Wednesday, October 21, 2009

Episod 18: Pejuang Terbuang

Kharisma Pictures. Lama dahulu...

Ini sejarah lama yang ingin aku kongsikan, dalam pada Usop Sontorian gemilang diangkat media kerana muncul sebagai animasi TV pertama, ianya pernah mengalami zaman gelap. Gelapnya berbunyi begini...


Lebih separuh animator berhasrat dan bertekad untuk tinggalkan produksi. Aku yang masih mentah untuk menyedari apa itu konspirasi dan irihati, turut dibawa arus penentangan itu. Sebuah institusi kecil yang berlindung dibalik susunan bata merah itu, tampak tenang pada setiap masa tetapi ianya menyimpan seribu satu rahsia, suka dan duka, riang dan sengsara. Produksi ini mendapat publisiti yang gegak gempita. Ia menjadikan kami tampak hebat namun sebenarnya kami kekurangan segala benda.


Segalanya bermula dengan satu perkara pelik. Beberapa orang yang tak pernah bermalam di Studio tiba-tiba menjadi rajin dan ikhlas untuk berada di Studio hingga ke pagi. En. Kamn menyedari keluarbiasaan ini namun hanya mendiam diri, memerhati dan aku tahu...dia mengkaji.


Aku yang bukan watak popular dalam produksi itu, menjadi antara orang yang akhir untuk tahu golak gejolak yang berlaku. Dalam fana yang terpinga, aku diangkut bersama-sama kumpulan animator lain, menaiki beberapa buah teksi dan menuju ke sebuah stesen TV. Sampai di sana, kami dikumpul duduk di sebuah kedai kopi.


Beberapa orang senior yang menjadi kepala meyakinkan kami, tawaran tinggi sedang menanti dan tapak masa depan gemilang sedang dijejaki. Aku berbisik kepada yang lain. Sungguhkah ini? Langkah yang betulkah ini? Namun, tiada siapa yang tahu dan aku dapat baca, masing-masing sedang dilanda ketidakeruan yang nyata. Semuanya mengambil langkah selesa. Membiar diri dibawa arus paya.


Sebentar kemudian muncul 'watak' utama yang diberitakan sebagai wira penyelamat kami. "Watak' ini menjanjikan segalanya ada kepada kami. Lokasi Studio baru yang mesra kunjung, slot tayangan di TV sedia kosong dan isian poket yang berkarung-karung. Kumpulan kami yang belum pernah menikmati manisnya menjadi animator, sangat-sangat teruja jadinya. Ditambah dengan angguk yakin dari kepala-kepala yang mengepalai kami, kesemua animator yang ada mengekal nganga. Sepanjang perjalanan pulang, cermin tingkap teksi yang kami naiki memberi refleksi yang lain sama sekali. Keluar dalam bayangan, kehidupan mewah yang serba-serbi dan didamping gadis manis dan sunti, membuatkan kami senyum melebihi gusi. Masing-masing bertekad, sama pulang untuk menulis surat mohon berhenti, sama sehajat sama sepakat.


Keesokannya, suasana di dalam studio agak fana luar biasa. Penghawa dingin seperti gentar untuk berbunyi lebih seperti biasa. Mesin fotostat yang selalunya akan menjadi muzik latar, langsung merajuk diri, mohon diselenggara. Aku masuk ke studio agak lewat, mengarang surat berhenti yang pertama kali memaksa mata jekang hingga ke pagi. Animator lain, ku dapati membuat kerja seperti hari semalam. Tarikan garis, lukis-melukis, memainkan suara dan mewarna, aktiviti biasa berjalan bersahaja. Senior yang semalam berwatak pembela, aku tengok seperti pembaca berita. Aku mengangkat kening memberi tanda dan lebih kepada bertanya, tapi dijawab dengan jelir lidah pelawak tamil yang jenaka.


Dentum pintu bilik En. Kamn mengejutkan aku. Seorang animator keluar. Riak muka juga sukar dibaca. Sedikitpun tidak mentafsir makna. Seorang lagi dipanggil dan dalam gigil ketara, masuk menyua kepala. "Apa berlaku ni?" soalku kepada seseorang. Tidak dibalas, pandang pun malas."Apa yang berlaku ni?" soalku kepada papan kekunci, untuk mengelak malu dituduh bercakap seorang diri. Sambil jari membunyikan kekunci lebih lagi, kununnya menjawab memberi interaksi.


Hari ini aku faham politik tempat kerja. Studio yang sedang bergolak diancam tenaga-tenaga yang ingin berhenti, diusahakan untuk tidak dibiarkan pergi. Jika ramai yang terlepas pergi, ia akan memberi kesan kepada periuk nasi. Dan sebolehnya kami dipagar besi dan duri, dilayan kerenah selayak bayi dan di'ampu ampi' " kau jangan pergi". Seseorang berkata, pihak pengurusan mengambil tindakan "Pecah dan Perintah". Patutlah lepas seorang, seorang akan masuk ke dalam, masuk muka manis...keluar muka apam. Masuk rambut rapi...keluar rambut tajam.


Akhirannya, 'dalang' yang mengepalai luahan jiwa para animator dapat dikesan. Mereka diambil tindakan keras. Tiada peluang kedua yang diberi belas. Mereka diminta keluar secara beralas. Aku sedih dengan malang yang menimpa mereka. Bukan senang menjadi pejuang, hanya yang kental, sanggup menjadi arang. Mereka meninggalkan bakat-bakat muda yang masih bara untuk berkarya.


Sesuatu yang aku sedari, pengurusan menjadi lebih hemah pada kala selepas peristiwa mendung berlaku. Mereka lebih mesra, lebih manja dan lebih mangga. Aku dapat melihat tanda-tanda perjuangan pihak yang terkorban dulu, kini terjana. Kami pula, dengan selamba mengutip laba. Sedang yang terkorban itu, apa cerita? Sejarah telah membuktikan, seseorang perjuang akan tercicir dari apa yang diperjuangkan. Namun hasil perjuangannya akan disifir oleh orang-orang yang kemudian, akan difikir oleh orang-orang yang berkenaan.

...........................................................................................................................................................................


Cyberjaya, hari pertama kerja...

Aku masuk ke pintu kaca itu lagi, kenangan lalu yang menemani ku sepanjang perjalanan tadi, aku lempar ke tepi buat seketika. Aku ingin fokus ke arah sini, aku berjalan perlahan-lahan mengurang bunyi. Studio ini seperti ada orang mati, senyap dan sepi. Ku lihat, ramai juga yang sedang duduk bekerja, mata berkedip dan pasti bernadi. Ah...budaya kerja di sini agaknya, tiada lagu bernyanyi, tiada batuk bertibi. Aku dihala ke sebuah kerusi. "Sini tempat awak, duduk dulu, nanti saya datang lagi" kata seorang pegawai penyambut tadi.


Akupun duduk bersandar. Mata berkeranjang memasang radar. Ada beberapa orang yang dah lama aku kenal seperti Diwan (kini Warih), x'Alid (kini OKLid), xstudentku Anep (kini pembaca setia Kosmo) dan PO-G (kini pembaca setia Malaysia Kini). Yang lain aku belum kenal. Disekelilingku, semua pekerja yang pertama kali kutatap wajah...dan aku langsung menjadi malu-malu Fatehah Abdul Fatah.




Thursday, October 15, 2009

Selingan



Aku dapat hadiah ni dari Kupeh (Tengku Hufiz?) masa tinggalkan Vision Animation. Bagus kalau menghadiahkan lukisan kepada orang dijadikan budaya.

Monday, October 12, 2009

Episod 17: Pagi Yang Magis, Aku Mengadap Mages

Seawal pagi, aku sudah memacak diri di Studio itu. Lokasi Cyberjaya menghuru dan harakan arah keretaku. Aku benar tak biasa di wilayah ini. Tampak asing dan aku sering terpaksa pusing.
Pinar-pinar pening berputar berwajah gasing.
Aku di sini sepagi ini kerana memenuh janji. Panggilan dari kakitangan Studio tempuh hari, minta aku kemari. Hari ini aku akan menerima surat tawaran kerja. Satu bukti rasmi, aku diambil menjadi kuli. Agak lama aku paku melaras diri. Hairan, tidak ada seorangpun kelibat manusia yang boleh aku sapa. Legar itu kosong dan sesekali disulam dengan bunyi wanita melaung. Aku berasa tidak sedap jantung. Perlahan-lahan aku maju ke arah suara yang sesekali memecah sunyi.
Suara itu nyata datang dari arah penghujung lorong dan aku mendorong rasa takut berani yang berseli. Aku melangkah satu-satu. Hati-hati dan mengkalis bunyi. Lalu saat ini aku hanya selangkah ke pusat bunyi. Lutut sudah memberi laga yang bertubi-tubi. Gigi atas dan bawah saling menendangi. Aku amati dengan deria telinga yang rapi. Ia kian jelas dan selantas itu, rasa berani menguasai diri. Aku nekad sekali ini, aku akan sergah memberi bunyi ke arah laung wanita yang misteri. Bila waktunya ku rasa pasti.........dengan penuh tenaga yang ku kumpul sebati, aku melompat ke arah balik dinding yang memberi bunyi. Aku jerkah sekuat hati dan gempa gemapun meraung di kotak empat segi.
"Tingkat Bawah.....Ting!!!" Ceh.......bunyi lif rupanya......... bunyi lif....

Aku kembali ke pintu kaca yang tadi. Sambil hati memaki-maki, kenapa tertipu pada lif yang punyai bunyi. Phuwii...
Aku mendail ke nombor Studio dan memaklumkan aku sudahpun sampai. Seorang gadis lantas membuka pintu dan mempersila aku masuk. Dia menyua aku kerusi duduk. Memperkenal diri sebagai Mages dan meminta aku terus menunggu. Sebentar kemudian dia ke tempatnya mengambil fail. Aku terbongkok di meja bulat tamu. Seorang lelaki lampai tinggi, berkaca mata hitam menambah seri, sedang khusyuk memalu papan kekunci.
Mataku pusing keliling memerhati. Deretan sijil-sijil tersergam di muka dinding. Seorang pembersih pejabat menggilapnya hati-hati. Aku angguk senyum ke arahnya. Lalu serentak itu, dimintanya aku 'angkat kaki'. Aku terkejut. Siapakah dia yang berani menghalau aku dari sini? Aku berfikir ulang kali."Angkat kaki!" katanya lebih tegas bernada tinggi. "Tapi Mages suruh saya tunggu, saya takkan pergi dari sini. Awak siapa nak halau saya?" kataku juga semakin berbunyi tinggi. "Angkat kaki la.......Aci mahu vacum, ada tahu?" Serentak dengan itu, aku terlompat mengalih kaki dan cegat di situ, memerhati Aci membuang duli.
Mages kembali dengan fail ditangan. Sekeping surat dilampir ke arahku. Bunyi vacum membingit gegendang telinga. Langsung tidak aku dengar apa yang Mages kata, cuma bibir atas dan bawah yang aku nampak terlaga-laga. Aku terus saja baca dan meneliti butiran yang ada, yang liar aku cari sudah tentu tangga gaji dan aku terbeliak mata kaji, melihat rezeki yang di beri. Tanpa masa yang dibiar berbaki, aku turuni tandatangan pada kertas putih dokumentasi.
"Mula dua minggu lagi, sementara itu, pergi buat pemeriksaan kesihatan!" Mages memberi arahan. Aku bangun dan meminta diri. Bergerak hilang dari fakus pandang.
Sebelum ke kereta, aku sempat singgah di sebuah Cafe di situ. Duduk di satu sudut sunyi dan memesan secawan teh tarik tinggi. Sambil duduk aku membuang pandang ke arah seorang lelaki yang bersandar di meja depan. Aku seperti pernah kenal dia. Aku seperti pernah ramah mesra. Aku seperti ternganga......dia tiba-tiba sudah duduk di sebelahku. "Ko dapek kojo yo?" katanya, pekat Negeri Sembilan. Serentak itu, aku langsung dapat menangkap. "Diwan..., kartunis Diwan, top sampai Negeri Sudan!" Beliau ketawa berjela, perutnya berlaga ke meja.
"Kojo sekali la kito, aku....dah lamo kek sini....kiro....paling otai la." Katanya sambil membongkok diri dan ketawanya berselang seli.
Setelah menghantarku ke gigi kereta, Diwan beredar. Aku memenuhi isi kereta dan bergerak keluar dari Cyberjaya. Dalam kereta aku bernyanyi sekuat hati. Aku gembira kerana dapat beralih angin walaupun aku sendiri tahu bahawa semua angin adalah sama kecuali baunya yang memberi beza.