Wednesday, October 29, 2014

Nak dijadi cerita......

Aku masih ingat dan harap saudara juga masih ingat akan aku. Maklum...sepinya lama...hentinya lama...lampu merahnya masih bernyala. Kali ini, ingin rasa menggulung nostalgia ke zaman pemula. Aku datang mencium kota dengan seribu sukar. Kisahnya....aku bersekolah di Kuala Lumpur dan sehabis SPM, aku terpaksa pulang ke Kelantan kerana bapaku berpencenan. Setahun juga di sana, mencari kerja dan mencari mula. Malang sekali......rasanya banyak kali malangnya, minta situ..tak di terima.....minta sini....tak de tali saudara...... minta kiri...tak de diplome....
 
Aku akhirnya menjadi penganggur setia. Ke rumah jiran, akhbar, ku tumpang baca.....mencari iklan yang bertulis mencari pekerja.
 
Nak dijadi cerita, bekas rakan sekolah lama telefon dan bertanya berita. Langsung menjemput kerja bersama di Jalan Kampung Attap membaiki computer. Aku teruja dan senyum menyangga. Aku setuju dan angguk kepala. Namun, ada satu kekangan rasa, sekeping duitpun haram tak ada. Aku hampir menolak dan tiada kata setuju terima. Aku malu-malu biawak, nak mula langkah tapi kesima.
 
Nak dijadi cerita 2.0, Bapa saudara datang simpati lalu menghulur tiket empat segi. Rupanya itulah tiket yang sebenarnya tiket. Tiket inilah yang membawa aku hingga ke hari ini. Tiket bas itu aku selit kemas ke dalam dompet. Aku mengemas baju berselang singlet. Malam itu juga......aku merentas Gua Musang dengan bas ekspress berderet-deret.
 
Nak dijadi cerita 3.0, Kerja yang dijanji belumnya pasti. Hanya berbunyi sang sipi-sipi. Dan aku sudah memijak Dayabumi. Aku tidak boleh patah balik, kata tak jadi. Lalu aku merutin semula. Membaca akhbar, ruang iklaneka. Mencari peluang bertemuduga, mencari ruang tapak selesa.
 
Nak dijadi cerita 4.0, aku berpergi ke satu temuduga. Jawatannya baik, penemudugapun cantik. Aku telah sedari, badan tidak begitu seteydi. Aku rasa lemah dah tiga hari. Kadang panas di sebelah dahi. Namun aku gagahkan diri masuk ke gelanggang temuduga. Suasana temuduga rancak, dia tanya aku jawab, aku tanya dia jawab. Melihat pada keadaannya, seperti ada harapan.
 
Akupun pulang dengan yakin yang tinggi. Aku tidak menganggur lagi. Aku berjalan ala Baba Ali.
Seminggu ku tunggu, tiada berita....dua minggu ku tunggupun tiada berita. Akhirnya aku telefon menyulam tanya. " Bagaimana temuduga saya dua minggu lepas? Dapat kerja ataupun melepas?"
Tanyaku dengan santun yang paling rias.
 
Langsung jawapannya adalah teriak, "Encik datang temuduga dengan keadaan demam campak. Habis satu pejabat berjangkit biak. Keputusan temuduga Encik terus bertukar corak!"
 
Telefon dihempas dan tut.........................

Saturday, May 24, 2014

Dengkur di persimpangan.....

Punggung ini pernah duduk di Panggung Kluang Man. Walau sekejap, ianya sangat berasa sedap dan hingga hari ini terasa serap. Nukilan Kluang Man bukan waktu ini untuk ku ucap. Tunggulah sehingga gesaan menjadi kerap dan aku tiada lagi kata kejap.
Usai kerja di Produksi Kluang Man. Aku beralih ke sebuah Studio di Taman Maluri, Cheras. Studio ini menjalankan animasi cara berbeza. Studio ini menggunakan keadah animasi separa lama dan separa baru. Produksi sedang hampir selesai menyiapkan Telemovie Kartini. Seingat aku, masuknya aku ke situ hanya sempat menyumbang suara sebaris dua. Ceritanya telahpun siap dan sedang pada pentas 'touchup'. Sebab itu pada hujung telemovie, namaku tidak beserta sekali. Cakap jahat berbunyi...ah..kau bukan ahli produksi...hanya datang menunjuk gusi.
Kebetulan pada tahun-tahun itu, ekonomi dunia sedang meleset. Banyak kerja yang diberita pancit. Ramai pekerja yang buang sumpit. Aku sendiri merasa tercubit. Gaji dipotong dari banyak ke sikit, kerja ditambah dari bisul menjadi bukit. Zaman itu, stress meninggi. Rasa macam nak tempik sana sini. Rasa macam nak karate tulang rusuk sendiri. Tertekan dengan masalah pekerjaan yang tidak tentu berwarna diakhirnya. Aku akhirnya tewas dan tidak lagi boleh membunyi tawa. Animasi sudah kuanggap basi. Animasi bukan jaminan lagi. Aku berkira-kira menghilang dari industri Aku berasa rajuk menjeruk hati. Aku berasa ini adalah henti.
Tanpa dirancang dan dibisik tepi, seseorang menelefon di talian pejabat. Waktu itu, telefon bimbit belum membudaya dan kalaupun paling hampir,  adalah pager. Satu suara garau berpelat N9 berkata lurus pada ku. " Abang! nak mengajar tak?" Suara itu aku kenal, seorang rakan industri yang kian lama hilang dan muncul kembali. Beliau pernah menjadi anak didik ku, sebelum selesa dalam industri. Aku menjawab dengan rendah diri "Mana layak aku mengajar dan siapa yang sudi memurid diri?"
Talian telefon terputus, bukan kerana kelemahan isyarat, tetapi kerana kelemahan kawanku sendiri yang tidak memasukkan wang siling secukupnya ke dalam peti. Beliau menyambung lagi, " Kojo sekarang Okey ko? Okey tu sengaja dibold untuk diberi penekanan, supaya dibaca dalam bunyi N9.
Aku beriya menolak dan merendah diri sehampir padi. Beliau pula beriya mengajak dan meninggi diri sehampir KLCC. Berbekal secalit tahu, animasi yang aku belajar di Studio, menjadi bekal untuk aku terima lawa kawanku itu. Aku akhirnya setuju walau anggukku hanya satu. Aku sebenarnya belum berani dan belum ada yakin diri. Kalau dulu aku mengajar setiap pekerja baru yang masuk studio, untuk mereka pandai bermain animasi, berwarna-warni, kini aku berhadapan dengan beberapa buah kelas yang pelajarnya belum tahu apa itu animasi.
Ku ingat lagi, aku hanya didugatemu di meja mamak Melawati. Aku hanya memesan air suam kerana gugup yang di tahap tinggi. Aku hanya menjawab sepatah, sedangkan soalan yang yang ditujah, berpatah-patah.
Di meja bulat ini, aku seperti dalam simbol Ying dan Yang. Berakhir dengan tiada kata bulat, aku dan penemuduga tadi berpergi dan beliau melempar satu pesan. "Datang kolej jika ada rasa minat, datang kolej bila beranimasi sudah penat."

Aku kembali ke rumah dan berkurung di kamar. Duduk di meja kerja dan tangan melakar-lakar pada kertas kosong. Tiada subjek yang menjadi tumpu, tiada bentuk dan makin merapu. Aku masih berfikir dan berkira-kira, apakah baik jika terima atau terus berkeadaan serupa. Sukar sungguh membuat keputusan walau telah lama ditimbang-timbang. Aku akhirnya lelap di situ. Dengkur dan siul...bersilih lagu.

Thursday, November 21, 2013

Kosong...kosong.

Hari ini rasa kosong...bilik kuliah kosong, makmal komputer kosong. Ya..ingat-ingat kembali di kedai Mamak tadipun....aku memesan roti kosong dan air kosong. 
Agak lama tidak menulis (" agak-agak la kalau nak menipupun..., bukan agak lama ye...dah memang terlampau lama dah hang tak menulis" Sahut Sharifah Anuar yang sentiasa di belakang ku, kala aku mengetip entri-entri baru.

Dan kenangan lamapun mengusik hujung dagu...

Hm...roti kosong dan air kosong. Ini memang tidak aku bercakap bohong. Ini memang pernah jadi menu agong. Pelayan kedai mamak itupun dah mula menyindir singgung. "Kalu ini muka mari, tamau tanya ulang kali..belakang kita liur juga rugi...dia hari-hari mari...kosong roti...air suam thani..." 

Sarapan aku setiap pagi untuk dua hari, berkos bawah dari seringgit. Ini memang sudah menjadi habit. Aku bukan kedekut pahit tetapi waktu dulu itu, hidup aku memang perit. Kerja pertama ku sewaktu mula mencium bau Kuala Lumpur adalah Pembantu Jualan di Jasco Wangsa Maju. Tiap hari terjingkit-jingkit manyusun tisu.Mengetip tanda harga dan menjawab pada pelangggan yang bertanya ini itu. Gaji bulanan mamang kecil berbanding slip gaji yang dapat di tiap tiga puluh satu. Sesekali terlintas di benak hati, mengapa begini? Namun...pesan Encik Zul sering datang selari. "Jangan dikeluh nasib diri, itu petanda tidak mensyukuri. Dalam hidup, tiap saat adalah uji adalah duga....apakah kuat untuk terpa atau terduduk tak berbuat apa."

Juga masih diingat kerja yang dilakukan banyaknya berdiri. Rasanya dalam sehari bekerja itu, aku hanya duduk 2 kali. Sekali masa masuk bilik berharga 20 sen dan sekali lagi, masa terjumpa duit dua posen. Mungkin ini petua menjadikan badanku tidak berisi. Aku kekal kurus seperti Zamani. Aku dan pensil 2B, kadang-kadang kawan tercari. 

Bekerja di pasaraya mengajar kita pekak telinga. Ini kerana bunyian lagu-lagu iklan akan berkumandang sepanjang masa. Ianya diulang berkali-kali seperti TV berbayar yang sakitkan hati. Mungkin disebab itu, setiap tanya kepadaku perlu diulang 5 kali. Aku bukan pekak cuma suka mendengar dengan teliti. Kadang-kadang cakap ku kuat berpiching tinggi. Aku bukan pekak cuma terperasan sedang menyanyi. 

Dan paling aku berasa duka dan sering menolak dengan hati derhaka. Setiap kali selesai kerja, tubuh badan akan diraba oleh jaga dipintu keluar. Ini atas dasar, takut seludup barang keluar. Macam kita mempunya idea, untuk menyorok peti ais di dalam seluar. Macam kita mempunya lemak untuk sorok TV di bawah ketiak. Aku insafi hari-hari lalu. Semua itu, menjadi bekal untuk cerita ke anak cucu. Betul kata orang, bukan senang untuk senang. Betul kata pokok bukan susah kalau nak susah.

Entri hari ini aku habiskan dengan kata maaf. Bingkis ini sering tak terisi kerana sibuk hal duniawi. Maaf sekali lagi dan aku juga ingin berterima kasih pada insan yang sudi melibas belakang. Ini benar membuatkan aku kejang dan terus membuka komputer untuk mengarang.

Benar kata Encik Zul "Jangan berhenti pada apa yang kau buat, ia akan hanya membuat orang fedap. Jangan peduli apa yang orang cakap, ia akan hanya membuat engkau fedap."
 

Tuesday, April 16, 2013

Huh..Update pun...

Hari ini

Hari-hari pada hari ini
Bewarna-warni
Malam hari pada kali ini
Pasang kain cara sembunyi
Buluh runcing dicari
Pokok kecil berdiri

Ah...lama tak menulis berkisar animasi..

Thursday, January 19, 2012

Friday, February 04, 2011

Pinjam Suara Mu Satu

Sewaktu di produksi Kharisma yang berpengkalan di Plaza Pangkalan, aku sempat meminjamkan suara untuk produksi Usop Sontorian itu. Entah mengapa, mungkin sikap aku sendiri yang lebih kelihatan pendiam, maka watak yang diberi kepada ku pun watak seorang pendiam. Kalau anda pernah ingat kepada watak Veloo, iaitu watak kawan Usop yang berbangsa India dan berbahasa dengan telornya yang tersendiri...haa...aku le tuh. Apa tak ingat? Dah aku agak....Iye la...siapa la nak ingat kalau satu-satu episod, Velloo keluar dengan hanya sepatah kata? Hmmm......

Hari ini, untuk produksi Kancil, terbitan sebuah produksi di Kajang, aku juga dipaksa untuk menyumbang suara untuk watak animasi mereka. Kata mereka suara aku, tersendiri, leper-leper itik serati. Sambil  aku mencekak pinggang,tanpa di sedari, aku sudahpun diangkut ke bilik kedap rakaman mereka. Elok dah duduk di kerusi bar dan mikrofon terlaras  tepat ke anak tekak ku. Cuma aku sedikit musykil, mengapa watak Siput dan Kura-kura yang diberi kepada ku? Hmmmm....

Sebuah lagi produksi di Subang Jaya juga mempertaruhkan watak Mentadak, untuk produksinya yang berjudul Buzz. "Mentadak ni seorang Guru Silat," Kata Pak Med kepada ku semasa sesi casting. Aku angguk berulang-ulang......"Eh...dah macam Mentadak, kena sungguh!" Teriak Pak Med. Aku Hmmm lagi.......


Mujur juga, sewaktu dulu-dulu, pernah masuk ke rumah Teater kendalian arwah Nasir Ali. Ia sangat membantu. Juga terima kasih kepada Abang Rosli Rahman Adam, yang juga pernah melatih aku dalam Grup teaternya yang satu ketika dahulu. 


Rakaman suara untuk Usop Sontorian disertai oleh beberapa bakat yang lain seperti, 3 kanak-kanak yang sekarang pasti sudah besar. 3 budak ini memegang watak Usop, Dol dan Abu. Untuk watak Abu tu, memang budaknya gemuk. Kadang-kadang nampak benar dia mencungap menghafal skrip. 

Watak yang paling menonjol pastinya watak Singh. Untuk pengetahuan semua, watak Singh telah dihidupkan oleh 3 bakat suara. Ia bermula dengan kartunis Ujang yang selaku pereka watak untuk produksi ini. Setelah beberapa episod, saudara Ujang menjadi sangat sibuk dan tidak sempat untuk menyumbangkan suara lagi. Maka kartunis Aie di panggil untuk menyambung legasi Singh. Sehingga suatu ketika, kartunis Aie juga tidak dapat memberi komitmen dan akhirnya muncul kartunis Taugeh dibelakang kelawakkan watak Singh yang tersendiri itu. 
Sesi rakaman suara merupakan satu terapi tawa yang tidak dapat aku lupakan. Aku masih merinduinya dan kepingin untuk melaluinya sekali lagi. Paling menarik dan mengundang percik tawa yang bertalu-talu, bila sesi itu dikendalikan oleh Kartunis Ujang. Ternyata dan aku mengesahkan bahawa beliau seorang yang bijak dalam menghidupkan perwatakan. Lontaran lakon beserta garis panduan darinya sangat mengesankan.

Entah bila ia akan berulang lagi.

Penghujung rakam punch cardku di Kharisma, hati begitu pilu untuk meninggalkan tapak kerja, rakan-rakan , Mariapan dan yang paling menyentuh....di sini aku terpisah dengan rakan wal karibku. Betullah orang kata, hidup perlu diteruskan. Inilah yang aku lakukan. Aku perlu meneruskan hidup yang sekarang ini tampak tidak terurus.  Aku masih ingat...beliaulah rakan yang memapah aku sewaktu keracunan makan di tempat kerja. Beliau memapah aku tetapi kerana lebih rendah, nampak seperti aku yang memapah dia. Beliau seorang rakan yang baik. Tetap baik hingga kini.

Selesai temuduga di sebuah Hotel di Pekeliling, aku mendapat jemputan untuk melawat pejabat baru yang terletak di P.J. Kami berombongan lagi ke sana. Ia tidak sebesar Studio lama, tetapi apa salah aku mencuba. Aku sendiri sedang mengumpul dana untuk hari bahagia. Ku gagahkan kaki meninggalkan luka lama. Aku terpaksa meninggalkan beberapa dan kutinggalkan ikhlas bersama doa....kalian juga pasti berjaya.

Hari pertama bertugas di Studio baru. Bersama beberapa rakan menunggu bas di Kotaraya. Aku kenal semua kecuali seorang. Beliau dari produksi lain tetapi akan bersama-sama kami di Studio baru. Ini sedikit janggal pada aku. Aku berasa ada tembok pemisah yang menghalang aku untuk pergi dekat. Entah...mungkin masa akan memberi kami tali untuk merapat.

Produksi ini tampak telah dirancang rapi. Storyboard telah sedia sewaktu kami mula mencecah kaki. Ada perseorangan yang diupah secara Freelansi. Kami terus mula beraksi pada hari pertama serah diri. Kami mengeluh kerana ada tunggakan gaji di Studio lama. Ini disimpati dan producer memberi sebulan gaji kepada setiap kami. "Eh..baru kerja, dah dapat gaji?" seseorang berteriak. Tidak lama...sebelum beliau dipekup mulut, dikunci tangan dan dilipat kaki.

Aku mula berkenalan dengan watak yang bulat-bulat. Menghayati, mengkaji dan menyelami dunianya. Aku sendiri perlu menghayati, mengkaji dan menyelami dunia kerja baru ku. Semoga di sini....aku peroleh ruang untuk berkreativiti. Semoga di sini aku beroleh uwang untuk berlari.

Hmmm........



























Friday, December 24, 2010

Sudah Betul Kata Encik Zul.

Encik Zul, seorang kawan yang pangkat abang. Aku kenal beliau sewaktu masuk bekerja di Studio VI EH, di Petaling Jaya. Encik Zul seorang artis painting dan karya beliau banyak bertema kepada Rotation.

Suka berbual dengannya kerana kata-katanya sering ada unsur motivasi. Beliau sering mengulang (artis tema Rotation la katakan). "Hidup ini adalah putaran. Hari ni kau di sini.....esok kau ke sana.....kemudian ke sinun...dan sinan......dan akhirnya kau akan ke sini balik." Sambil jarinya menunjal ke udara. Anak mata aku pergi balik, mengikut arah yang ditunjuk sampai kanta lekap jadi semakin cembung.

Katanya lagi..."kau dulu pernah mengajar......dan hari ini kau buat kerja Studio......esok-esok, kau pasti mengajar balik" sambil Encik Zul lagi.

"Nanti tengok la...." sampuk Pak Su, yang sedang mengelap meja. Pak Su adalah empunya warung tempat kami berbual.

Dan hari ini....ya..Aku kembali teringat kata-kata Encik Zul itu. Memang hari ini aku kembali menjadi Pengajar. Sudah betul kata Encik Zul. Aku kembali mengadap senario Nota kuliah, pelan mengajar dan pelajar yang aneka ragam.

Suasana ini pernah aku lalui dulu. Ia seperti memijak semula tapak kaki yang tertinggal di pasir pantai. Iya...dan pijak ini menjadi lebih benam. Mungkin kerana berat badan yang semakin mengepam. Duduk di kerusi yang semakin lebar dan meja yang semakin besar, aku melayang fikir ke zaman mula mengenal erti dunia kerja suatu masa dahulu.

Zeeeeett......Visual flashback masuk mengadap.....

Warna merah Plaza Pengkalan sudah nampak makin kelam merahnya. Apakah mata aku sudah makin kelabu atau sememangnya langit kembali dicium jerebu? Dinding bata ini seperti kian pudar dari kod warna yang asal. Aku duduk bersandar, berhenti sebentar dan mata redup merenung diri sendiri di dinding cermin bertentangan. "Nak pergi ke tak nak?" Teks itu...berbolak-balik dalam hati aku. Ibarat bola lantun yang tidak erti duduk diam. "Nak pergi ke tak nak?".Ia semakin mengulang.

"Okey..semua dah ada, jom kita pergi" Teriak seorang Penghulu rombongan. Aku langsung berkeputusan untuk pergi. Pergi berikut serta bersama mereka yang dahaga kepada hari depan. Mereka tidak sahaja dahaga....malah lapar juga. Sudah berapa lama memujuk perut dengan roti berinti angin. Perutpun, seperti sudah tahu taktik itu. "Aiii....roti kosong lagi ke?" Perli perut dengan bahasa tersendiri.

Hari ini..ada sebahagian Animator Kharisma yang keluar. Hari ini ada sesi temuduga yang diadakan di sebuah hotel sekitar Pekeliling Jalan Ipoh. Aku menyertai mereka. Aku mahu mencuba nasib. Bak kata orang, Untung sabut timbul, untuk batu tenggelam.

Temuduga ini diadakan oleh sebuah syarikat pembekal rancangan RTM yang sangat risau akan kemampuan Kharisma untuk terus mengeluarkan karya. Masalah dalaman yang dapat mereka hidu awal membuatkan mereka terpaksa merangka jalan alternatif.

Aku mendapat tahu, Syarikat pembekal ini akan mewujudkan syarikat animasi baru dan memerlukan tenaga kerja untuk menjalankan produk yang bakal mereka hasilkan. Atas sebab itu aku ingin mencuba. Dan pula, studio tempat aku bekerja sekarang ini pun seperti sudah tidak sepertinya.

Masuk ke Dewan Temuduga, aku disoal itu dan ini. Diminta ceritakan apa yang aku telah buat, apa yang aku selalu buat dan apa yang aku akan buat.

Sesi temuduga selesai dan aku berjalan pulang kembali ke pejabat. Pulang dengan tidak mendapat jawapan yang pasti. Entah dapat, entah tidak. Namun, kata-kata sedap menjuih-juih di dalam hati. Dapat kot.

Masuk ke Studio dan membuat kerja seperti tiada apa yang belaku. Rupa-rupanya, ramai kawan ku yang pandai berlakon.