sebenarnya telah tewas separuh badan. Andai ada yang terperasan.....ahh aku pedulikan. Meluah lebih baik dari menyimpan....meluah lebih baik dari menelan....meluah lebih baik dari....menahan.

Rupa-rupanya beliau bersungguhan mencari jalan selesai buatku. Meminta aku menemui seseorang dan mungkin sinar kembali menjadi terang. Terima kasih kawan. Terima kasih.

Juga aku ingin menyaran. Berkawanlah dengan mereka yang berlainan. Walau nampak lain tetapi kita adalah sama manusia. Kawan ini juga begitu serius membantu aku mencari jalan selesai. Beliau menghantar bermacam link yang boleh aku manfaatkan untuk mengelak 'link-up'.
Sehingga aku bagai mintak ampun kepada kekerapan beliau membuat hantaran. Keikhlasannya aku nampak jelas.

Akhir kalam....hanya Terima kasih yang sering ku sulam untuk mereka yang berkaitan. Budimu ku kenang ke akhir nyawa, ku bawa ke akhir fana. Aku mengajak kawan-kawan yang ikut teraniaya, mari kita mengumpul sabar. Berbuat baiklah kepada semua orang walaupun....

Hingga tiba saat waktu kita menyerang....jangan ada Pak Lawak ikut masuk gelanggang.....dan sebaris kata akhiran.....jangan terpedaya dengan air kotak lara umpan.




Wednesday, June 23, 2010

Gempar! Misteri kehilangan Animator.

Aku pernah menulis Cerpen bersiri yang siar lewat Komik Kluang Man. Ringkasnya kisah adalah perihal kehilangan seorang animator dari meja kerjanya saban hari. Cerita itu berjaya aku habiskan tetapi aku tidak dapat mengesani 'keberjayaan' ia diratah pembaca.

Proses penulisannya juga sebenarnya agak sangkut-sangkut. Sesungguhnya sewaktu mengharung kerja melukis amat payah rupanya untuk aku selangi dengan menulis. Sering saja ceritaku diproses di atas meja minum. Sewaktu kerja di Reka Pintar, aku mencuri waktu kerja dengan menyeludup diri ke cafe dan memesan secangkir kopi. Aku duduk dan mula menulis cerita sedang mamak cafe yang berdiri di sisi ku juga sedang menulis......menulis order.

Perkara animator hilang dari meja kerjanya, aku rasa sudah sebati dengan mana-mana studio. Ia sudah semacam sinonim. Sudah jadi semacam budaya.

Menyebut episod animator hilang ini, aku terkesan oleh komen seorang kawan yang mencalit dalam status Facebooknya yang berbunyi, "Ke mana hilangnya Animator yang dilahirkan di bawah payung Universiti dalam negara?" Aku meneka, terdetiknya persoalan ini adalah kerana kawanku itu yang merupakan seorang Pengarah Animasi, sangat sukar untuk mendapatkan animator untuk Studionya. Jadi, apakah renjatan yang terlintas di mata fikir saudara?

Dengan lemah matematik, aku masih dapat mengira bahawa sebenarnya telah ramai graduan yang keluar dengan ijazah bercetak animasi. Ramai....berkoyan-koyan. Tapi di mana mereka? Mungkin menjadi Usahawan Animasi yang membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang? Pun aku tidak nampak kemunculan syarikat-syarikat animasi baru yang boleh aku tumpang berfreelance...keh..keh....

Aku tidaklah begitu kejam dengan mengatakan tiada langsung animator dan usahawan animasi lulusan universiti yang berjaya. Ada....memang ada dan sering juga aku bersemuka. Ada yang hensem, ada yang kurang hensem. Yang kurang hensem tu, sering berselindung di sebalik gambar yang diedit sendiri.

Sekali dulu, aku pernah bercakap dengan seorang Dekan yang mengatakan, Pelajar kelahirannya akan menjadi Pengarah/Penerbit animasi. Beliau tidak menekankan bahawa mereka itu akan menjadi animator dan aku sanggah pendapatnya. Aku rasa mereka perlu menjadi animator terlebih dahulu sebelum pergi ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau sanggah balik pendapat aku. Bila saling sanggah menyanggah begini yang aku tak gemar, lalu aku pun berlalu dan sepanjang tiga hari selepas itu....aku tak lalu makan.

Jalan Ipoh....satu ketika dulu.
Animator dipindahkan di bawah. Sedikit gempar kerana diberitakan bahawa ada Notis Pemberitahuan mengenai Pemeriksaan Perisian Original oleh pihak berwajib. Tuan Pengarah menjadi tidak tentu arah. Setiausahanya yang bernama Arah, turut tidak tentu arah. Animator pegun sebentar menunggu arahan seterusnya.

Pengarah membuat keputusan.Memandangkan perisian yang digunakan tidak tulen, maka kesemua komputer telah disorokkan ke dalam setor. Beberapa bulan itu, animator telah dipaksa membuat animasi di atas kertas tanpa dibekalkan Lighbox. Naik terjojol bijik mata bila cuba mengesan lukisan di frame belakang tanpa ada Lighbox. Namun, beberapa orang animator yang gigih dapat melaluinya. Aku sendiri ada menyimpan lukisan Step Usop berlari yang dilukis secara manual dan ku tampal dalam buku rujukan animasi. Lukisan itu tiada apa-apa unsur kehebatanpun, namun bagi aku, ia mempunyai cerita di sebalik. Ia merakam satu peristiwa tersamping yang mengundang ketawa tungging terbalik.

Setelah sekian lama menunggu, rombongan pihak berwajib sampai jua untuk membuat pemeriksaan. Semua animator berlakon dengan melukis animasi di kertas. Pegawai tadi telah jeling-jeling ke meja seseorang yang mempunyai kesan tapak monitor. Perlahan dia menyoal,

"Macam kesan tapak monitor? Ada guna komputer ke?" Laju pulak dijawab oleh animator,"Eh....tak de lah....ini bukan kesan tapak monitor, ini kesan tapak kipas meja." Pegawai itu berlalu sambil membayangkan betapa bergegarnya pipi animator itu mengadap kipas meja di depannya.

Pemeriksaan selesai dan mereka mempercayai bahawa animasi Studio ini dibuat dengan kertas tanpa penggunaan komputer. Sedangkan baru beberapa hari lepas, terpampang di dada akhbar bahawa produksi ini menggunakan komputer pada keseluruhan proses animasinya. Aku dapat mengesan kerut persoalan yang bermain di kotak fikir pegawai yang datang. Mereka sengaja tidak mahu menggeledah habis atau waktu kerja mereka sebenarnya sudahpun habis. Tuan Pengarah kembali syinyum dan kelihatan kekok setelah berbulan senyumnya tidak terbentuk.

Kami di arah mengeluarkan semula komputer yang telah disorokkan dan para animator sangat tidak sabar untuk memulakan kerja animasi dengan komputer. Mereka telah pelajari kanun kesiksaan bila membuat animasi menggunakan kertas. Sedang terbongkok-bongkok menggendong monitor yang diangkat dari dalam setor, pegawai tadi masuk kerana tertinggal barang. "Eh?" Kejutnya spontan. Kami yang sedang bersama monitor masing-masing ikut ter'eh' sama. Lalu pegawai itupun terus mengambil barangnya yang tertinggal dan berlalu pergi sambil berbunyi la...la..la.....

Dalam kesima aku tahu.....Ye, waktu kerjanya sudah habis......







Saturday, May 08, 2010

Animas-Berenanglah Sebelum Lemas

Entri ini agak lambat. Yaa...Pada detik entri ini dipost pastinya Tangan-tangan Animas yang baru sedang mengeteh sambil membincangkan aktiviti yang bakal dijalankan. Kepada yang masih belum maklum, Animas adalah singkatan dari Persatuan Animasi Malaysia. Maklumat lama boleh didapati di www.animasimalaysia.org. Aku sering ke situ tetapi bagai tidak dikemaskini. Aku disambut oleh bintat-bintat filem Matrix, namun maklumat di dalamnya sangat berguna.

Kini....sekali cam kumpulan Feminin la pulak....Kini, maklumat Animas boleh diikuti melalui laman FB http://www.facebook.com/home.php?#!/AnimasMalaysia dan infonya sungguh terkini. Ramai pula kawan-kawan lama dapat diikat semula tali silatulrahim yang tertanggal sekian lama.

Rupa-rupanya, tangan-tangan baru Animas sedang rancak mengadakan Pameran Animasi 1Malaysia bertempat di Perpustakaan Negara Malaysia, Jalan Tun Razak. Bermula 9 Mei 2010 hingga ke penghujungnya. Aku yang hanya sempat menjengah di hari Perasmian, sangat malu-malu bunga lawang kepada pihak penganjur. Apa pun, aku ucap tahniah tahap kepala lutut kepada ahli jawatan kuasa yang tak kuasa untuk aku senaraikan di sini kerana keberjayaannya majlis yang diadakan.

Agenda yang disusun menarik, seperti:-
  1. Ceramah 'Animasi dan prospek halatuju.
  2. Bengkel Animasi Untuk Kanak-kanak (Aku dah duduk sekali...lalu dihalau pasal ada misai.)
  3. Dialog 'Anjakan Teknik dan perkembangan Animasi Malaysia
  4. Forum Kartunis dan Animasi: Usop Sontorian Cetus Fenomena
  5. Pertandingan Melukis Watak Animasi
"Encik, sila tambah yang nombor enam" Bisik seseorang.
Aku sedikit gamam, mulut ku kemam, suara ku diam.
"Tambah apa?" Soalku? diikuti dengan tanda soal.

6. Makan-makan.

Ye...makan-makan, macamana boleh tertinggal. Saat Entri ini dipost, sendawaku masih berbaki. Makanan yang dihidang sungguh enak. Sudah boleh duduk setaraf dengan Nasi Lemak Report Bandar Baru Bangi.

Berikut adalah petikan dari buku perasmian Pameran tersebut.

"Pameran Animasi 1Malaysia adalah merupakan pameran yang memaparkan hasil animasi negara, bertemakan kehidupan dan keadaan masyarakat di Malaysia.

Pameran ini bertujuan untuk mengumpul dan menyebarluas maklumat-maklumat berkaitan karya animasi tempatan untuk dijadikan sebagai rujukan masyarakat di samping menjadi medium dalam memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat. Di samping itu, pameran ini diadakan untuk memberi pendedahan dan menghargai serta mempromosi karya animasi tempatan kepada masyarakat."


Aku dapat mengesan matlamat utama pameran ini iaitu untuk mendidik masyarakat supaya tidak buta animasi. Aku tidak maksudkan semua rakyat Malaysia perlu tahu melukis animasi. Cuma, aku tidak mahu lagi terjumpa orang yang menganga bila disebut animasi. Harapan aku, agar masyarakat akan lebih menghargai karya-karya animasi tempatan.

Juga buat pemegang amanah penggiat animasi tempatan yang baru terlantik. Hangpa memang teraaaa.....


Tuesday, April 13, 2010

Mampat dan sudah tidak muat

Tingkat 15 yang menjadi pusat cari rezeki kepada sebilangan insan seni sudah semakin padat. Ringkas katanya Studio ini sudah 'Mampat dan sudah tidak muat.' Jika semua animator bersaiz Ameir (animator kecil berfikir besar), suasana Studio masih boleh dibangga selesa tetapi ada sebilangan rakan animator yang sudah masuk kategori Obes dan ini menjadikan selesa Studio sudah tidak lagi best.

Maka En. Kamn pening memikirkan langkah-langkah perlu untuk menyelesaikan masalah ini. Kecilkan jumlah animator? Tindakan ini akan memberi lebih ruang yang selesa kepada animator yang tinggal. Namun, ketika produksi animasi ini memerlukan tenaga animator yang ramai, tindakan mengecilkan Staff adalah sangat tidak munasabah. Lalu En. Kamn memikirkan perlunya ruang baru untuk memuatkan animatornya yang semakin ramai.


"Kita akan pindah ke mana?" Tanya aku kepada Kak G, Tea Lady yang bertanggungjawab mengedarkan teh kepada semua animator pada setiap petang.

Soalan aku dijawab oleh En. Kamn yang kebetulan sedang lalu. "Tempat baru kita nanti adalah satu tempat yang tidak boleh kamu semua bayangkan...".

Aku meneguk teh....sambil cuba bayangkan, sungguh kata En. Kamn, ianya tidak dapat dibayangkan.

Pada suatu hari yang terkemudian, En. Kamn memanggil kesemua animator dan meminta turun ke bawah untuk melihat tapak Studio yang baru. Masing-masing sudahpun berpakat untuk duduk sekali sewaktu di dalam bas menuju ke tempat baru. Aku dah sah minta duduk hampir dengan Ameir dan sangat bersedia memasang telinga untuk mendengar ceramah feldanya yang seringnya tidak bertitik noktah. Animator lain juga begitu, saling berpakat dan tertanya-tanya berapa jumlah bas yang di'cata' syarikat untuk membawa kami semua ke sana.

Setelah turun, tiada satupun bas menunggu kami, yang ada hanyalah Basri...salah seorang Pengawal yang menjaga Kaunter Keselamatan. En. Kamn kemudian turun ke tingkat paling bawah yang dahulunya adalah stor kasut. Sewaktu kami memasuki ruang bawah tanah ini ,bau getah kasut masih ada cuma tidak pasti ianya adalah bau kasut baru atau bau kasut lama yang kami pakai.

Ruang ini sangat luas, bak kata Azhar Saad (Art) mustahil untuk berlaga dagu sesama sendiri. Ruang yang bakal menjadi Studio baru kami ini di bawah tanah, sudah tentu tidak bertingkap. Hanya satu pintu masuk dan jika dirujuk kepada Jabatan Bomba, tempat ini adalah tidak selamat untuk menjadi tempat bekerja. Jika berlaku kebakaran di pintu utama, alamat..salah alamat la....

Namun kami seperti gembira, pada kami di sini ada kebebasan dan kemerdekaan. Di tingkat 15, animator sering dipandang tak best. Kertas A4 habis, animator yang kena tuduh, kertas jamban habis juga animator yang kena tuduh. Tapi pasal kertas jamban tu...memang animator punya kerja pun. Ada la seorang animator yang namanya perlu dirahsiakan. Jika beliau tidur di Studio dan mandi pada keesokan harinya, kertas jamban menjadi ganti kain tualanya. Tapi ini rahsia, jangan dicerita ke sapa-sapa.


Dari segi pengudaraan juga, aku sendiri tidak pasti apakah pengudaraanya selamat? Tiada corong udara. Satu yang tidak berapa best adalah, ruang ini tidak mempunyai tandas. Jika terasa nak ke tandas....anda akan membazirkan masa untuk menyiapkan animasi sebanyak tiga scene. Jadi animator sering dalam dilema, Tandas atau 3 scene, 3 scene atau tandas, tandas atau batu karang?

Maka episod pindahpun bermula. Kami mengangkut kesemua komputer turun ke tempat baru. Mula-mula meja turun, kemudian kerusi turun, kemudian komputer turun dan akhir sekali diri sendiri yang turun berat badan kerana kehilangan kalori yang mendadak.

Satu barisan meja berkembar dua berkedudukan memanjang dengan bermulanya Department Latarbelakang kemudian Department animator dan berakhir dengan Department Clean-Up. Aku di situ bersama Ameir, En. Jamal dan En. Razali.

Pendawaian elektrik adalah pada tahap bunuh diri. Hanya ditutup dengan lapis konduit yang tidak tahan manapun. Pernah terjadi, seorang rakan kartunis datang melawat. Lawatan ini biasa dilakukan sewaktu kami di tingkat 15 lagi, tetapi lawatannya kali ini menjadi satu memori hitam yang terperangkap dalam hidupnya. Beliau yang mempunyai berat badan yang melebihi berat ideal telah terpijak kabel elektrik dan menyebabkan berlaku litar pintas. Maka fius utama terus memutuskan aliran elektrik menyebabkan kesemua komputer animator turut terpadam. Serentak itu kesemua animator menyumpah seranah kepada kartunis tersebut dan rupa-rupanya peristiwa itu membuatkan Sang Kartunis sangat takut dan benci kepada komputer. Beliau diserang komputer phobia yang bukan sekejap. Bertahun-tahun beliau tidak berani menyentuh komputer dan ini diakui beliau 5-6 tahun kemudian ketika kami bertemu semula.

Begitulah bermulanya era baru dalam penghasilan siri animasi ini. Walaupun ia diwar-war tinggi melangit namun realitinya, ia dihasilkan di tempat rendah jauh di bawah tanah. Tempat ini banyak menyimpan suka dan duka, gelak dan tawa, angin dan sendawa....

Bersambung hingga ke lain masa.




Tuesday, March 09, 2010

Ayaq Kotaq dan Steybiaq

Lama.....agak lama tidak menukil apatah lagi mencungkil sesuatu yang tersangkut di celah memori silam. Kadang-kadang, kita menjadi takut untuk mengimbau masa-masa lampau yang mungkin ada, diantaranya melukakan. Aku pernah terluka dan mengambil masa yang lama untuk kembali baik. Sakitnya masih terasa hingga hari ini.

Studio lama di suatu ketika dahulu, cukup bangga dengan jumlah animatornya yang boleh dikata agak ramai. Sehinggakan pada satu-satu ketika, Lif untuk kami bergerak naik hanya diisi dengan kami-kami sahaja. "Kamu-kamu dan kome-kome.....sila naik ikut tangga ye!" Kata Gu kepada ramai orang.

Tindakan mengambil seramai mungkin animator disebabkan produksi mahukan kelajuan bikinan animasi menjadi lebih pendek masanya. Lebih cepat ia dibuat lebih mengurangkan kos kepada syarikat. Maka kami-kami diharuskan menyiapkan kerja dengan sepantas yang boleh. Proses pemberian Scene juga telah dikhususkan ke arah menyenangkan animator seperti animator A hanya buat close-up watak A, animator B hanya buat close -up watak B. (Contoh...la....contoh). Sehingga tidak pulang ke rumah menjadi satu budaya baru kepada sekalian animator. Jikapun ada yang balik ke rumah sewa, pastinya rumah sewa itu hanya beberapa langkah dari studio sahaja. Masa itu sangat emas bagi kami si warga animator.

Makan dan minum turut menjadi segera. Turun ke gerai dengan gesa dan memesan mi segera. Ada juga yang memasak di dalam Studio sahaja dan meminjam mana-mana meja pejabat sebagai dapur merencahkan bahan masakan.

"Aku dah sebulan minum ayaq kotaq..." kata seseorang yang asalnya dari Utara.

"Mukapun dah macam kotaq..." kata yang seorang lagi yang berasal dari Selatan. Jadi, pelat utaranya agak carca-marba sedikit.

"Kotaq pun lagi hensaq.."kata yang seorang lagi yang berasal dari Pantai Timur. Lagilah carca-marba-sentoya bunyi loghatnya.

Ini adalah pengorbanan. Suatu hari kamu akan dapat kembali, titik peluh yang telah jatuh pada hari ini. Begitu laung Sang Tuan Pengarah. Bicaranya penuh yakin. Maka ramai yang terbuai dan melupakan perit jerih dan menelan selancarnya rasa-rasa yang tidak berbunyi selari.

Satu hari yang di maksudkan itu....... sungguh berhari-hari untuk tiba. Aku sendiri masih mencari-cari dalam kotak kalender.......di manakah hari yang dikata.

Bermalam di Studio dan kala malam...... bertebaranlah tubuh-tubuh penat ke serata lantai pejabat. Sehingga untuk bergerak keluar, perlu dengan hati-hati. Bimbang terpijak manusia seni.

"Aku dah sebulan tak balik Aloq Staq" Kata seseorang yang berasal dari Utara.

"Aku dah sebulan tak keluaq" Kata seseorang yang berasal dari Selatan. Jadi, pelat utaranya agak carca-marba sedikit.

"Aku dah sebulan.......steybiaq" "kata yang seorang lagi yang berasal dari Pantai Timur. Lagilah carca-marba-sentoya-al-buaya bunyi loghatnya.

Bukan Steybiaq.....Pak Sheikh..... Stayback.....Stay....Back... Reti? Perbetul seseorang yang sahih warga Utaranya.

Maka sejak hari itu.......Steybiaq menjadi popular seantero wilayah studio.

Alamak....aku sendiri sudah terlebih steybiaq nih.........

Monday, February 08, 2010

Tak Nak Letak Episod Dah: Kelayakan Menjadi Animator

Merujuk pada sisipan Varsiti dalam Berita Harian,4-10 Februari 2010, aku tertarik dengan tulisan Khairina Yasin(kayrina@bharian.com.my)bertajuk KREATIVITI ANIMATOR 'Upin Ipin lonjak kerjaya animator tempatan'.

Paling menarik adalah info yang ditulis berkenaan Kelayakan Menjadi Animator. Ianya tersenarai begini dan rasanya nak tambah sikit.:-

* Komitmen tinggi

Yaa...Ini sangat penting. Komitmen. Kerja ini memerlukan kaku duduk dalam jangka masa yang lama, tapi tidak boleh juga berterusan duduk, sesekali kena bangun dan pusing-pusing. Aku sendiri selalu terleka hingga lupa untuk bangun kejap membetul pinggang. Seringkali juga dimarah oleh Raja Animator, Mike, sewaktu aku di Vision Animation dulu. Mike sebagai orang lama, sangat memahami implikasi dari perlakuan duduk membuat kerja tanpa bangun walau seketika. Tapi kadang-kadang Mike bertambah marah kerana aku bangun dan terus pergi minum di kedai Mak Su. Paling dia marah pasal aku tak pelawa dia minum sekali. "Marah.... Marah....." begitulah bunyi denyut nadinya.

Bercakap tentang Mike, dalam dunia animator beliau adalah 'The Best 2D Animator' dalam negara. Aku sedang mencari masa untuk menemubualnya. Pasti ada banyak cerita dan rahsia yang boleh dibongkarkan.

* Kreatif

Ini syarat sangat bagus..Ini namanya syarat utama. Yaa..menjadi animator perlu kreatif. Anda akan dapat hanya helaian kertas Storyboard yang ditulis dengan sedikit arahan Lakon Layar dengan bahasa yang carca. Hanya 'Kreatif' yang akan mentafsir helaian kertas Storyboard menjadi gerak animasi yang bermakna. Tanpa 'kreatif' anda akan temui animasi yang hanya berlaku gerak bibir, terbuka dan tertutup dan ini sangat menjejas perjalanan sesuatu animasi.

* Mampu mengendalikan perisian animasi.

Pastikan anda mempelajari sebanyak mungkin perisian animasi yan digunakan di produksi dalam negara. Tidaklah sampai memahirkan diri dalam semua perisian, ini sudah pasti sesuatu yang sukar. Setidak-tidaknya anda kaji cara pengendalian setiap perisian. Pastikan anda faham asas perisian tersebut. Kebanyakan perisian adalah sama kerana tujuan ia dibina adalah untuk mendapatkan keluaran yang berbentuk animasi. Kelainan yang ada, pasti dari segi teknik ke arah itu.

Kerana itu aku berasa, animator yang telah terlatih dengan kaedah animasi Manual satu ketika dulu, pasti akan menjadi animator digital yang bagus pada hari ini kerana asas animasi manual telah mereka kuasai sepenuhnya. Inilah yang tidak ada pada animator-animator baru pada hari ini. mereka tidak melalui perit jerih membuat animasi manual.

* Mampu menghayati karekter dan menyampaikan sesuatu cerita

Seseorang animator perlu menghayati watak sewaktu membuat animasi. Asas lakonan cukup penting kepada animator. Jika ada animator yang tidak boleh berlakon atau malu untuk berlakon, sila benam kepala ke ketiak kawan sebelah. Sewaktu di Kharisma dulu, kelas lakonan memjadi satu modul latihan dan kesemua bakal animator diminta berlakon.

Aku pernah menyertai kelab Teater Anak Opera semata-mata untuk memantapkan mutu lakonan aku. Ini berlaku sewaktu era Pekan Teater satu ketika dulu. Yaa..pengalaman dalam dunia kecil itu ada bermacam. Sewaktu berlatih, kami dihalau orang. Sewaktu buat latihan malam, sampai ada yang kena Histeria dan Pengerusi Kelab pula hanya datang untuk kutip yuran dan lepas tu...........menghilang............


Akhirnya aku tarik diri kerana kesibukan kerja. Beberapa hari lepas, aku terlihat nama salah seorang kawan yang sama-sama menjadi anak teater itu dulu, sdr. Faizal Ariff di credit title sebuah rancangan drama. Kawan ini sudah pergi jauh. Sudah menjadi Penolong Pengarah. Aku tumpang bangga.

* Minat mendalam

Yaa..minat. Ini juga perlu ada. Aku pasti, kesemua animator yang bertahan dan masih berkampung di dalam 'kek kecil' ini sehingga hari ini, pasti mempunyai minat yang tinggi. Mereka ini pasti menjadi manusia barisan hadapan, sewaktu filem animasi di tayang di pawagam. Mereka ini pasti adalah penyumpah seranah yang wajib, setiap kali iklan TV di slot rancangan kartun kesukaan mereka kian panjang.

* Sanggup mempelajari perkara baru kerana teknologi animasi sentiasa berkembang

Perlu sentiasa belajar dan mempunyai semangat belajar. Kita kekurangan pengkaji. Bak kata Hassan Mutalib, di Malaysia, kita kekurangan pengkaji cerita dan penulis skrip animasi.(Hassan Mutalib,B.U.TV3). Sering berlaku, sesiapa yang menjadi Pelukis Storyboard secara automatik pula, beliau akan merangkap menjadi penulis skrip. Bebanan kerja ini akan mengurangkan kreativiti seseorang itu pada kedua-dua bahagian penting ini,skrip dan lukisan Storyboard.

Aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Tahniah kepada Pak Hassan kerana telah mendapat anugerah dari Uitm dan kini beliau adalah Pensyarah Tamu di Uitm Puncak Alam. Orang-orang yang pernah berjasa dalam bidang ini selayaknya untuk mendapat 'sepotong kek' pemanis mulut. Aku membuka doa setiap tiba waktu, mengharapkan akan ada 'potong-potong kek' lagi yang boleh dinikmat oleh nama-nama besar berkaitan. Mereka sudah lama menelan pahit dan sedikit manisan kek pasti tidak akan menjadi penyebab mereka sakit. Sebaliknya, menjana tenaga untuk terus bangkit.

Friday, January 08, 2010

Episod 21: Animasi adalah Pergerakan














Aku memerhati pada hari ini. Keliling aku sudah semakin meriah dengan syarikat-syarikat yang memenuhi segiempat kaca TV dengan animasi yang bermacam-macam. Perkembangan ini aku kira sihat, walau sesekali aku pula yang jadi semakin nak demam bila tertonton animasi dari Jepun yang tehpahape ragam lawaknya.


Meminjam kata-kata kartunis Gayour dari blognya http://www.gayour.blogspot.com , menyebut "karya pelajar seni salah di satu Pusat Pengajian Seni, pada hari ini lebih cenderung pada Manga, tiada lagi bintik-bintik asli dan rentak keMalaysiaan." Lebih kurang begitu bunyinya.....tapi bunyi dari Gayour sudah tentu lebih rock, bunyi dari aku, agak Bunga Melorlah sikit.

P Ramlee - Bunga Melur

Am
Di hujung sana tempatmu, bunga melur

Dm E Am
Bukan di taman yang indah, bunga melur

Dm E Am
Hanya di sudut halaman

F E
Tiada
dihiasi jambangan indah permai


(sekali...jingle lagu melayu klasik datang menyelit.)

Animasi adalah Pergerakan. Ini diulang-ulang aku dengar, terpacul dan bagai menanam bekam dari En.Kamn kepada aku dan kawan-kawan. Berguru dengannya membuatkan kami tegar dengan cara beliau menurun ilmu. Kadang-kadang, sedang dalam mode menurun ilmu, beliau turut meminta kami menurunkan berat badan dengan menyuruh berpindah dari satu unit ke satu unit. "Animasi adalah Pergerakan", itu dijawabnya dalam slang Melaka yang ketul.

Aku kembali teringat, sewaktu unit Storyboard, baru ditubuhkan, aku turut diletak dalam kumpulan itu. Sewaktu En.Kamn mengarahkan aku menghijrahkan licin punggung dari kerusi animator ke kerusi Storyboard Artist, aku tidak mempersoal langsung. Aku tahu dan sangat tahu..jawapannya pasti..... Animasi adalah Pergerakan. Dan hari itu...aku tidak dapat mengimbas, hari Isninkah? Selasakah?... yang pasti...ia adalah hari sejarah bagi aku. Sejarah kerana untuk julung-julung kali, aku diberi kepercayaan untuk bekerja dengan peralatan kerja yang bebas komputer. Aku seperti dihalau ke zaman primitif. Aku membayangkan, rakan pelukis Storyboard disebelahku, Ariyon (kini Tembakau) bagai seekor Gajah Pra Sejarah yang tidak lokek mengajar aku cara-cara mengatur buah langkah.


Bekerja sebagai pelukis Storyboard mengundang bermacam-macam rasa yang tidak terjangka. Mungkin ada hari yang kita berasa begitu bersemangat. Sedari dalam bas yang membawa batang tubuh untuk ke Studio, semangat Pencerita membuak-buak dan tidak bisa tertahankan. Di cepu fikir yang dalam, telah sedia terbayang pergerakan, satu Scene ke satu Scene. Dan pastinya..untuk Scene pertama memaparkan rumah Pak Mat dari shot jauh dan kamera akan Zoom in semakin dekat dengan gerak kamera yang jagged. Kadang-kadang, ada pula harinya yang kita tiada langsung semangat untuk melakarkan walau hanya satu scene. Ini digelar oleh XPDC sebagai Semangat Yang Hilang, atau istilah yang En.Kamn gunakan....Kaput. Ya.....Kaput, aku pernah rasa dan aku sangat tahu tahap hinanya bila ia datang. Kita bagai dalam paras perut ibu, langsung tiada daya untuk buat apa-apa. Panggil kawan untuk sesi Brainstorming yang boleh dianggap dapat mencerna buah fikiran yang mungkin tersembunyi, belum tentu membuahkan hasil. Silap hari bulan, dengan kawan-kawan kita itu, ikut menjadi kaput.


Pokok pangkal kepada sesebuah animasi yang menarik adalah jalan cerita, ya...pastinya. Jalan cerita....bukan senang menghasilkan jalan cerita. Seseorang pernah berkata...."kalau tak pandai cerita.....boleh jalan la...." Orang kedua pula pernah berkata, Buat Jalan lebih senang dari buat Cerita. Orang ketiga pula pernah berkata......Eh...ini belum pernah. Alhamdulillah, aku belum pernah ada Orang Ketiga.


Ingin dikongsikan, En.Kamn mempunyai caranya yang tersendiri untuk mewujudkan Jalan Cerita. Memulakan dengan pemilihan tajuk yang Unik. Dari tajuk yang unik ini, maka akan dikembangkan menjadi cerita yang diselang seli dengan plot-plot yang bersilih ganti. Elakkan dari membuat cerita yang bergerak secara Linear. Ini agak bosan. Jika bertanya pada Mama Bosan, sekalipun, beliau lebih dulu akan membenam kepada ke perdu kektus jika cerita begini dipertonton kepadanya. Susunlah cerita dengan adunan elemen imbas kembali, elemen prolog dan elemen anticipation. Ianya seperti nasi yang kita makan, yang sering kita selikan dengan sedutan air minuman dan cubit-cubit lauk aneka macam.


Seperkara lagi adalah, En. Kamn sangat menjaga jadual semakan. Pelukis Storyboard akan dijadualkan secara berkala untuk mengadapnya dan menunjukkan progress sesebuah cerita. Jika perkembangan Storyboard perlahan, maka hamun kanun akan mendahului tunjuk cara yang biasanya akan datang pada hujung-hujung sesi makian. Teringat lawak dari Trio Santan Berlada, katanya..."Orang di salah satu negeri Selatan, kalau jumpa kawan, mereka akan maki dulu berbakul-bakul dan diakhir rangkap maki yang berbaur hamun itu, baru ditanyakan khabar berita dan teguran sapa. Jika disusun abjad A,B,C hingga Z.....maka yang X,Y, Z itu adalah pertanyaan khabar, selain itu adalah maki yang bersulam kelakar.



Storyboard cara En.Kamn juga lain dari segi materialnya. Storyboardnya menggunakan sehelai kertas A4 untuk satu Scene, ini bermakna untuk 180 hingga 250 Scene yang mewakili animasi 20 minit, maka jumlah itu juga helaian kertas A4 yang diperlukan. Sebab itu, pelukis Storyboard di situ jarang bawa balik kerja ke rumah. Nak membawaknya..masalah. Rasionalnya penggunaan kertas bersaiz besar itu adalah untuk memudahkan animator sewaktu proses animasi nanti. Bila mana Storyboard ini diimbas ke format komputer, maka animator akan dapat saiz yang tepat di kaca monitor. Animator tidak perlu lagi mengubahsuai saiznya dan kualiti line lukisan akan tetap terpelihara. Namun ada sesuatu yang sering menjadi igau ngeri En.Kamn, setiap kali Storyboard yang diimbas sampai ke tangan animator. Animator yang tidak peka akan menjadikan helaian Storyboard tersebut sebagai frame pertama pergerakan animasi. Jika ini berlaku, maka akan carcalah apa yang sebutkan sebagai Konti atau kesinambungan antara Scene. Tentunya seseorang Pelukis Storyboard akan mengabaikan jagaan konti kerana ianya tidak menjadi fokus utama dalam pembikinan sesebuah Storyboard.



Kepada yang sedang membangunkan sebuah cerita, renungkan apa yang telah aku kongsikan. Renungkan...bukan Menungkan. Jika Menungkan...... alamat, tak siaplah cerita dan siaplah kau kena marah dengan bos. Haa...Teringat pula kepada seorang kawan yang sedang membangunkan sebuah cerita, Puteri ka? Pateri ka? Yang pastinya..Ri..Ri...la belakangnya. Aku berharap sangat cerita asas itu dapat pergi kembang dan dapat beralih ke medium lain.

Aku sendiri sudah dengan bertih jagung yang tersedia dan kemas dalam genggaman........
secangkir kopi janda.

Wednesday, November 25, 2009

Episod 20 : Animasi 3D, Satu Seni Yang Teknikeli



Animasi 3D adalah lanjutan dari seni animasi 2D. Yang membezakan keduanya ini adalah sudut pandangan. Animasi 2D akan memperlihatkan karya yang flat, yang terhad kepada 2 sudut pandangan iaitu Ketinggian dan Kelebaran. manakala animasi 3D memperlihatkan animasi yang mempunyai 3 sudut pandangan iaitu Ketinggian, Kelebaran dan Kedalaman. Dengan adanya 3 paksi pandangan, animasi menjadi lebih realistik dan dapat menghampiri rupa bentuk sebenar sesuatu objek.

Sewaktu di Kharisma Pictures, aku tersogok oleh animasi 2D yang tidak pernah selesai tugasnya. Proses sketch, melukis, mewarna dan melukis latarbelakang dikerjakan secara berulangan dan kadangkala mengundang bosan. Untuk menghilangkan rasa bosan, pelbagai perangai pelik ditunjukkan oleh animator seperti, mengorat Mak cik Cleaner, membuat roket dan melancarkan ke ruang udara Studio, menelefon stesen TV sambil menyamar sebagai artis popular, minum di kedai mamak tetapi bayar di kedai buku. Makan tengahari di Senawang dan sendawa kenyang di Bukit Kayu Hitam. Sekadar menulis beberapa.



Suatu waktu yang terkemudian, En. Kamn mewujudkan unit animasi 3D. Kemasukan graduan dari Universiti Luar Negara ke unit ini menampakkan seni 3D berada pada kelasnya yang tersendiri. Ia nampak tinggi walau hanya bertingkah 1D sahaja. Aku memang meletak tangan separas kepala bila melihat karya digital mereka. Ya....tentunya, mereka belajar di tempat yang jauh, pastinya kerja menampak jaguh.

Di awal kemasukan mereka, En. Kamn meletakkan animator 3D dibawah pengawasan kami dan meminta kami memberi tunjuk ajar berkenaan 2D. Satu muslihat yang tidak dapat aku uraikan. Aku sungguh berasa ini langkah mati. Aku jadi kaku di depan mereka. Ia seperti mengajar cikgu PJ, cara berlari. Atau mengajar pemandu bas mini, jalan pintas ke destinasi. Dalam kaku yang segan-segan ubi, aku mengajar juga dan aku sedari, mereka lebih banyak diam dan aku tahu mereka sebenarnya sudah terlebih faham.

Hari ini memperlihatkan animasi 3D tempatan sudah pergi jauh. Upin & Ipin membuatkan Mak Cik Malikuypun mengaku yang anaknya bekerja sebagai pelukis animasi 3D. Katanya lagi, suara asal Upin & Ipin adalah miliknya. Tetapi telah diberi kesan khas bunyi hingga kedengaran lain sekali. Aku kagum dengan keterampilan karya anak-anak muda yang menanganinya. Juga memperlihatkan keberkesanan pengajian bidang animasi di Universiti. Nadi utama yang memunculkan fenomena Upin & Ipin adalah graduan muda dari sebuah Universiti Multimedia yang aku sendiri mengidamkan hasrat untuk masuk. Aku masih ingat, setiap kali keluar iklan kemasukan, aku akan memohon dan langkahku akan terhenti setakat itu sahaja. Aku hanya dapat membaca dan menelaah buku perspektusnya sahaja kerana tiada upaya mampu dari bucu kewangan menaja.

Teringat kepada seorang kawanku. Beliau pada asalnya, mempelajari bidang grafik di sebuah kolaj swasta di Taman Melawati. Dalam pada itu beliau sangat meminati bidang fotografi dan aktif mengambil gambar kawan-kawan sebagai model uji. Ketika era ekonomi gawat beberapa tahun ke belakang, beliau mendapati bidang grafik tidak memberi banyak peluang untuk beliau mencari sesuap nasi. Waktu yang sama beliau terdengar dari kawan-kawan yang sering berkumpul di Pasar Seni berkenaan sebuah syarikat animasi sedang mencari pekerja. Sebuah syarikat yang pangkal di Petaling Jaya, baru memulakan produksi dengan dua tiga kerat tenaga animator yang datang dari produksi Kharisma Pictures. (Ini bukan penamat kepada penceritaan kisah Kharisma Pictures, walau ia tampak telah melompat ke depan dan kebelakang. Pengkisahan Kharisma Pictures akan aku lanjutkan lagi mengikut kesesuaian entri.)

Kawanku ini di terima masuk menyertai syarikat baru ini dan sebenarnya (Yuna?), aku mula mengenalinya di sini. Setahun beliau bekerja dan mengambil langkah mengejut untuk berhenti dan dengan azam tinggi untuk menerokai bidang animasi dengan lebih lagi, beliau nekad berhenti kerja, menjual kereta kecilnya dan mendaftar masuk belajar di Universiti Multimedia. Selepas pada itu, aku terputus talian dengannya sehinggalah dia muncul semula selepas tamat pegajian beberapa tahun.

Jika dulu beliau hanya sebagai Pelukis Animasi, hari ini beliau muncul kembali dan kembali mengabdi diri tetapi tidak lagi sebagai pelukis animasi, tetapi muncul sebagai Usahawan Animasi. Syarikat beliau sedang mengusahakan animasi Sang Kancil dalam bentuk 3D. Lanjutnya boleh ditelusuri dipautan ini, www.otekkekatak.blogspot.com

Ledakan animasi 3D di Malaysia, memberi sedikit kesan sunyi kepada animasi 2D. Ledakan ini terjadi kerana kebanyakan pusat pengajian tinggi yang menawarkan program animasi akan lebih menonjolkan animasi 3D berbanding 2D. Aku sedikit tersinggung dalam perkara ini. Seperti bicaraku pada awal entiri, rentaknya berbunyi agar 2D tidak dianak tiri. 2D juga mempunyai peminatnya yang sendiri begitu juga 3D yang memang mempunyai pengikut berani mati. Cuma aku berharap pihak-pihak yang kurang memahami agar segera mendalami kebezaannya yang dua ini.

Ingin juga menyentuh pertandingan karya seni yang dianjurkan oleh salah sebuah stesyen tv. Beberapa siri pertandingan ini diungguli oleh animasi 3D. Aku berani mengatakan bahawa jalan sukar untuk 2D mengapai kemenangan jika ia dipertandingkan seiring dengan 3D. Imej 3D sudah pastinya memberi impak besar dalam kualiti kerana ia adalah kreativiti janaan komputer.

Seseorang kawanku pernah berkata, tapi sebenarnya aku yang berkata kepadanya, beliau memperkatakannya semula kepada ku. "Apa-apapun, animasi 2D dan 3D ini mempunyai kelebihan masing-masing dan mempunyai pengikut masing-masing. Jalan terbaik adalah kita menguasai kedua-duanya walaupun ini jarang berlaku kepada animator dalam negara. Namun sesuatu fakta yang aku sangat bangga adalah animator 3D luar negara yang hebat , kebanyakannya bermula sebagai animator 2D.











Sunday, November 01, 2009

Episod 19: Kehadiran Seorang Jantan

Kharisma Pictures yang dulu-dulu...

Mahu menaiki Studio di tingkat 15, memaksa aku melintasi meja pengawal keselamatan. Dua orang pengawal keselamatan yang sangat berwatak adalah Encik Mariapan dan Abang Zainal. Mariapan dengan ramah gelengnya yang sentiasa beriring sewaktu berbual. Dia tak mengerti animasi hanya tahu "thani dan nasi". Sementara Abang Zainal pula bermisai dan serius. Juga tidak mengerti animasi, hanya Ani sahaja yang dikenali...(Ani adalah nama isterinya). Mungkin Abang Zainal akan namakan anak dengan nama Masi? Tanya ku berseloroh....Mariapan sudah pun tergelak hingga ke hujung kaki lima menghampiri pintu Bank namun Abang Zainal tetap kekal serius. Aku rasa kemalu-maluan lalu berlari laju mengapung diri dalam lif untuk ke tingkat atas.


Sebaik lif singgah di tingkat 15 , TING!!! dan pintu menganga minta keluar, aku melompat ala-ala capoera. Perlahan-lahan tapi penuh gaya. Lif sebelah ikut terbuka, TING!!! dan memuntahkan 2 orang manusia. Aku kenal yang seorang. Tangannya berbulu dan mukanya iras-iras Bruce Willis. Aku menyapa,"Hang dari mana Mat Ki?" dan dia menjawab secara syilaka..."...dari dalam lif la...nak masuk ofis..."


Aku terus menari twiss kat situ jugak. Lawak Mat Ki tadi mengingatkan aku kepada Pak Maon...
Mat Ki meninggalkan aku dan diaa pergi dengan seseorang di sampingnya. Aku lihat seseorang itu dan berkata di dalam hati..."MACAM JANTAN SAJA". Aku terus memPak Maonkan diri. Semakin laju aku menuiskan diri. Dan... TING!!! pintu Lif ketiga terbuka. beberapa rakan animator keluar pintu. Langsung menegur aku..."Kau buat apa ni?"


"Aku twiss...,En.Kamn kata, siapa datang lambat kena twiss kat sini!". Langsung kawan-kawan tadi yang menyedari mereka sudahpun lewat 15 minit untuk masuk ke Studio, ikut menari Twiss bersama-sama. Bersungguh-sungguh dan seligat mungkin. Lantai bingit dengan decit-decit bunyi lantai yang bergeser dengan tapak kasut masing-masing.


Dan...TING!!! Lif keempat membuka nganga. En. Kamn keluar. "Korang buat apa ni?"


" Kami Twiss En. Kamn...ehh?" Lalu lantai itu semakin bising dengan tapak kasut rakan-rakan animator yang ramai-ramai mengejarku yang telahpun berlari masuk ke dalam studio.

..........................................................................................................................................................................

"Seseorang sedang ditemuduga!" Bisik Ben ke telinga ku. Aku tak rasa dia sedang berbisik kerana Lee Hun yang berada di luar tampak menegakkan kepala. Telinga aku sendiripun bagai ditekap Headphone dengan volume maksima.


Rakan animator ku ini memang mempunyai masalah deria dengar. Semua orang tahu itu dan dia selalu tertinggal keretapi tiga destinasi dalam banyak perkara ruji. Pernah sekali dalam mesyuarat, En. Kamn menanyakan ada sesiapa yang masih belum mendapat komputer? Beliau mengangkat tangan pada hari ketiga selepas kejadian.


Baris sebelahku diduduki oleh orang-orang baru. Masuk mereka, seorang demi seorang dan semakin memeriahkan studio animasi kami. Salah seorang animator, Shamri Azwan yang digelar Ustat kerana janggut sejemputnya. Beliau kurus tinggi dan sangat meminati muzik-muzik M.Nasir dan Kembara. Beliau sendiri kelihatan seperti M.Nasir jika di dalam gelap. Antara lagu kesukaannya adalah, Keroncong untuk Ana dan Ekspress Rakyat. Lagu ini diulang pasang berminggu-mingguan. Kegemarannya juga tentu sekali melukis. Beliau sering melakar-lakar figura manusia dan selalunya subjek lukisannya adalah wanita tanpa seurat benang. Dan sering juga lukisan itu hilang tanpa beliau tahu siapa gerangan pencuri gersang.


Seorang lagi animator, Ajib Rawang yang berasal dari Rawang. Menariknya tentang Ajib Rawang ini adalah, beliau gagal pada ujian melukis yang diwajibkan En. Kamn. Seharusnya beliau pulang dengan hampa yang beriring kecewa. Aku sebenarnya tidak berani untuk menulis sesuatu konspirasi yang terjadi, namun apa yang berlaku adalah keesokan harinya, Ajib Rawang masuk bekerja untuk hari pertama dan terus kekal ke akhirnya. Lewat beberapa tahun selepas itu, dia yang sering kantoi dalam lukisan figura manusia, boleh muncul sebagai pemenang Rekaan Watak Terbaik dalam satu pertandingan anjuran satu agensi kerajaan. Pengajaran yang aku cungkil dari kejadian itu adalah, walau seseorang itu tidak pandai, tetapi mempunyai minat dan keazaman, maka segalanya boleh digapai dan sesuatu boleh berubah.

Tok Sidi juga salah seorang animator. Di Terengganu tempat asalnya, beliau membuat bermacam kerja dan salah satu kerja adalah memotong rumput di tepi jalanraya. Satu hari, beliau terpaksa memotong rumput di kawasan kampung asalnya. Untuk mengelak dari diri dikenali, beliau memakai serkup yang menutup seluruh muka. Sewaktu melakukan kerja memotong rumput seseorang menegurnya..."Kuak kirje Abang Sidi ni..dok berenti makang ke?" Sehingga hari ini Tok Sidi masih mencari....siapa yang buka mulut memecah rahsia peribadi hinggakan dalam selubung yang rapi, dia boleh dikenali.


Waktu itu, dalam studio kami, hanya ada dua unit. Unit Animation dan Unit Background. Unit Storyboardpun belum lagi wujud. Ini berlaku kerana waktu itu, Storyboard adalah datang dari tangan Kartunis Ujang secara terus. Mengikut perjanjian asal, beliau melukis rekaan watak dan sekaligus akan disusuli dengan Storyboard. Namun, setelah Kumpulan Kharisma menubuhkan Kharisma Publication yang memfokus kepada penerbitan majalah lawak antarabangsa, diketuai oleh Ujang sendiri maka beliau tidak lagi punya masa untuk menyumbang Storyboard. Dengan itu, unit Storyboard diwujudkan. Storyboard Artist yang pertama adalah AzharAhmad (kini Tembakau) diikuti Shamsul Ikram Ghazali (kini Rambai), Roslan Ayob (kini Taugeh) dan beberapa orang lagi yang datang kemudian.


Mereka diasingkan di bilik lain. Setelah ini berlaku, revolusi baru dalam Storyboard dapat dikesan. Mereka banyak menyuntik elemen perfileman yang memang menjadi perkara perlu untuk mencantikkan gambaran cerita yang dihasilkan. Tembakau terutamanya, memang dapat dikesani, kelainan Storyboardnya lewat shot-shot kamera yang dipelbagaikan. Karya beliau episod "Perang Bintang" mencetus satu halatuju baru Usop Sontorian dalam mempelbagaikan khalayak penonton.


Karya Rambai pula lebih kepada penekanan lawak yang tidak disangka. Beliau pandai memanipulasi visual membuatkan penonton tidak menjangka apa akan berlaku pada scene-scene seterusnya. Elemen kepurbaan dan Superhero menjadi minat beliau dan semakin banyak unsur begini diterap rapi pada Storyboard yang ditangani beliau.


Adalah satu situasi yang seronok bagi kami, para animator bila melihat kumpulan Storyboard ini bergerak memasuki bilik En. Kamn. Tembakau akan menyanyikan lagu "Kiki bublegum baru..." sepanjang perjalanan ke bilik En. Kamn. Sehinggakan kadang-kadang dijengok oleh pekerja pejabat bersebelahan.

Masuk ke bilik En. Kamn, seperti biasa, di bilik ini Story mereka dibedah, di bilik ini otak mereka ditambah ilmiah dan di bilik ini juga ego mereka dibelasah. Kami seringnya akan tertanya-tanya apakah story baru dari mereka. Setelah Storyboard ini siap, ia akan dihantar kepada kartunis Ujang untuk diletakkan Skrip. Juga suatu sejarah bila mana Skrip dibuat kemudian setelah Storyboard siap. Sesuatu yang hebat tentu ada pada kartunis Ujang kerana beliau dapat menghasilkan skrip yang baik dan selalunya menyimpang dari apa yang Storyboard Artist tersebut fikirkan dan paling mengejutkan ialah Story itu akan menjadi lebih baik lagi.



Ini terjadi pada satu Story yang aku buat. Story ini disambung oleh seorang Storyboard Artis yang lain kerana kegagalan aku memberi sentuhan visual yang baik. Ia kemudian mendapat sentuhan Ujang dan ternyata, ia lain dari apa yang aku gambarkan.

............................................................................................................................................................................


Cyberjaya, yang baru-baru...

Aku duduk berdepan betul dengan seorang Storyboard Artist. Kawan lama, tapi dulu dia tidak seberbulu begini. Dia menangani Storyboard. Seorang diri dan aku sedari, dia suka bersendiri. Tetapi jangan dibuka cerita tentang dua perkara ini yang akan membuatkan dia tegak berdiri. Satu, cerita komik sebagai industri dan kedua cerita kaedah perubatan tradisi.

Sebagai orang baru, aku masuk perlahan-lahan ke dalam suasana Studio. Memerhati dan memula dengan sebelah kaki. Bila mana suasana seperti menjadi serasi, aku menapang dengan kedua-dua kaki. Sebenarnya agak lenguh untuk berdiri dengan hanya sebelah kaki. Terasa kebas di buku lali dan terasa gigil segala sendi. Berdiri dengan dua kaki memberi nikmat yang tahap tinggi.

Seseorang memperkenalkan diri sebagai Mojave. Bersalaman dan aku seperti pernah lihat beliau ini. Kami berbual ringkas dan satu persatu, cerita lama terimbas. Kami pernah kerja sekali dan sekali itu saja la. Hari ini bertemu kembali dan aku banyak meminta bantu beliau dalam hal-hal teknologi. Sesuatu yang positif tentang yang seorang ini adalah kerajinannya meneroka teknologi. Apa sahaja yang baru akan dicuba dahulu. Pernah sekali dulu aku membawa roti perasa baru dan itu juga diterokanya dulu dan diberi komen-komen membina setelah plastik roti menjadi separuh isi.

...........................................................................................................................................................................


Kharisma Pictures...lama dahulu....teringat kembali.

Mungkin ada yang dapat mengesani. Teks "MACAM JANTAN SAJA... " yang aku tonjolkan di muka entri. Ayat itu memberi makna dalam, pada hidup aku. Ia adalah ucap spontan aku sewaktu melihat seseorang buat pertama kali. Aku belajar sesuatu...iaitu, jangan sewenang kita melempar keji kepada orang lain kerana keji itu akan datang kembali kepada kita.

Dan pelajaran itu aku ambil perhati dan seseorang yang "MACAM JANTAN SAJA" itu, aku ambil sebagai rakan kongsi.

Selalu aku membaca cerita dengan diakhiri oleh ayat begini, "the moral of the story....." dan aku ingin meminjam bait-bait ini. Harap empunyanya tidak meminta royalti. The moral of the story...........
...aku melukis mural di dinding rumah Pali...














Wednesday, October 21, 2009

Episod 18: Pejuang Terbuang

Kharisma Pictures. Lama dahulu...

Ini sejarah lama yang ingin aku kongsikan, dalam pada Usop Sontorian gemilang diangkat media kerana muncul sebagai animasi TV pertama, ianya pernah mengalami zaman gelap. Gelapnya berbunyi begini...


Lebih separuh animator berhasrat dan bertekad untuk tinggalkan produksi. Aku yang masih mentah untuk menyedari apa itu konspirasi dan irihati, turut dibawa arus penentangan itu. Sebuah institusi kecil yang berlindung dibalik susunan bata merah itu, tampak tenang pada setiap masa tetapi ianya menyimpan seribu satu rahsia, suka dan duka, riang dan sengsara. Produksi ini mendapat publisiti yang gegak gempita. Ia menjadikan kami tampak hebat namun sebenarnya kami kekurangan segala benda.


Segalanya bermula dengan satu perkara pelik. Beberapa orang yang tak pernah bermalam di Studio tiba-tiba menjadi rajin dan ikhlas untuk berada di Studio hingga ke pagi. En. Kamn menyedari keluarbiasaan ini namun hanya mendiam diri, memerhati dan aku tahu...dia mengkaji.


Aku yang bukan watak popular dalam produksi itu, menjadi antara orang yang akhir untuk tahu golak gejolak yang berlaku. Dalam fana yang terpinga, aku diangkut bersama-sama kumpulan animator lain, menaiki beberapa buah teksi dan menuju ke sebuah stesen TV. Sampai di sana, kami dikumpul duduk di sebuah kedai kopi.


Beberapa orang senior yang menjadi kepala meyakinkan kami, tawaran tinggi sedang menanti dan tapak masa depan gemilang sedang dijejaki. Aku berbisik kepada yang lain. Sungguhkah ini? Langkah yang betulkah ini? Namun, tiada siapa yang tahu dan aku dapat baca, masing-masing sedang dilanda ketidakeruan yang nyata. Semuanya mengambil langkah selesa. Membiar diri dibawa arus paya.


Sebentar kemudian muncul 'watak' utama yang diberitakan sebagai wira penyelamat kami. "Watak' ini menjanjikan segalanya ada kepada kami. Lokasi Studio baru yang mesra kunjung, slot tayangan di TV sedia kosong dan isian poket yang berkarung-karung. Kumpulan kami yang belum pernah menikmati manisnya menjadi animator, sangat-sangat teruja jadinya. Ditambah dengan angguk yakin dari kepala-kepala yang mengepalai kami, kesemua animator yang ada mengekal nganga. Sepanjang perjalanan pulang, cermin tingkap teksi yang kami naiki memberi refleksi yang lain sama sekali. Keluar dalam bayangan, kehidupan mewah yang serba-serbi dan didamping gadis manis dan sunti, membuatkan kami senyum melebihi gusi. Masing-masing bertekad, sama pulang untuk menulis surat mohon berhenti, sama sehajat sama sepakat.


Keesokannya, suasana di dalam studio agak fana luar biasa. Penghawa dingin seperti gentar untuk berbunyi lebih seperti biasa. Mesin fotostat yang selalunya akan menjadi muzik latar, langsung merajuk diri, mohon diselenggara. Aku masuk ke studio agak lewat, mengarang surat berhenti yang pertama kali memaksa mata jekang hingga ke pagi. Animator lain, ku dapati membuat kerja seperti hari semalam. Tarikan garis, lukis-melukis, memainkan suara dan mewarna, aktiviti biasa berjalan bersahaja. Senior yang semalam berwatak pembela, aku tengok seperti pembaca berita. Aku mengangkat kening memberi tanda dan lebih kepada bertanya, tapi dijawab dengan jelir lidah pelawak tamil yang jenaka.


Dentum pintu bilik En. Kamn mengejutkan aku. Seorang animator keluar. Riak muka juga sukar dibaca. Sedikitpun tidak mentafsir makna. Seorang lagi dipanggil dan dalam gigil ketara, masuk menyua kepala. "Apa berlaku ni?" soalku kepada seseorang. Tidak dibalas, pandang pun malas."Apa yang berlaku ni?" soalku kepada papan kekunci, untuk mengelak malu dituduh bercakap seorang diri. Sambil jari membunyikan kekunci lebih lagi, kununnya menjawab memberi interaksi.


Hari ini aku faham politik tempat kerja. Studio yang sedang bergolak diancam tenaga-tenaga yang ingin berhenti, diusahakan untuk tidak dibiarkan pergi. Jika ramai yang terlepas pergi, ia akan memberi kesan kepada periuk nasi. Dan sebolehnya kami dipagar besi dan duri, dilayan kerenah selayak bayi dan di'ampu ampi' " kau jangan pergi". Seseorang berkata, pihak pengurusan mengambil tindakan "Pecah dan Perintah". Patutlah lepas seorang, seorang akan masuk ke dalam, masuk muka manis...keluar muka apam. Masuk rambut rapi...keluar rambut tajam.


Akhirannya, 'dalang' yang mengepalai luahan jiwa para animator dapat dikesan. Mereka diambil tindakan keras. Tiada peluang kedua yang diberi belas. Mereka diminta keluar secara beralas. Aku sedih dengan malang yang menimpa mereka. Bukan senang menjadi pejuang, hanya yang kental, sanggup menjadi arang. Mereka meninggalkan bakat-bakat muda yang masih bara untuk berkarya.


Sesuatu yang aku sedari, pengurusan menjadi lebih hemah pada kala selepas peristiwa mendung berlaku. Mereka lebih mesra, lebih manja dan lebih mangga. Aku dapat melihat tanda-tanda perjuangan pihak yang terkorban dulu, kini terjana. Kami pula, dengan selamba mengutip laba. Sedang yang terkorban itu, apa cerita? Sejarah telah membuktikan, seseorang perjuang akan tercicir dari apa yang diperjuangkan. Namun hasil perjuangannya akan disifir oleh orang-orang yang kemudian, akan difikir oleh orang-orang yang berkenaan.

...........................................................................................................................................................................


Cyberjaya, hari pertama kerja...

Aku masuk ke pintu kaca itu lagi, kenangan lalu yang menemani ku sepanjang perjalanan tadi, aku lempar ke tepi buat seketika. Aku ingin fokus ke arah sini, aku berjalan perlahan-lahan mengurang bunyi. Studio ini seperti ada orang mati, senyap dan sepi. Ku lihat, ramai juga yang sedang duduk bekerja, mata berkedip dan pasti bernadi. Ah...budaya kerja di sini agaknya, tiada lagu bernyanyi, tiada batuk bertibi. Aku dihala ke sebuah kerusi. "Sini tempat awak, duduk dulu, nanti saya datang lagi" kata seorang pegawai penyambut tadi.


Akupun duduk bersandar. Mata berkeranjang memasang radar. Ada beberapa orang yang dah lama aku kenal seperti Diwan (kini Warih), x'Alid (kini OKLid), xstudentku Anep (kini pembaca setia Kosmo) dan PO-G (kini pembaca setia Malaysia Kini). Yang lain aku belum kenal. Disekelilingku, semua pekerja yang pertama kali kutatap wajah...dan aku langsung menjadi malu-malu Fatehah Abdul Fatah.




Thursday, October 15, 2009

Selingan



Aku dapat hadiah ni dari Kupeh (Tengku Hufiz?) masa tinggalkan Vision Animation. Bagus kalau menghadiahkan lukisan kepada orang dijadikan budaya.

Monday, October 12, 2009

Episod 17: Pagi Yang Magis, Aku Mengadap Mages

Seawal pagi, aku sudah memacak diri di Studio itu. Lokasi Cyberjaya menghuru dan harakan arah keretaku. Aku benar tak biasa di wilayah ini. Tampak asing dan aku sering terpaksa pusing.
Pinar-pinar pening berputar berwajah gasing.
Aku di sini sepagi ini kerana memenuh janji. Panggilan dari kakitangan Studio tempuh hari, minta aku kemari. Hari ini aku akan menerima surat tawaran kerja. Satu bukti rasmi, aku diambil menjadi kuli. Agak lama aku paku melaras diri. Hairan, tidak ada seorangpun kelibat manusia yang boleh aku sapa. Legar itu kosong dan sesekali disulam dengan bunyi wanita melaung. Aku berasa tidak sedap jantung. Perlahan-lahan aku maju ke arah suara yang sesekali memecah sunyi.
Suara itu nyata datang dari arah penghujung lorong dan aku mendorong rasa takut berani yang berseli. Aku melangkah satu-satu. Hati-hati dan mengkalis bunyi. Lalu saat ini aku hanya selangkah ke pusat bunyi. Lutut sudah memberi laga yang bertubi-tubi. Gigi atas dan bawah saling menendangi. Aku amati dengan deria telinga yang rapi. Ia kian jelas dan selantas itu, rasa berani menguasai diri. Aku nekad sekali ini, aku akan sergah memberi bunyi ke arah laung wanita yang misteri. Bila waktunya ku rasa pasti.........dengan penuh tenaga yang ku kumpul sebati, aku melompat ke arah balik dinding yang memberi bunyi. Aku jerkah sekuat hati dan gempa gemapun meraung di kotak empat segi.
"Tingkat Bawah.....Ting!!!" Ceh.......bunyi lif rupanya......... bunyi lif....

Aku kembali ke pintu kaca yang tadi. Sambil hati memaki-maki, kenapa tertipu pada lif yang punyai bunyi. Phuwii...
Aku mendail ke nombor Studio dan memaklumkan aku sudahpun sampai. Seorang gadis lantas membuka pintu dan mempersila aku masuk. Dia menyua aku kerusi duduk. Memperkenal diri sebagai Mages dan meminta aku terus menunggu. Sebentar kemudian dia ke tempatnya mengambil fail. Aku terbongkok di meja bulat tamu. Seorang lelaki lampai tinggi, berkaca mata hitam menambah seri, sedang khusyuk memalu papan kekunci.
Mataku pusing keliling memerhati. Deretan sijil-sijil tersergam di muka dinding. Seorang pembersih pejabat menggilapnya hati-hati. Aku angguk senyum ke arahnya. Lalu serentak itu, dimintanya aku 'angkat kaki'. Aku terkejut. Siapakah dia yang berani menghalau aku dari sini? Aku berfikir ulang kali."Angkat kaki!" katanya lebih tegas bernada tinggi. "Tapi Mages suruh saya tunggu, saya takkan pergi dari sini. Awak siapa nak halau saya?" kataku juga semakin berbunyi tinggi. "Angkat kaki la.......Aci mahu vacum, ada tahu?" Serentak dengan itu, aku terlompat mengalih kaki dan cegat di situ, memerhati Aci membuang duli.
Mages kembali dengan fail ditangan. Sekeping surat dilampir ke arahku. Bunyi vacum membingit gegendang telinga. Langsung tidak aku dengar apa yang Mages kata, cuma bibir atas dan bawah yang aku nampak terlaga-laga. Aku terus saja baca dan meneliti butiran yang ada, yang liar aku cari sudah tentu tangga gaji dan aku terbeliak mata kaji, melihat rezeki yang di beri. Tanpa masa yang dibiar berbaki, aku turuni tandatangan pada kertas putih dokumentasi.
"Mula dua minggu lagi, sementara itu, pergi buat pemeriksaan kesihatan!" Mages memberi arahan. Aku bangun dan meminta diri. Bergerak hilang dari fakus pandang.
Sebelum ke kereta, aku sempat singgah di sebuah Cafe di situ. Duduk di satu sudut sunyi dan memesan secawan teh tarik tinggi. Sambil duduk aku membuang pandang ke arah seorang lelaki yang bersandar di meja depan. Aku seperti pernah kenal dia. Aku seperti pernah ramah mesra. Aku seperti ternganga......dia tiba-tiba sudah duduk di sebelahku. "Ko dapek kojo yo?" katanya, pekat Negeri Sembilan. Serentak itu, aku langsung dapat menangkap. "Diwan..., kartunis Diwan, top sampai Negeri Sudan!" Beliau ketawa berjela, perutnya berlaga ke meja.
"Kojo sekali la kito, aku....dah lamo kek sini....kiro....paling otai la." Katanya sambil membongkok diri dan ketawanya berselang seli.
Setelah menghantarku ke gigi kereta, Diwan beredar. Aku memenuhi isi kereta dan bergerak keluar dari Cyberjaya. Dalam kereta aku bernyanyi sekuat hati. Aku gembira kerana dapat beralih angin walaupun aku sendiri tahu bahawa semua angin adalah sama kecuali baunya yang memberi beza.

Wednesday, September 30, 2009

Episod 16: Briyani Mat Top...ada berani?

Berlegar-legar di sekitar Bandar Baru Bangi, memberi aku kuntum-kuntum tenang yang sudah lama tidak berkumandang. Aku mundar dan mandir membuang tuju. Di sini ada damai dan ada rasa yang tidak menyesakkan dada. Kamera mula membuang fokus menuruni dari bidang dada bergerak melorot ke tapak perut. Dan sang perut pun beraksi , perut berlagu rentak keriut dan aku dihentam rasa lapar yang larut.

Kereta yang menderu laju, aku segan-segankan geraknya. Sementara mata meliar mencari kedai makan. Selera mamak aku dah lama mati...sejak terserempak dengan mamak sama mamak bergurau membunyikan ketiak. Seorang penebar roti dan seorang lagi pembuat air. Prup! Prap! Prup! Prap! Sambil bergelak ketawa.

Hari ini aku mahu menikmati selera Melayu. Lampiran buku resepi Melayu, jatuh satu-satu dalam bayang fikir. Kecur liur mula cair.

Melewati deret kedai dua tingkat dan mataku mati pada satu papan tanda yang berjaya mentafsirkan rasa Melayu pada isi kedainya. Aku mencari parkir...aduh, agak penuh dan memang penuh. Di mana harus aku memberhentikan jentera ini? Ahhh...fikiran kembali menjadi serabut, sedang lagu yang berirama lapar semakin rancak di dalam perut.

"Haa...itu ada satu!" Dan aku meluru masuk ke kotak parkir yang bongsu itu. Membrek dan mematikan enjin lalu keluar sambil terhencut-hencut. "Adeh....kaki aku......, Adeh....kaki aku...." sengaja aku laung kuat dialog tersebut. Meletak kereta di parkir khusus untuk golongan OKU menjadikan aku seorang pelakon segera.

Aku membuang duduk hampir di papan tanda 'Briyani Mat Top' dan selera Melayu bagai tak dapat ditahan-tahan lagi.

"Makan apa Encik?" Tanya pelayan kedai.
"Briyani Mat Top satu....versi ayam aaaa......." kataku sambil menunjal jari ke langit.
"Hidangan dalam proses...sabar menunggu....."sambil dia berlalu ke sebelah dapur.
"Cepat sikit, dik. Don't brake my heart!" kataku bernada gurau.

Masuk ke restoran makanan Johor ni, mengingatkan aku kepada kawan ku, Abong. Dia anak Johor, anak Muar. Rakan animator yang pertama aku kenal dan kekal hingga hari ini. Beliau juga adalah animator pertama yang keluar meninggalkan Encik Kamn dan produksi. Sempat terlibat dalam beberapa episod produksi dan kemudian mengambil langkah berani, keluar dari studio yang menjadi pusat latihan animasi itu.

Aku dapat dengar jelas, betapa dia dikutuk kerana keluar sebegitu cepat. Aku tumpang simpati. Pada mereka, langkah itu sebagai langkah derhaka kepada guru. Langkah pendekar yang masih mentah untuk keluar dari gua gelanggang latihan. Dia disindir, dia dipetir. Namun, tekad dan keyakinan diri tinggi mengiringi langkah keluarnya. Beliau pergi ke satu produksi lain dengan semangat baru untuk maju. Aku mendoakan dan mengalu kata semangat. "Jika kau fikirkan kau boleh....kau boleh melakukan...jika kau fikir ada duit lebih......kau boleh belanja aku makan." kataku macam seloroh tapi bersunggoh.

Satu sejarah, keluarnya seorang animator dari produksi Usop Sontorian, walaupun pasti tidak menjejaskan produksi, namun...dari riak muka Encik Kamn, aku tahu, beliau sangat marah dan sangat kecewa.

Aku membentang akhbar naskhah petang yang berlipat di meja. Ku buka helai demi helai, membaca sepintas lalu. Aku tertarik dengan rencana Perbarisan Tentera Negara China di bahagian tengah akhbar itu. Foto yang disertakan sangat mengumpil rasa kagum aku.

Aku langsung teringat kepada telefon bimbitku. Dengan kemudahan wifi di kedai Mat Top ini, pasti aku dapat melayari internet dan aku ingin sekali membuka laman You Tube untuk menonton video perbarisan itu, jika ada. Ya....itupun jika ada dalam You Tube, jika tidak..aku akan layari laman Tukar Tiub aje la.

Yaa....sekali cari sahaja, bersusunan senarai videonya. Aku pun klik satu-satu dan menontonnya dengan minat yang memenuhi. Aku kagum dengan keseragaman gerak dan seragam pakainya. Pandangan dari sudut mata burung, memberi nampak yang lebih asyik. Seperti papan dam yang bergerak dengan sendiri dalam kelajuan yang sekata. Aku pegun, aku kagum.

Serentak itu, aku terfikir untuk melihat perkara sama dari negaraku sendiri. Aku menaip cariannya dan tahukah anda, apa senarai video yang terpapar menghidang kepadaku? Aku ketawa sendiri kerana yang tersusun dan sedia untuk aku klik adalah...... perbarisan dalam filem Prebet Lapuk lakonan A.R Badul dan Tewel.

Hidangan ku singgah di muka meja. Melayangkan terima kasih kepada pelayan..., selanjutnya aku layan nasi briyani itu bersungguh-sungguh berseorangan. Sungguh menikmati, sungguh rencahnya diadun sebati. Aku sendawa bernada tinggi dan termalu si gadis sunti. Keliling yang sekian lama perati, mentertawakan aku tanpa bunyi.

Telefon bimbitku menari menerima panggilan. Aku menjawap dan satu suara sunti membalas bunyi. Panggilan dari syarikat yang aku hadiri temuduga tempuh hari dan memberitakan khabar gembira, aku di terima... dan boleh mula pada bulan hadapan.

Aku meloncat ke atas meja. Membuka silat dua tiga langkah.....dan ketawa berdekah-dekah. Encik Mat Top, tokey kedai yang sedari tadi terperuk di kaunter bayar, turut melompat dan bersilat. "Kau mahu kasi jahanam kedai aku? tempiknya.

Aku berundur dan gembira rasa aku kendur. Meraba poket dan not kertas aku hulur. Aku tak sabar untuk pulang. Pulang untuk memberi canang kepada isi rumah yang sering mendoakan. Terima kasih Tuhan. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.













Thursday, September 17, 2009

Monday, September 14, 2009

Episod 15: Ramai-ramai kita menari

Hari ini, hujan turun dengan lebat. Aku dipaksa berkurung dalam petak rumah sahaja. Aktivitiku buntu buat seketika. Gelung bosan semakin membelenggu, melingkar rapat di laras tubuhku.

Sesekali membelek akhbar berita yang bersusunan di sudut rumah. Mungkin ada artikel minggu lepas yang tertinggal. Arkib seminggu ini banyak berkisar kepada sekumpulan kecil pemprotes di Indonesia yang memalu gendang perang dengan Malaysia. Media Indonesia memberitakan Tarian Pendet milik Indonesia(?) dicuri Malaysia untuk promosi pelancongan. maka segerombolan kecil rakyatnya bangkit dan mempromosikan pula laungan Sapu Malaysia. Bersenjatakan buluh runcing, mereka membuat sekatan dan hukum rimbapun berjalan.

Akhbar ku sepaikan ke tepi. Aku amat tidak setuju dengan senario ini. Seharusnya mereka yang beruncingan itu, harus meneliti dulu perkara sebenar. Harus rasional dan harus dalam emosi yang kawal. Andai kesabaran & kewarasan menjadi tunjang dalam menilai sesuatu perkara, aku pasti...dengan semangat satu rumpun, banyak perkara boleh dipergerakkan bersama.

Bercakap tentang Indonesia, ahh....Tempat kerja aku di Petaling Jaya, juga ada mengambil pekerja dari Indonesia dan dari Filipina. Aku sebenarnya tidak gitu setuju dalam situasi ini. Sesuatu yang tidak sihat. Sewaktu menemubual Encik Kamn Ismail untuk mengisi ruang Projek Akhir pengajian Ijazahku, beliau ada menyentuh soal ini. Nadanya sungguh kecewa dan aku cuba untuk mengawal supaya beliau tidak terlalu emosi kerana masih, lagi dalam pantang selepas pembedahan pintasan jantung.

Tegasnya, aku melihat senario ini sebagai sesuatu yang tidak sihat. Aku kurang menyetujui dasar ini.Kemasukan tenaga kerja asing ke dalam lingkung animasi tempatan akan memberi kesan jangka panjang yang tidak baik. Ia akan menberi kesan kepada kilatan periuk nasi animator tempatan. Apakah telah kehabisan bakat-bakat dalam negara hingga terpaksa mencari 'mutiara dari Selat Sunda?'

Paling mengejutkan jawatan koordinator projek juga dinyirukan kepada 'mutiara-mutiara luar'.
Jawatan ini tidak mustahil untuk di beri kepada anak tempatan, bukan tiada bakat-bakat yang tidak tergilap. Sesuatu yang aku lihat dipinggirkan adalah satu......kepercayaan.

Ucapan awal CEO studio sewaktu taklimat permulaan projek aku pahat dalam-dalam di benak hati. Kata CEO, kita mahu menaikkan industri animasi tempatan. Kita mahu muncul sebagai studio terbaik. Kita mahu dilabel sebagai studio termahir.

Pada fikirku, kemasukan tenaga asing ini, membunuh industri secara perlahan. Maksudku, dalam jangka panjang, kesinambungan produksi untuk hari-hari terkehadapan akan malap, kerana pada hari ini tangan-tangan asing sudah mencanai di peringkat asas bidang ini yang sedang bergerak perlahan mendaki industri.

"Tujuan saya adalah untuk meramaikan tenaga mahir dalam industri animasi tempatan dan menjadikan studio kita 'the best' dalam Malaysia. Dan aku turut dibawa rasa 'satu' , pada ketika itu. Rasional kata-katanya aku dapat bayang jelas kerana ramai animator dari studio lain menyerbu studio kami. Warung Mak Su menjadi saksi kerana warung ini yang menjadi pelantar wajib kepada calon-calon yang datang temuduga. Layak dipanggil kaunter nombor satu dalam rantai aliran temuduga. Sesekali terdetik juga dicepu fikir, adakah dengan menyambar animator dari studio lain akan merancakkan industri animasi tempatan? Yang berdetik-detik di cepu fikirku adalah sambaran animator dari studio lain akan lebih membunuh industri itu sendiri. Ini penolakan dalam hati, sekadar itu kerana aku hanyalah titik akhir dalam rantaian hiraki kerja yang CEO adalah ibu pertamanya.

Aku yang mengisi studio pada isi asalnya hanya empat-lima orang sahaja, hingga kini terkembang menjadi berorang-orang. Penggandaan ini membuka ingatku kepada kenangan lalu dan...belon imbas kembali membentuk kepul di sudut kiri kepala ini...

...Tenaga produksi Kharisma Pictures semakin hari semakin bertambah. Kalau sebelum ini hanya Encik Lal sebagai pelukis latarbelakang tunggal, jelajah pencarian animator oleh Encik Kamn ke seluruh Semenanjung berjaya membawa pulang seorang lagi bakal pelukis latarbelakang. Mutiara yang dimaksudkan adalah Mohd Zaki dari Pulau Pinang (Pulau Mutiara). Rupa-rupanya beliau adalah adik kepada Kartunis Kid dari Gila-gila. Zaki seorang yang sangat berbakat....berbakat dalam berdakwat dan berbakat dalam mengayat.

Hari itu, Encik Lal berasa bagai telah menjadi seorang bos besar. Zaki diperkenalkan itu dan ini. Terpaksa mendengar mini dokumentari dari seniornya itu. Susunan meja di kiri kananku semakin diisi. Makin ramai masuk duduk. Mustapha Kamal (kini Bob R) , Tulang (kini dah daging bunyinya-gemuk) , Maulud Abdul Manas, Sham, Ayie Ibrahim, Faridzul Narami(Ah Kim), Ahmad Nazri Mahmood(Amed), Atan(kini Belitong), Dil Fitri (kini Lambok) dan semua ini sekadar beberapa nama kerana kadar nama yang tertinggal lebih banyak dari itu.

Bila orang makin ramai, macam -macam kerenah pulak timbul. En. kamn lebih lagi pening kepala untuk mengawal anak buahnya yang kian membiak. Teringat satu hari, En.Kamn menyedari bahawa Soul (kini Rambai) sering lewat masuk ke studio. Untuk mengawalnya, Soul dipindahkan duduk disebelah pintu biliknya. Soul menjadi tertekan tetapi akur dengan perintah. Bermula hari itu Soul menjadi semakin awal orangnya. Tetapi.....hanya bertahan seminggu. En.Kamn memperhambatnya ke tempat duduk asalnya kerana 2 perkara. Satu..., cara dia memadam kertas lukisan menyakitkan hati En. Kamn. Habis bergegar tiang seri biliknya setiap kali Soul memadam lukisan. Caranya ala-ala Mahmud June menari twiss. Keduanya, En. Kamn menyedari yang Soul mencuri-curi dengar perbualan telefon di dalam. Pantang telefon berdering, telinga Soul akan melekap ke muka dinding dan tersenyum sorang-sorang. Yang menjadi kantoinya adalah, sedang dia melekap telinga ke dinding, Kartunis Ujang sedang menuju ke bilik En. Kamn. Soul terus je kata.....saya cari idea ni, abang Ujang. Ujang langsung jawab, meh lekap telinga kau di ketiak aku....sini lagi banyak idea. Katanya sambil mengangkat bawah lengan. Dengan baju yang tidak berlengan, keseksiannya amat mengesankan selera makan.

Aku hanya memerhati....tapi gelakku tersepit dicelah hati......

Friday, September 11, 2009

Episod 14: Pemasak Mi Segera Misteri

..."Dah siap En. Hafiz....!" aku mengangkat tangan setinggi mungkin. Kaki sedikit ketunjit dan postur badan agak seksi dari sudut tepi. "Save dan boleh balik!" katanya ringkas, tengok tidak, pandangpun tidak. "Ya..nanti, apa-apa hal kami call!" Normi yang sedari tadi menatang skrin komputernya, bertentangan dengan ku, memberi tambah. Selari waktu itu, bingkas bangun dan mengiringiku menuju pintu keluar. Berjalan beiringannya mengimbau bau-bau nostalgik kenangan lalu. Aku melepasi bilik yang penghawa dinginnya masih kekal eksyen selepas diservis, dan kami beriring semakin rapat ke muka pintu.

"Tunggu kami call" katanya ringkas, melambai babai tidak, mengenyit matapun tidak. Dan aku berlalu menuju ke kereta. Sesi temuduga dan menjalani ujian animasi dalam rakaman umur yang agak meninggi mungkin satu langkah ku yang terkebelakang. Ahh...aku tak mahu fikir lagi....yang pasti aku sudah selesai menjalani satu azab panjang. Aku sedar....aku habiskan banyak masa di sini sebentar tadi, temuduga agak lama....kerana bercerita pengalaman yang berepisod, ujian agak lama kerana sambil-sambil bercerita dengan beberapa orang yang ada di situ, yang ikut menyibuk.

Menghampiri kereta dan aku rasa bagai nak karate bahu jalan. Tayar kereta pancit…. Aku yang sebenarnya sudah hilang separuh tenaga memerah kekuatan waktu di temuduga, berasa bergoyang di pinggir parkir itu. Aku toleh kiri kanan, tiada walau seorang insan.

Berbaki kekuatan diri yang separuh, aku gagahi membuka bonet belakang kereta. Mengeluarkan jek kereta dan memusingnya untuk membolehkan kereta terangkat. Setelah kereta yang ku angkat berada pada posisi agak tinggi. Aku mula membuka butang skru tayar. Bila dipusing skru tersebut, tayar ikut berpusing. Jahanam!, aku menjerit dalam hati.

“Sebelum jek kereta, longgar dulu skru tu…..” Satu suara misteri, mengecat dinding gegendang telingaku. Aku angkat muka, angkat punggung dan berdiri mendepaninya. “Meh aku tolong, turunkan jek kereta tu…”arahnya ringkas seringkas pakaiannya.

Dan aku segera teringat, beliau ini salah seorang mamat di dalam studio tadi. Ya…aku baru perasan. “Encik ni……???.” Sapa aku sambil menghulur tangan salam. “Zam….Zam Rejab!” jawabnya ringkas, juga sambil menghulur salam. Kami bersalaman, tapi aku sebenarnya mengengam spanar tayar bukannya tangan mamat itu. Patutlah kasar menggerutu rasanya tadi.

Bonet kereta aku hentam kuat dan menepuk-nepuk tangan membuang habuk. “Terima kasih….” Aku membudi bahasakan diri kepada Zam. Zam angguk ringkas, seringkas pakaiannya. Membelakangiku dan berlalu pergi. “ Ada rezeki kita jumpa……!” pekikku seorang. Zam sudahpun hilang dari fokus pandangan. Datang secara tiba-tiba dan hilang secara tiba-tiba. NAMUN……(Joe Flizow,2009) aku sangat hargai khidmat sukarela mamat Zam Rejab tadi.

Ingatan ku kembali ke zaman Kharisma Pictures. Waktu itu, aku juga sering mendepani situasi begini. Situasi di mana…. sedang kita susah, ada insan hati mulia memberi jengah.

…Di tingkat 15, Plaza Pangkalan itu, kerja-kerja animasi sedang berjalan dengan rancak. Jam menghampiri pukul 4 petang. Semua animator sudahpun mula angkat-angkat kepala memanjangkan tengkuk. “ Mana Kak Gi ni?” bisik Jau yang duduk di sebelah ku. Aku pula menyapa Abong,” Nampak Kak Gi?”Abong pula menyuit bahu Soul (kini Rambai) “Kak Gi….mana? Soul pula menjelir ke Ameir, “Yenna…Kak Gi?” Ameir mendonggak ke arah Ariyon (kini Tembakau), Awok nampok Kak Giey? Dan Ariyon pula menyergah ke telinga Sherina (kini bini aku), “Hoi…kau Nampak Kak Gi ke tidak?” dan Sherina mengakhiri rantaian tanya Kak Gi itu bila ternampak seorang wanita separuh umur masuk dan mengagahi kudrat menolak troli menghala ke arah kami. Melintasi seorang demi seorang, Kak Gi mengedarkan mug berisi teh minum petang. Jijie dan Noman yang duduk di meja paling belakang sudah membilang-bilang, takut-takut teh untuknya akan kehabisan.

Begitu suasana petang Produksi Usop Sontorian. Kami akan bersantai sekejap sambil memperkena teh Kak Gi. Sambil itu borak kosong pecah suasana. Ada hilai tawa, ada gurau senda, ada yang sendawa. Ada tepuk tampar, ada tepuk bedak, ada juga yang membunyikan ketiak.

Bila suasana sudah hingar mengalahkan tapak ekspo, En. Kamn yang diam di biliknya akan keluar menyergah,” Dah macam pasau….semua dah besau…tak kan itu pun aku nak kabau……” dengan bunyi Melakanya yang masih pekat, beliau akan menelusuri lorong tengah di studio itu yang kiri kanannya terdapat meja-meja animator. Sambil itu matanya liar melihat animasi yang sedang dikerjakan oleh anak-anak didiknya. Pantang nampak yang gerak, pasti En. Kamn akan singgah di meja dan duduk untuk memeriksa. Alamat kecut kerandut la, bagi siapa yang animasinya disemak oleh En. Kamn. Dengan suaranya yang garau bergema, satu studio akan terdengar komen-komen bercili darinya, NAMUN…(Joe Flizow,2009) itu adalah cara beliau memberi didikan kepada kami, anak-anak buahnya ini.

Waktu itu, hampir tiada langsung institute yang mengajar animasi secara serius. Tidak ada…, kecuali syarikat-syarikat animasi sendiri yang memberi latihan kepada bakal-bakal animator. Walaupun kami menjalankan produksi animasi, NAMUN….kami bukanlah produksi animasi terawal dalam negara, kerana waktu itu telahpun ada produksi animasi dari Lensa Film yang menjalankan animasi untuk negara Jepun. Tenaga pengajarnya diturunkan dari Jepun untuk melatih animator tempatan dan tidak hairan, animator-animator yang mendapat didikan dari pakar Jepun itu muncul sebagai jaguh animasi pada hari ini. Salah seorangnya adalah sdr. Mohd. Ismail (Mike) yang dikatakan animator 2D terbaik dalam negara yang kini berjawatan Pengarah Animasi di Vision Animation, Petaling Jaya.

Jawapan kenapa Kak Gi lambat menghantar teh petang kepada kami pecah kecoh. Di pantry sebentar tadi berlaku penemuan baru yang membongkar rahsia sudut gelap waktu malam kami, para animator di sini. Sewaktu setiausaha kepada Pak Lum (Boss besar) membuat air untuk Bossnya, beliau menemui sisa mi segera dalam cerek air panas. Gendang perang segera di palu pihak pengurusan ke arah kami di unit produksi. En. Kamn cuba mempertahankan kami dengan mengatakan, mungkin “pemasak mi segera dalam cerek” ini terlupa untuk membersihkannya jadi maafkan saja, perang boleh tamat. Gendang perang tidak mahu kunjung berhenti, tidak mahu kalah, tidak mahu berpaling tadah. “Pemasak mi segera dalam cerek” itu diburu hingga ke lubang penghawa dingin.

…Aku menguatkan penghawa dingin kereta, lenguh dan peluh episod tayar pancit tadi masih lagi berbaki-baki. Kereta makin kuderu pergi laju. Aku ingin sampai cepat ke rumah. Aku nak rehat, aku nak lepas lelah. Masuk ke garaj dan menarik brek tangan kereta. Keretaku diam di situ, aku keluar dan mengetuk pintu. Bila pintu terkuak, suara kedua-dua anak ku sedang berdoa, mohon aku dimurahkan rezeki mendapat kerja yang ku pohon tadi. Ya… doaku juga senada, aku kasihan melihat mereka yang sering aku tinggalkan untuk urusan kerja hingga aku terlepas detik-detik usia mereka yang pasti tidak akan berulang pada hari-hari terkehadapan. Tuhanku……kau kabulkanlah…..amin.