Friday, July 13, 2007

Episod 2: 8 Lukisan 'Step' Berjalan

"8 lukisan perlu dilukis..dah siap nanti..hantar pada saya" Ujar seorang lelaki Cina dalam pelat yang pekat. Aku tidak sanggup menulis kepelatannya, kerana menjaga murni bahasa blog ini.
Lapan kertas A4 kosong, aku tatap dengan fikiran yang sama kosong. 8 lukisan perlu dibuat dan aku masih dalam situasi tidak bahagia. 8 lukisan itu bukan dosa besar bagiku. 8 lukisan itu,sebenarnya seperti tarikan nafas dalam tidurku. 8 lukisan itu, dalam nada riak....adalah sisa cili yang kerap singgah di antara gigiku. Dalam sedar yang separa, aku berjaya siapkan 8 lukisan yang membentuk satu aturan watak berjalan. Dan aku bangun, lalu berjalan ke arah pekerja Cina tadi, menghulur dan menunggu tingkah selanjutnya. Beliau angguk dalam renungannya pada 8 contengan itu dan mengatur aku ke bilik Pengarah. Merapati bilik Pengarah dengan pintu coklat bernota KAMN ISMAIL-Pengarah Animasi lalu dengan berani yang berbaki, aku ketuk lembut dalam rentak yang seragam.
Bicara "Masuk" mengiang ke halwa telinga ku. Menusuk ke kalbu dalam dan diam di situ. Aku diresapi satu suara bernada yakin. Dalam benakku juga mengharapkan yakin yang sama, agar diterima mengisi ruang kosong yang mungkin masih ada.
Pintu itu ku kuak penuh mesra......Aku memandang meja.......
Seorang lelaki dalam sandar yang selesa mengukir senyuman yang berasap. Jemarinya menyepit puntung rokok dan dalam tebaran asap yang bertempiar itu, aku dapat mengesan pelawanya. Aku diminta duduk pada ruang yang kemas tersedia. Dan bersama seribu harap, seribu yakin dan seribu doa....... aku duduk. Duduk dalam getar ditemuduga.